Puasa saudara baru

Monday, July 22, 2013

Puasa saudara baru

"Tahun ini secara rasminya saya berpuasa buat kali pertama sebagai saudara baru dan berasa tidak sabar untuk meraikan hari kemenangan nanti dengan rakan Muslim yang samasama merayakannya," kata Muhammad Amirul Syafie Lee, yang sudah setahun lebih menjadi saudara baru.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Amirul kini menuntut di Tingkatan Enam atas dan bersekolah di Seremban, mula tertarik kepada ajaran Islam pada usia 14 tahun secara kebetulan.

Bertugas sebagai pustakawan di sekolahnya, beliau kerap membantu guru dan rakan pustakawan mengemas buku di perpustakaan serta sering memilih bahagian bacaan buku agama kerana berasa tertarik dengan ilmu pengetahuan di dalamnya.

"Saya sendiri memilih bahagian itu dan pada suatu ketika, ada rakan Muslim ternampak saya membaca buku agama di perpustakaan sambil mengemas.

"Dia memberitahu ustazah dan saya dipanggil ustazah yang kemudian bertanya, sama ada saya memerlukan bantuan dia atau tidak untuk memahami apa saja saya tidak faham dalam buku yang dibaca itu," ceritanya.

Itulah hakikatnya, hidayah ke arah kebaikan daripada Allah SWT datang dalam pelbagai cara kepada umatNya yang benarbenar mencari keredaan dalam hidup, terutama saudara baru seperti Amirul dan mul mendalami Islam serta terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan ujian pada Ramadan ini.

Tidak sabar berpuasa

Kata Amirul, ketika Ramadan belum tiba, beliau sentiasa berasa tidak sabar untuk menikmati suasana umat Islam berkenaan yang semarak dengan Tarawih dan amalan lain yang boleh diamalkan. Ramadan adalah masa yang dinanti-nanti kerana beliau berasa cukup teruja berpuasa, terutama ketika berbuka dan bersahur.

"Saya juga berasa teruja kerana emak saya sendiri, bersusah payah bangun menyediakan hidangan sahur dan juadah berbuka untuk saya walaupun dia tidak berpuasa," katanya.

Cerita Amirul lagi, beliau meminta kebenaran ibu, Tan Poh Yok, 49, untuk masuk ke kelas belajar agama ketika waktu peralihan di sekolah dan semakin bersemangat untuk belajar kerana mendapat kebenaran ibunya.

"Saya melafazkan dua kalimah syahadah beberapa hari sebelum hari lahir saya yang ke-17 dan tidak lama selepas itu semua urusan selesai, tapi saya belum menyatakan kepada emak kerana risau jika dia tidak dapat menerima keputusan saya.

"Begitupun, sebagai anak, saya lagi risau kerana tidak pernah berahsia dengan ibu. Akhirnya saya memberanikan diri memberitahu emak yang saya sudah memeluk Islam. Alangkah terkejutnya saya kerana dia hanya senyum dan kata dia sudah tahu," katanya yang juga anak tunggal.

Terharu pengorbanan ibu

Lebih mengesankan Amirul apabila ibunya turut membeli perkakas memasak dan pinggan mangkuk baru untuk kegunaan di rumah walaupun beliau tidak pernah meminta ibu melakukannya.

"Saya cukup terharu dengan pengorbanan yang emak saya lakukan dan naluri keibuannya begitu kuat kerana dia boleh mengagak gerak-geri saya yang tertarik kepada Islam.

"Kini apabila tiba waktu berbuka, dia yang seronok membeli kuihmuih untuk saya berbuka dan begitu juga waktu bersahur, dia menemankan saya bersahur," katanya.

Sebagai anak tunggal, Amirul dimanjakan ibu, tapi itu bukan alasan untuk beliau mengambil kesempatan, sebaliknya berterima kasih yang tidak terhingga kepada ibu yang sentiasa memahami dirinya.

"Ramadan ini memang mencabar terutama sebagai saudara baru, tapi saya tidak berasa sukar kerana rasa ingin lebih setiap hari mengatasi perasaan negatif.

"Saya anggap rutin berpuasa sangat unik kerana selepas berbuka, kita melakukan solat Tarawih, kemudian ada bersahur, serta sambutan Aidilfitri selepas sebulan bertawakal menghadapi ujian," katanya.

Amirul juga menjelaskan, beliau belum membuat persiapan Aidilfitri, terutama untuk pakaian kerana persalinan baju Melayu yang digunakan tahun lalu masih baru dan boleh disarungkan.

Baginya, keutamaan yang diinginkan ialah beliau berjaya menjalani ibadat puasa dengan cemerlang, selain memperbaiki bacaan dalam solat serta pada masa sama, berterima kasih kepada ibu yang tidak pernah jemu memberikan dorongan untuk beliau berjaya dalam pelajaran.

Hidayah pada usia emas

Pada riak wajahnya, ada ketenangan. Barangkali, itulah yang dicari Nor Amaryati Saundappan, 68, selama ini. Apa yang pasti, ada perasaan gembira dalam hatinya, tetapi sukar digambarkan serta dijelaskan dengan katakata.

Hidangan berbuka puasa yang ada di depan mata cukup sederhana iaitu tiga biji kurma, berapa keping biskut dan segelas air putih. Bagaimanapun, Nor Amaryati menikmatinya dengan penuh kesyukuran, puas dan bangga kerana hari itu lengkap satu hari lagi ibadat puasanya.

Bagi Nor Amaryati, berpuasa selepas menjadi saudara baru mempunyai perbezaan dengan berpuasa sebelumnya.

"Saya sudah pernah berpuasa sebelum ini kerana tuntutan agama juga, tapi berpuasa selepas memeluk agama Islam ini lain rasanya.

"Mungkin kerana ada masamasanya kita berbuka dan bersahur, itulah yang menjadikan puasa kali ini lebih istimewa," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Hadiri kelas agama

Beliau yang sudah lima bulan memeluk Islam mengakui bersyukur kerana berpeluang mendekati dan mendalami agama Islam walaupun pada usia emas. Lebih menggembirakannya, terdapat buku agama dalam bahasa Tamil untuk dirujuk.

"Suami sudah lama meninggal dan anak-anak juga sudah ada kehidupan mereka sendiri, selain tinggal jauh. Jadi, saya menetap di Serdang dan berpeluang belajar agama dengan ustazah dan menghadiri kelas agama di Bangi.

"Pada Ramadan ini, saya banyak mendapat bantuan daripada anak angkat yang tinggal berdekatan dan kadangkala saya membantu dia berniaga juadah untuk berbuka puasa di hadapan rumah kami, pengalaman ini menyeronokkan terutama ketika kami berbuka puasa bersamasama," katanya yang mengamalkan berbuka puasa dengan mengambil kurma dan segelas air putih sebelum mengambil hidangan berat.

~ BH

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI