Pertandingan Pertunjukan Sains Petrosains 2012

Wednesday, March 28, 2012

Pertandingan Pertunjukan Sains Petrosains anjuran Petrosains Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan Petrosains, kembali pada tahun ini dengan menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM6 000.

Pemenang pertama bakal menerima wang tunai RM3 000, piala pusingan, Program Pembangunan Sains dan Barangan Petrosains, manakala tempat kedua bakal membawa balik wang tunai RM2 000, Program Pembangunan Sains dan Barangan Petrosains diikuti tempat ketiga dengan wang tunai RM1 000, Program Pembangunan Sains dan Barangan Petrosains.

Penyertaan murid-murid dalam aktiviti ini mampu mencungkil bakat dan potensi dalam bidang rekacipta dan inovasi berteraskan sains dan teknologi, membangunkan kemahiran hard and soft skill dan melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan multi-tasking ke arah mencapai misi Negara.

Petrosains ialah pusat sains interaktif yang menceritakan mengenai sains di sebalik industri petroleum negara ini dengan penampilan kreatif dan interaktif. Ia komitmen dan sumbangan khas Petronas dalam membantu membentuk masyarakat yang berbudaya sains dan cenderung menimba ilmu.

Pertandingan yang dimulakan pada tahun 2009 itu disokong oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Berita Harian dan The New StraitsTimes. Pada tahun 2010, pertandingan berkenaan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara dan terbuka untuk pelajar sekolah menengah tingkatan atas saja, namun pada tahun lalu dibuka untuk kategori menengah rendah juga. Tahun ini, pertandingan berkenaan kembali lagi dan kini dibuka untuk pelajar Tingkatan 1 hingga 6 membabitkan satu kategori saja.

Pertunjukan Sains Petrosains 2012 kini dibuka untuk penyertaan. Untuk keterangan lanjut dan borang penyertaan, sila layari laman sesawang www.petrosains.com.my.

Penyertaan pertandingan dibuka bermula Februari ini dan tarikh tutup penghantaran borang penyertaan adalah pada 30 April 2012.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI