Festival Tari Antarabangsa ke-8 di Aswara

Tuesday, July 14, 2009

Fakulti Seni Tari di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) menganjurkan Festival Tari Antarabangsa Ke-8 iaitu Tari '09 - Rooted In Tradition dengan bertemakan Berakarkan Tradisi yang diadakan Aswara, Jalan Tun Ismail, bermula hari ini hingga 18 Julai.

Festival ini bertujuan untuk memperkenalkan Aswara ke seluruh dunia sebagai sebuah institusi kesenian dan kebudayaan unggul di Malaysia. Pelajar, graduan dan pensyarah Fakulti Tari Aswara adalah artis cemerlang dalam bidang masing masing dan sudah mempamerkan inovai dan kreativiti melalui persembahan seperti JAMU yang mencipta nama sebagai persembahan kontemporari paling menarik di Kuala Lumpur selain TAPESTRY iaitu sebuah persembahan tradisional yang merangkul banyak anugerah Anugerah Seni Cameronian anjuran Kakiseni.

Dekan Fakulti Tari Aswara yang juga Pengarah Festival Tari 09, Joseph Gonzales, berkata dengan memberi tumpuan kepada aspek pendidikan, Aswara memilih beberapa institusi seni, universiti serta individu terpilih untuk memberi ruang dan peluang sebagai perbandingan dan pembelajaran dari satu sama lain.

“Dengan berkongsi pengalaman, menonton karya masing-masing, semua peserta dapat menaikkan prestasi masing-masing. Ini kerana beberapa graduan Aswara pernah menerima biasiswa dari Korea National University of Arts di Korea, Taiwan National University of Arts serta US State Department Fellowship dari Amerika Syarikat pada tahun 2008.

“Ini adalah pencapaian yang boleh dibanggakan dan Fakulti Tari berharap dapat menambah peluang seperti ini pada masa yang akan datang,” katanya.

Menurutnya, TARI 09 mendapat sokongan dari Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan melihat penyertaan hampir kesemua institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengajian kesenian dan kebudayaan di rantau Asia Pasifik.

Sebanyak 10 institusi dipilih untuk penyertaan Persembahan Utama. Selain tuan rumah Aswara, ia bakal disertai Unit Kebudayaan, Universiti Malaya; Institut Seni Indonesia Jogjakarta, Indonesia; Western Academy of Performing Arts - Edith Cowan University, Australia; Universiti Chulalongkorn, Thailand; De La Salle University, Filipina; University of Auckland, New Zealand; University of Hawai'i, Amerika Syarikat; Shambhavi School of Dance, India; Korea National University of Arts, Korea Selatan; Nanyang Academy of Fine Arts, Singapura; Macau Academy, Macau, China dan Maya Dance Theatre, Singapura.

Joseph berkata, Persembahan pembukaan akan menampilkan artis muda Malaysia seperti Suhaili Ahmad Kamil selain dua graduan Aswara iaitu James Kan dan Liu Yong Sean.

Katanya, terdapat juga beberapa Artis Antarabangsa yang akan membuat persembahan seperti Ery Mefri dari Padang, Indonesia, T.H.E. Youth (Singapura), University of the Philippines Dance Company (Filipina), Temoa Rua (New Zealand), Ernesthojilla Dancers (Australia), Wendy Rogers (Amerika Syarikat) dan Angela Goh iaitu Residen Artis dari Rimbun Dahan.

Sempena dengan Tari ‘08, sebuah seminar diadakan selama tiga hari yang memberi tumpuan kepada tiga isu iaitu Penyelidikan, Pendidikan dan Persembahan dan Identiti Identiti.

Penceramah yang diundang untuk program ini ialah Dr. Patrick Alcedo dari York University, Kanada; Dr. Ralph Buck University of Auckland, New Zealand), Glorife Samodio (the De La Salle University, Filipina), Dr. Maggi Phillips (Edith Cowan University, Australia) serta panel Malaysia Profesor Datuk Dr. Mohammad Ghouse, Dr. Mumtaz Aboo Backer dan Profesor Dr. Mohd Anis Md Nor.

Semua kertas kerja ini akan dikumpulkan untuk menjadi sebuah buku yang akan diterbitkan kemudian.

Mereka yang berminat untuk menyertai semua aktiviti di Festival Tari Antarabangsa Ke-8 itu akan dikenakan bayaran hanya RM250 sahaja. Untuk maklumat hubungi 016-2389179 atau 012-8499722.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI