Kanak-kanak maut jatuh flat ketika bapa solat Jumaat

Saturday, July 18, 2009

Seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun yang ditinggalkan bapanya di rumah bersendirian ditemui mati di perkarangan flat Taman Kembar Permai, Teluk Kumbar di sini, dipercayai selepas terjatuh dari tingkat lapan bangunan itu.

Nor Qistina Aidani Johari yang ditinggalkan bapanya untuk pergi menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid berhampiran ditemui penduduk sekitar flat itu pada kira-kira jam 2.15 petang.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md Zin, berkata ketika kejadian tiada sesiapa di rumah berikutan ibu kanak-kanak itu, Siti Aida Abdul Wahab yang bekerja sebagai ejen insurans, keluar bekerja.

"Bapa kanak-kanak itu, Johari Halim, yang bekerja sebagai operator kilang, cuti hari ini dan berada di rumah sebelum meninggalkan anaknya bersendirian untuk pergi solat Jumaat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hatta berkata, kanak-kanak malang itu meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kecederaan parah di bahagian kepala serta badan.

Katanya, Johari yang baru pulang dari solat Jumaat dikatakan hampir pengsan apabila melihat mayat anaknya yang berlumuran darah di perkarangan flat itu.

"Nor Qistina adalah anak sulung kepada pasangan berkenaan dan tidak pernah ditinggalkan bersendirian di rumah. Selalunya dia dihantar ke rumah pengasuh bersama adiknya bongsunya, bagaimanapun kerana hari ini bapanya bercuti dia tidak dihantar ke rumah pengasuh," katanya.

Hatta berkata berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak itu dipercayai terjatuh dari balkoni di bahagian dapur yang tidak mempunyai palang besi.

"Kanak-kanak itu dipercayai memanjat mesin basuh yang diletakkan di balkoni rumah itu sebelum terjatuh kerana terdapat kesan tatap kaki kanak-kanak itu pada mesin basuh itu," katanya.

Beliau berkata, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan setakat ini polis mengklasifikasi kes itu sebagai kematian mengejut dan akan mengambil keterangan daripada ibu bapa kanak-kanak itu tidak lama lagi. - Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI