Kisah misteri di sebalik kewujudan Batu Rasak dekat Kampung Penan Muslim, Batu 10, Jalan Bintulu-Miri, tidak begitu diketahui umum sehinggalah ke hari ini. Malah ada kalangan penduduk Bintulu sendiri, tidak tahu mengenai kewujudan batu yang dianggap sebagai `keras' di kalangan masyarakat Penan itu.
Penulis berkesempatan mengunjungi sendiri batu yang menyimpan pelbagai kisah misteri yang sukar dirungkai itu, dengan segala pantang larang perlu dipatuhi sebelum sampai ke lokasi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Penulis turut dimaklumkan ramai penduduk Penan sendiri takut untuk menghampiri batu yang dikatakan berpenunggu dan dihuni makhluk halus itu, susulan beberapa kejadian pengunjung jatuh sakit selepas ke situ, malah ada yang kena rasuk sehingga menjadi gila, dikatakan akibat sumpahan batu berkenaan.
Seram juga bulu tengkuk penulis bila mengetahui cerita di sebalik misteri Batu Rasak, namun perasaan ingin tahu dan ingin melihat lebih dekat batu berkenaan menyebabkan penulis dan jurufoto memberanikan diri dengan ditemani Ketua Kaum Raini Piee, 43, dan guru silat Jetawi kampung berkenaan, Mohd Zuhairi Rosli, 32, pergi ke lokasi berkenaan, baru-baru ini.
'Jangan takbur dan jangan tegur' ialah peringatan yang diberikan Raini, sebelum kami melangkah ke lokasi yang terletak kira-kira 15 minit berjalan kaki dari balai raya Kampung Penan Muslim itu. Malah kami diingatkan jika ternampak sesuatu yang aneh, dilarang sama sekali bertanya atau bercakap mengenainya serta jangan sama sekali mencabar kemampuan batu itu, walaupun di dalam hati.
Batu itu juga tidak boleh dikunjungi sesuka hati dengan setiap pengunjung yang ingin datang melihatnya secara lebih dekat, perlu mematuhi pantang-larang tertentu dan berjumpa dengan ketua kaum untuk membawa ke tempat batu itu.
Akur dengan pantang larang kaum Penan, kami hanya berjalan di belakang Raini dan Zuhairi yang masing-masing membawa sebilah parang untuk menebas rumput panjang, bagi membuka laluan masuk ke lokasi `Batu Rasak.'
Mohd Zuhairi juga meminta kebenaran melakukan `sesuatu' sebelum kami dapat masuk ke situ, dengan beliau juga memeriksa kawasan itu, bagi memastikan keadaan selamat, sebelum kami dibenarkan menghampiri batu berkenaan.
Melihat keadaan lokasi Batu Rasak yang ditumbuhi rumput dan lalang panjang, mengesahkan lagi cerita betapa ia jarang dikunjungi, namun kaum Penan bukan Islam dipercayai masih meletakkan bahan-bahan pemujaan atau makanan di situ, dipercayai bagi mengubati mereka yang sakit selepas datang ke situ.
Namun berbeza dengan `Batu Katak' di Jalan Bintulu-Sibu yang menjadi tempat tumpuan pemujaan `kaki nombor ekor', tiada yang berani melakukan perkara seperti itu di Batu Rasak kerana takut dimarahi penunggu.
Selain Batu Rasak berbentuk orang yang berdiri tegak, beberapa batu lain berbentuk manusia duduk, seorang wanita bertudung mengendong anak, batu berbentuk kerusi besar, batu berlubang yang boleh dimasukkan kepala dan pelbagai batu-batu lain kecil bertaburan di situ.
Batu besar yang dikatakan Rasak itu disempadani aliran Sungai Sepegang. Sekali pandang sememangnya tiada yang aneh, namun Raini meminta penulis mengamati secara lebih terperinci pada hujung batu tunggal, kelihatannya ada bentuk seperti `muka dan hidung' juga satu lagi batu berbentuk perempuan bertudung.
"Batu besar inilah Rasak, sementara batu-batu kecil lainnya ialah pengikut Rasak," kata Raini yang menambah kata, satu ketika dulu batu berkenaan tenggelam, namun sekarang ia semakin timbul.
Ada juga batu berbentuk kura-kura dalam parit kira-kira 300 meter dari Batu Rasak, selain satu batu berbentuk unta sedang berehat kira-kira 200 meter dari batu kura-kura berkenaan, dengan penduduk Penan percaya ia juga menggambarkan misteri yang pernah berlaku di kawasan itu.
Memandangkan Raini ialah Ketua Kaum ke-15 di situ, beliau kurang tahu mengenai kisah di sebalik misteri Batu Rasak, kecuali mengakui ia ada kaitannya dengan tindakan Ketua Kaum Rasak dan orangnya ketawa dengan tupai lebih 200 tahun yang lalu, sehingga datang hujan disertai ribut taufan dan mereka akhirnya bertukar menjadi batu.
Kaum Penan percaya sejarah Batu Rasak bermula ketika kaum Penan mengadakan pesta keramaian dengan memasak daging kura-kura dan daging tupai pada suatu malam. Daging berkenaan dimasak dalam buluh dan setelah masak, ia dihidangkan sebagai hidangan utama pada pesta berkenaan.
Pada mulanya, mereka menjamu daging kura-kura yang dirasakan sangat enak dan sedap. Setelah itu, mereka memakan daging tupai yang rasanya lain dari daging kura-kura tadi.
Mereka kemudian ketawa sebaik merasakan daging tupai kurang enak dan sedap. Beberapa saat kemudian, keadaan sekeliling menjadi tidak menentu, angin kuat dan hujan turun. Semua kaum Penan yang berada di pesta berkenaan bertukar menjadi batu.
Menurut cerita lama orang Penan, berikutan ada sebilangan kaum Penan pergi berburu ketika itu dan tidak menyertai pesta keramaian berkenaan, mereka terselamat daripada sumpahan. Menurut ceritanya juga, jika pada malam itu, tiada seorang pun kaum Penan yang terselamat, kemungkinan keturunan Penan tidak wujud lagi di kawasan itu.
Biar pun ada beberapa rumah penduduk kira-kira 300 meter dari kawasan batu berkenaan, namun penduduk mendakwa tidak pernah `diganggu' oleh penunggu di situ. Cuma kejadian pengunjung jatuh sakit dan ada yang menjadi gila dikatakan kerana sikap takbur dan cakap besar ketika datang ke situ.
"Pernah juga ada pengunjung yang datang ke sini menjadi gila kerana terlalu berahi dengan penunggu di Batu Rasak. Menurut kepercayaan dua gadis jelita ialah antara penunggu di sini dengan kecantikan mereka menyebabkan mereka yang mungkin tidak mematuhi pantang larang jatuh berahi.
"Sebab itulah penduduk sendiri tidak mahu mengusik kedudukan batu-batu di sini dan sentiasa berpesan kepada anak cucu mereka supaya tidak menghampiri batu ini. Nenek moyang saya lebih tahu cerita sebenar di sebalik misteri Batu Rasak," kata Raini.
Kebanyakan penduduk Penan di kawasan itu jarang ke situ kerana takut akan malapetaka buruk yang akan menimpa keluarga mereka sekiranya datang ke situ sesuka hati.
Menurut cerita ketua kaum terdahulu, pernah pengunjung bermulut celupar ketika mengunjungi batu itu menjadi gila dan selepas diubati dengan cara rawatan tradisi 'bayuh' iaitu menggunakan bomoh kampung mengikut kepercayaan kaum Penan, barulah dia sembuh.
Pernah juga seorang remaja yang mengikuti program belia ke situ dikatakan terkena rasukan dengan penduduk kampung terpaksa meletakkan makanan 'ayam yang sudah dimasak' di satu lubang pada batu berkenaan, barulah remaja itu sembuh.
Begitu juga cubaan seorang penduduk kampung yang mengambil gambar batu berkenaan, kesemua gambarnya tidak menjadi, dipercayai ada kaitan dengan rasa kurang yakinnya ketika mengambil gambar.
Ada juga kepercayaan bahawa Sungai Sepegang, juga dikenali sebagai Sungai Megang dalam kalangan penduduk di situ, adalah nama isteri kepada raja Penan yang turut menjadi batu. Ada kepercayaan mengatakan isteri raja itu berhantu, kadang-kadang boleh dilihat dan ada kalanya tidak dapat dilihat.
Rata-rata mereka yang datang untuk melihat batu itu ialah orang luar termasuk kaum Penan bukan Islam yang tinggal berhampiran dan kaum lain, selain pengunjung dari luar Bintulu yang tertarik untuk melihatnya secara lebih dekat, sedang bagi penduduk setempat, mereka lebih suka menjauhi lokasi berkenaan.
Penulis sendiri yakin misteri Batu Rasak boleh dijadikan tarikan pelancong di Kampung Penan Muslim Batu 10, Bintulu-Miri. Mungkin ada baiknya kawasan itu dipulihara dan dipagari, dengan jalan simen kecil mungkin boleh dibina menuju ke situ, berbanding ketika ini yang mana pengunjung perlu meredah belukar untuk melihat batu-batu berkenaan.
Ini sekali gus dapat membantu menjana pendapatan penduduk setempat yang sememangnya memberi kerjasama penuh kepada setiap pengunjung yang datang ke kampung berkenaan, tanpa mengira masa.
Kampung Penan Muslim Batu 10, Bintulu-Miri
* Terletak 16 kilometer dari bandar Bintulu.
* Mempunyai 923 penduduk semuanya Islam.
* Turut dihuni kaum Melayu, Melanau, Kadayan, Bugis, Iban, Cina, Bidayuh dan empat anak Kelantan yang berkahwin dengan Penan Muslim di situ.
* Dibuka pada 1968 bermula hanya dengan 33 keluarga Penan Muslim
* Asal usul penduduk Penan di sini dari Sungai Sibiew, Batu 11.
* Masjid Darul Falah Kampung Penan Muslim pernah menang Anugerah Maal Hijrah peringkat negeri 2008.
* Dilengkapi balai raya, perpustakaan dan Pusat Jalur Lebar.
* Dibina jalan raya sepenuhnya seluruh kampung pada 2001.
* Dibekal kemudahan bekalan air dan elektrik sepenuhnya pada 1997.
Oleh Misiah Taib
Kisah misteri kewujudan Batu Rasak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment