KES DERA ANAK: IBU KANDUNG DIHUKUM PENJARA 10 TAHUN, BAPA TIRI 13 TAHUN

Wednesday, July 03, 2013

Kuala Terengganu, 2 Julai - Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 10 tahun terhadap seorang ibu kandung yang mendera tiga anaknya manakala bapa tiri mereka dihukum penjara 13 tahun selepas pasangan itu mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan mendera kanak-kanak berkenaan.

Norazira Abas, 29, dan Mohd Shazwan Shaari, 26, didakwa melakukan perbuatan itu antara Mac hingga Jun lepas di sebuah rumah di Taman Perumahan Gong Badak 4 di sini mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa mendera ketiga-tiga beradik yang berusia 7, 5 dan 2 tahun enam bulan.

Mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah kerana cedera teruk di seluruh anggota badan akibat dicucuh puntung rokok, disimbah air panas dan kaki dirantai, selain ditampar serta dipukul.

Ketika pertuduhan dibacakan di depan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi, Mohd Shazwan, yang bekerja sebagai buruh, dan Norazira, yang tidak bekerja, hanya mengangguk tanda faham.

Bagi pertuduhan pertama, pasangan itu didakwa mendera mangsa yang berusia 7 tahun dengan niat bersama melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Pertuduhan kedua dan ketiga juga membabitkan dakwaan sama terhadap adik mangsa pertama yang berusia 5 tahun dan seorang lagi 2 tahun 6 bulan.

Bagi kesalahan pertama, Mohd Shazwan dihukum penjara 5 tahun dan masing-masing 4 tahun penjara untuk pertuduhan kedua dan ketiga, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara 13 tahun.

Norazira pula dihukum penjara 4 tahun bagi kesalahan pertama dan masing-masing 3 tahun untuk pertuduhan kedua dan ketiga, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara 10 tahun.

Rozianti memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman itu secara berasingan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Masriwani Mahmud @ Mamat manakala tertuduh diwakili Biro Bantuan Guaman. - BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI