Kisah Misteri: Gerai Bukit Lenggok

Friday, March 02, 2012

Misteri: Gerai Bukit Lenggok
Berkongsi hidup dalam dunia ini dengan makhluk halus ada kalanya mengundang rasa tidak selesa, terutama mengenangkan tindak tanduknya yang sering menyesatkan mereka yang sering leka. Lebih tidak menyenangkan ialah apabila makhluk halus boleh menjelmakan diri seperti manusia dengan tujuan menyesatkan dan apabila kebenaran terserlah, ia sudah terlalu lambat.

Peristiwa yang menimpa sebuah keluarga dalam perjalanan mengunjungi saudara mara di sebuah daerah di utara tanah air mungkin boleh dijadikan iktibar betapa kelalaian walaupun sesaat bermakna menempah bencana.

Malam semakin gelap, sedangkan destinasi yang dituju masih jauh. Tumpuan Kamarul (bukan nama sebenar) kepada pemanduan agak terganggu dengan rungutan isteri dan anak-anak yang mengadu kelaparan.

Dia memilih untuk melalui kawasan yang dinamakan Bukit Lenggok kerana ia adalah jalan pintas untuk sampai lebih cepat ke rumah sepupunya. Kawasan sekitar Bukit Lenggok gelap kerana terletak jauh dari jalan utama dan kedudukan lampu jalan yang berjauhan antara satu sama lain tidak banyak membantu.

Bersesuaian dengan namanya, jalan di Bukit Lenggok bengkang bengkok dan sesekali Kamarul melalui kawasan lencongan berbahaya. Semua itu memaksa Kamarul memandu dengan lebih berhati-hati.

Selepas agak lama memandu, Kamarul menyedari bukan hanya isteri dan anak-anaknya saja yang kelaparan tetapi perutnya juga sudah berlagu minta diisi.

Pening juga kepalanya memikirkan di mana hendak mencari kedai makan di kawasan terpencil seperti itu apatah lagi hari semakin larut malam. Rasa menyesal bersarang di hati kerana tidak membeli bekalan ketika berhenti di kawasan rehat lebuh raya sebelum itu.

Tiba-tiba dari jauh, Kamarul ternampak sebuah gerai kecil dengan beberapa pelanggan masih menjamu selera. Dia tersenyum sendiri kerana dapat mengisi perut sementara menanti sampai di rumah sepupu yang sudah lama tidak ditemui.

Kamarul turun dan memilih tempat duduk diikuti isteri dan anak-anaknya. Masing-masing memilih hidangan mengikut selera sendiri - ada yang meminta mi goreng, nasi goreng dan air sirap. Selesai makan, Kamarul memanggil pemilik gerai dan membayar harga makanan sebelum bergerak menaiki kereta untuk meneruskan perjalanan.

Ketibaan Kamarul sekeluarga disambut gembira sepupunya, Ramli (bukan nama sebenar) dan isteri. Mereka saling bertukar cerita kerana sudah lama tidak berjumpa. Namun kerancakan berbual terganggu apabila Kamarul memberitahu mereka sekeluarga sudah berhenti makan di sebuah gerai di kawasan Bukit Lenggok selepas isteri sepupunya mahu menghidangkan makanan.

Dengan nada hairan Ramli berkata di kawasan itu tiada gerai makan kerana ia terpencil dan jarang dilalui kenderaan pada waktu malam. Bagaimanapun, Kamarul berkeras mengatakan ada gerai di situ dan kenyataan itu disokong oleh isteri dan anak-anaknya.

Ramli yang lebih tahu kawasan di situ sekali lagi menegaskan di situ tiada gerai makan dan mula berasa curiga dengan cerita Kamarul mengenai mereka sekeluarga berhenti makan. Tidak puas hati dengan cerita Kamarul, dia meminta sepupunya itu menunjukkan gerai tempat mereka berhenti makan.

Pada keesokan hari, Ramli dan Kamarul kembali ke kawasan gerai dan setiba di situ, mulut Kamarul seakan terkunci kerana seperti penjelasan Ramli, tiada gerai di situ. Terhidang di depan mata ialah semak samun.

Masih cuba menidakkan kebenaran, Kamarul berkata dia sendiri membuat bayaran kepada pemilik gerai. Dia sekali lagi kaku apabila Ramli menunjukkan wang kertas dan syiling terselit di celah ranting sebatang pokok di situ. Kamarul serta merta berasa loya memikirkan apa sebenarnya yang dihidangkan kepada mereka anak beranak semalam.

Sepanjang perjalanan balik ke rumah Ramli, dia langsung tidak bersuara, cuma asyik terfikir jika bukan gerai yang berada di situ, siapakah pula pelanggan dan pemilik yang ditemuinya.

Sebenarnya bukan Kamarul seorang pernah mengalami kejadian itu dan sehingga hari ini, gerai misteri pada waktu malam di Bukit Lenggok masih diperkatakan.

Oleh Hazirah Che Sab

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI