Boleh bersedekah dgn wang hasil judi?

Wednesday, November 30, 2011

Bolehkah dia bersedekah dengan wang hasil judi? Apakah kelebihan bersedekah?

-----

ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d. Pertamanya, saya ingin menyentuh berhubung dosa judi. Allah SWT berfirman bermaksud: Wahai orang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, berkorban untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan itu agar kamu beruntung. ( Surah surah al-Maidah ayat 91)

Dalam hadis riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Sesungguhnya ada orang berusaha mendapatkan harta dengan cara tidak benar. Maka nerakalah bagi mereka pada hari kiamat.

Kepada saudara yang bertanya, Allah tidak menerima kecuali sesuatu yang baik. Justeru, orang bersedekah dengan barang haram tidak akan diterima amalannya.

Dalam hadis riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Sesungguhnya Allah Maha Baik, tidak menerima sesuatu kecuali yang baik. Dan Allah memerintahkan kepada Mukmin sebagaimana Dia memerintahkan kepada para rasul.

Allah SWT berfirman: Hai para Rasul, makanlah sesuatu yang baik dan kerjakanlah amalan salih. (Surah al-Mukminun, ayat 51)

Allah juga berfirman bermaksud: “Hai orang beriman, makanlah apa-apa yang baik daripada yang Kami rezekikan kepadamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 172)

Kemudian Rasulullah SAW menceritakan perihal seseorang yang menempuh perjalanan jauh, rambutnya kusut masai dan penuh debu. Dia menadahkan kedua-dua tangannya ke langit dan berkata, “Wahai Tuhan! Wahai Tuhan!, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan perutnya dikenyangkan dengan makanan haram, maka bagaimana diterima permohonannya (doanya).

Sesuatu yang baik itu adalah dinilai baik di sisi Allah. Seseorang hanya memakan makanan halal, doanya mudah dimakbulkan. Begitu juga seseorang menjauhkan diri daripada melakukan maksiat kepada Allah.

Orang melakukan maksiat tidak dimakbulkan doanya kecuali mereka yang Allah SWT kehendaki. Antara sebab dimakbulkan doa iaitu ketika musafir, hati yang sentiasa mengharap, mengangkat kedua-dua tangan ke langit, merayu dalam berdoa, keinginan kuat dalam permintaan, memakan makanan dan minuman halal.

Jika dinyatakan kelebihan sedekah ada banyak tetapi barang yang hendak disedekahkan itu mestilah elok. Jika kita sedekahkan sesuatu yang kita tidak tergamak menggunakannya, maka tak perlu sedekahkan barang itu.

Kedua, jika hendak bersedekah pastikan juga daripada hasil halal. Orang bersedekah dengan perkara halal mendatangkan pahala dan menggugurkan dosa. Namun sekiranya ia bersedekah daripada hasil haram, dibimbangi membawa kepada azab neraka.

Ketiga, sedekah terbaik adalah memberi barang disayangi. Allah SWT berfirman bermaksud: Kamu tidak akan memperoleh kebajikan sehingga kamu membelanjakan (infak) sebahagian harta kamu cintai. Dan apa saja kamu infakkan, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. ( Surah Ali Imran ayat 92)

Keempat, sedekah tidak dihebahkan lebih baik berbanding sedekah dihebahkan. Allah SWT berfirman bermaksud: “Jika kamu menampakkan sedekahmu (bertujuan menunjukkan contoh), maka itu baik. Dan jika kamu menyembunyikannya dan memberikannya kepada fakir, maka itu lebih baik bagimu dan Allah akan menghapuskan sebahagian kesalahanmu.” (Surah al-Baqarah, ayat 271)

Kelima, bersedekah dapat menghilangkan sifat bakhil dan menyucikan jiwa. Dalam hadis riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah para hamba pada waktu pagi, melainkan ada dua malaikat turun. Satu daripada mereka berdoa, “Ya, Allah. Berikanlah kepada orang yang menafkahkan hartanya balasan lebih baik,” sedangkan malaikat lain berdoa,”Ya, Allah. Berikanlah kebinasaan kepada orang menahan hartanya (tidak mau menafkahkannya).

Demikianlah, wallahua’lam.

~BH

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI