Banjir di Thailand, harga barang naik

Tuesday, November 08, 2011

Harga beberapa barangan keperluan harian seperti sayur dan ikan tertentu terus meningkat dengan peniaga memberikan alasan terpaksa mengikut harga ditetapkan pemborong yang mendakwa ia berpunca daripada cuaca tidak menentu di negara ini dan banjir besar di Thailand sejak lebih empat bulan lalu.

Tinjauan di Pasar Chow Kit di sini semalam mendapati cili merah dijual pada harga setinggi RM16 sekilogram berbanding hanya RM9 sebelum ini.
Seorang peniaga, Lee Yu Hin, 24, berkata walaupun beliau menerima banyak rungutan daripada orang ramai mengenai kenaikan harga berkenaan, tidak banyak yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah itu.

“Saya sendiri ambil stok daripada Pasar Borong Selayang dan harga yang dijual kepada saya juga sudah tinggi. Jadi saya kena jual lebih sedikit, kalau tidak macam mana mahu dapat untung,” katanya.

Beliau yang sudah lebih 20 tahun membantu keluarganya berniaga di situ turut memberitahu harga bagi cili padi yang sebelum ini dijual RM11 sekilogram naik kepada RM15 pada masa ini.

“Selain itu, kacang buncis turut mengalami kenaikan dan kini ia dijual pada harga RM8 sekilogram berbanding hanya RM4 sebelum ini,” katanya.
Bagi seorang lagi peniaga sayur, Rudyshah Mahmud, 24, berkata harga sayuran yang dijual di pasar berkenaan berbeza mengikut jenis dan gred.

“Bagi cili padi yang bersaiz lebih kecil, saya jual pada harga RM12 sekilogram sejak lebih dua minggu lalu berbanding RM8 sebelum ini.

“Untung yang diperoleh juga tidak begitu banyak kerana jika saya jual dengan harga yang lebih tinggi, orang tidak mahu beli,” katanya.

Beliau berkata, harga pasaran bagi tomato kini naik RM5 sekilogram berbanding RM3 sebelum ini.

“Sayur tempatan yang lain tidak menghadapi masalah dari segi bekalan walaupun cuaca tidak begitu baik sekarang,” katanya.

Sementara itu, bagi peniaga ikan, Mohd Fauzi Abdullah, 45, beliau sukar untuk mendapatkan bekalan ikan tongkol dan disebabkan jumlahnya yang semakin berkurangan, harga jualannya turut naik sehingga RM8 sekilogram berbanding hanya RM6.50 sebelum ini.

“Harga ikan kembung segar turut naik RM11 sekilogram berbanding hanya RM9 minggu lalu,” katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI