Bintang Bollywood guna Twitter, blog

Friday, July 17, 2009

Nama-nama besar Bollywood mula mengikuti jejak langkah bintang Hollywood dengan menggunakan internet untuk berada lebih dekat dengan peminat.

Antaranya termasuk aktres, Shilpa Shetty dan Celina Jaitley hinggalah aktor Aamir Khan, Salman Khan dan Amitabh Bachchan yang menyiarkan gambar, video dan pandangan mereka di laman web sendiri.

Web sosial seperti Facebook dan laman seumpamanya di India, Orkut, menjadi pilihan untuk memberitahu peminat mengenai pelancaran filem terbaru dan kehadiran mereka pada majlis tertentu.

Aktres terkenal, Priyanka Chopra, berkata menulis adalah satu bentuk terapi dan beliau kini selalu menggunakan Twitter.

"Ia bermula umpama satu hobi baru, tetapi kini saya tidak dapat berhenti menulis setiap kali sesuatu yang menarik berlaku," katanya kepada The Hindustan Times, minggu lalu.

Pandangan Chopra di laman Twitter � www.twitter.com/priyankachopra � mendedahkan fikirannya mengenai kematian Raja Pop, Michael Jackson hinggalah kepada hujan.

Sonam Kapoor juga membincangkan program televisyen kegemarannya, selain projek filem terbarunya Aisha, berasaskan novel Jane Austen pada 1815 berjudul Emma.

Pengarang budaya di The Hindustan Times, Mayank Shekhar, berkata penggunaan teknologi baru oleh bintang Bollywood kena pada masanya.

"Ada terlalu banyak cerita mengenai mereka setiap hari yang tidak benar. Jadi, blog dapat membetulkannya," katanya.

Amitabh Bachchan, misalnya, selalu memasukkan perkembangan terbaru dalam blog beliau � bigb.bigadda.com daily, menceritakan pandangannya mengenai diri sendiri dan mengulas soalan peminat.

Terbaru, legenda Bollywood berusia 66 tahun itu menceritakan keadaan kesihatannya selepas selalu sakit perut.

"Wartawan membuat laporan sepenuhnya mengikut blog aktor itu. Ia sudah cukup seperti bercakap dengannya," kata Shekhar. - AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI