Arni Nazira Kembali Bahagia

Friday, July 17, 2009

Keruntuhan perkahwinan lalu bukan penghalang buat penyanyi yang pernah popular dengan lagu Cinta Antara Benua, Arni Nazira Anuar untuk mengecapi kebahagiaan berumah tangga seperti pasangan lain.

Malah kata Arni, 31, yang sudah empat bulan bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Wan Mohd Hazrie Wan Mokhtar, 32, kini dia sudah mengecapi semula kebahagiaan berumahtangga seperti diimpikan selama ini.

Tidak cukup dengan itu, Arni, 31, yang tampil anggun dengan imej bertudung mengakui banyak pengajaran yang diperolehnya daripada kegagalan rumah tangganya sebelum ini.

"Saya mengharapkan perkahwinan kedua ini adalah yang terakhir dan berkekalan hingga ke akhir hayat. Sebagai wanita yang pernah berkahwin dan bergelar ibu tunggal, saya juga tidak mahu pisang berbuah dua kali.

"Buat masa ini saya ingin berehat seketika daripada kerjaya seni kerana ingin memberi fokus terhadap rumah tangga. Maklumlah, saya baru saja bergelar isteri orang dan ingin memulakan kehidupan berumah tangga selepas hampir tiga tahun hidup sendirian dan bergelar ibu tunggal kepada dua anak.

"Buat masa ini, biarlah saya memberi keutamaan pada rumah tangga terlebih dulu. Apatah lagi, saya juga disahkan mengandung dua bulan sekarang.

"Seperti wanita mengandung lain, sudah pasti saya memberi sepenuh tumpuan kepada bayi yang bakal dilahirkan nanti. Jika nak diikutkan, suami juga meminta saya memberi tumpuan pada rumah tangga terlebih dulu berbanding kerjaya seni," katanya.

Penyanyi yang berasal dari Kuantan, Pahang ini berkata, buat masa ini, dia dan suami menetap di kediaman mereka di Shah Alam, Selangor.

"Kami masih berulang-alik dari Shah Alam ke Terengganu kerana suami juga mempunyai urusan perniagaan di sana. Selepas berkahwin, saya juga buat bisnes tudung secara kecil-kecilan yang juga jenama Glow Bean. Produk ini juga meliputi penjagaan kecantikan kulit," katanya.

Arni berkata, sekalipun bakal menimang cahaya mata sendiri, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap dua anaknya hasil perkahwinan pertama dulu.





Hasil perkongsian hidup dengan bekas suaminya, vokalis utama Wings, Ahmad Azhar Othman atau Awie, 40, sebelum ini, mereka dikurniakan dengan dua anak, Puteri Aleeya Antasha, 8 dan Puteri Aleefa Antasha, 5.

"Saya bersyukur kerana kes hak penjagaan dua anak dengan bekas suami sudah selesai. Malah, hubungan saya dan bekas suami tetap baik sampai sekarang.

"Memang anak tinggal bersama bekas suami, tetapi saya tetap mengambil mereka tinggal bersama pada hujung minggu dan musim cuti sekolah. Anak juga sudah menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang," katanya.

Akui Arni, kalau boleh kali ini mengharapkan kelahiran anak lelaki selepas mempunyai dua anak perempuan. Bagaimanapun, katanya, terlalu awal untuk mengetahui jantina bayi dalam kandungannya itu.

"Setakat ini kandungan sihat dan saya tidak mengalami sebarang alahan," katanya.

Mengenai perkembangan kerjaya seni, kata Arni, drama terakhir lakonannya sebelum ini ialah drama bersiri Bonda untuk TV9 yang turut membariskan pelakon hebat tanah air seperti Kamariah Mat Dom sebagai Bonda, Ridzuan Hashim, Mahmud Ali Bashah, Aliza Shahdan, Syed Ali dan Norul Iman.

Kata Arni, dia juga masih mendapat tawaran berlakon sekalipun sudah bertudung dan bergelar isteri orang sekarang.

"Terus terang, memang banyak tawaran berlakon yang saya terima, tetapi saya terpaksa menolaknya buat masa ini. Pada masa sama, saya juga masih memenuhi undangan persembahan termasuk pesta kebudayaan dan majlis makan malam di Terengganu.

"Boleh dikatakan saban bulan, saya mendapat undangan. Kalau tidak ada undangan, saya berkaraoke di rumah bagi melepaskan kerinduan pada bidang nyanyian," katanya.

Oleh Ramlah Zainal

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI