Hikmah di sebalik perbezaan kalendar Hijrah, Masihi

Wednesday, November 30, 2011

Hikmah di sebalik perbezaan kalendar Hijrah, Masihi

Daripada Aisyah, katanya: “Sungguh sedikit waktu (kesuntukan waktu) bagi Nabi SAW pada hari itu, namun amat perlu sekali bagi Baginda datang juga ke rumah Abu Bakar pagi atau petang. Maka ketika telah diizinkan bagi Baginda untuk pergi (hijrah) ke Madinah, kami tidak pernah terkejut melainkan ketika Baginda datang ke rumah kami waktu Zuhur, lalu kedatangan Baginda itu dimaklumkan kepada Abu Bakar.

Berkata Abu Bakar: Nabi SAW tidak akan datang pada waktu ini melainkan kerana ada urusan yang sangat penting. Ketika Nabi SAW masuk ke tempat Abu Bakar, Baginda bersabda kepadanya: Suruhlah orang yang ada di sekelilingmu keluar. Berkata Abu Bakar: Ya Rasulullah! Hanya ada dua orang anakku, Aisyah dan Asma’. Sabda Nabi SAW: Tahukah engkau bahawa sesungguhnya aku telah diberi izin untuk keluar (hijrah)? Berkata Abu Bakar: Anda perlu teman, ya Rasulullah! Sabda Baginda: Ya, kawan. Berkata Abu Bakar: Ya Rasulullah! Aku mempunyai dua ekor unta yang sengaja ku sediakan untuk keluar (hijrah), ambillah seekor untuk anda. Sabda Nabi: Ku ambil seekor dengan harganya.” (Hadis riwayat Bukhari) Orang yang mula-mula menetapkan hijrah sebagai permulaan tarikh dalam Islam ialah Saidina Umar al-Khattab ketika beliau memegang jawatan khalifah iaitu pada tahun 17 hijrah. Beberapa cadangan telah dikemukakan kepada beliau, ada mencadangkan tarikh kelahiran Rasulullah SAW, ada pula mencadangkan kebangkitannya menjadi Rasul dan ada mencadangkan tahun kewafatan Baginda.

Tetapi semua cadangan itu tidak dipersetujui Saidina Umar memandangkan hijrah adalah peristiwa terpenting antara peristiwa lain, seperti mana katanya: “Kita membuat tarikh dengan hijrah Rasulullah SAW kerana hijrahnya itu adalah perbezaan antara yang benar dengan yang batal.”

Pendapat itu disokong oleh Saidina Ali. Sebenarnya, wujud jalinan antara perkiraan tahun masihi dan hijri (Hijrah) kepada umat Islam. Tahun Masihi dikira menurut peredaran matahari (tarikh as-Syamsi) sementara perkiraan tahun hijri pula berdasarkan peredaran bulan (tarikh al-Qamari).

Islam tidak menolak salah satu perkiraan tarikh berkenaan dalam kehidupan manusia. Perkiraan tarikh as-Syamsi adalah untuk menentukan musim atau aktiviti manusia. Daripada tarikh inilah manusia mengenal peredaran musim panas, sejuk, menyemai atau menuai.

Sementara tarikh al-Qamari pula menentukan masa ibadat. Peredaran yang tidak sama antara tarikh as-Syamsi dan al-Qamari menyebabkan umat Islam dapat merasai musim berbeza setiap kali menunaikan ibadat tertentu.

Contohnya musim haji dan puasa. Mungkin pada tahun ini, umat Islam berpuasa atau menunaikan haji dalam musim sejuk, tetapi beberapa tahun kemudian pula dalam musim panas.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI