Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bebaskan tahanan wanita terakhir

Thursday, November 10, 2011

Tahanan wanita terakhir di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terbabit dengan kegiatan penyeludupan manusia dibebaskan hari ini selepas 217 hari menjalani proses pemulihan di Tempat Tahanan Perlindungan Taiping di Kamunting di sini, petang tadi.

Wanita berusia 48 tahun itu menyifatkan tempat tahanan itu sebagai "tempat terbaik" untuk mereka yang seperti beliau bagi menjalani proses kesedaran serta pemulihan.
"Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk kembali ke pangkuan anak-anak yang lama saya tinggalkan, keluarga dan masyarakat.

"Saya insaf dan tidak ingin mengulangi kesilapan. Wajib bagi kita rakyat Malaysia untuk taat kepada negara supaya tidak lakukan kesilapan yang boleh mendatangkan bencana kepada negara," katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan, Tempat Tahanan Perlindungan Taiping di sini.

Katanya, beliau tidak mahu lagi mengungkit atau menyebut lagi kisah lama itu kerana ingin membina hidup baru bersama-sama kedua-dua anaknya yang berusia 29 dan 25 tahun.

Sepanjang menjalani tahanan dan proses pemulihan, wanita yang bekerja sebagai kerani perkapalan sebelum ini mempelajari kemahiran kraftangan di samping ilmu agama dan aktiviti lain.

"Saya berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, semua pegawai dan anggota Tempat Tahanan Perlindungan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan lain-lain. Bagi saya ini tempat terbaik untuk menjalani proses pemulihan. Pemulihan di sini ternyata memang ke arah membina kehidupan yang baru," katanya.
Beliau dibebaskan pada jam 4.30 petang tadi dan kepulangannya ke pangkuan keluarga disambut anaknya di sini.

Wanita itu yang ditahan sejak 7 April tahun ini adalah antara empat wanita yang ditempatkan di Tempat Tahanan Perlindungan Taiping sejak 10 tahun lalu. Tiga yang lain dibebaskan sebelum ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata pembebasan wanita yang sepatutnya ditahan selama dua tahun itu dibuat dengan bersyarat dan berdasarkan penilaian tertentu khususnya mencakupi aspek keagamaan, psikologi serta kaunseling.

Pengarah Tempat Tahanan Perlindungan Taiping, Mohd Roslen Ramly, pula berkata jumlah tahanan yang masih menjalani proses pemulihan di situ kini sebanyak 37 orang, dan daripada jumlah itu, 23 adalah warga negara asing. - BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI