Gaya Fesyen Muslimah

Saturday, July 18, 2009

Melatari keindahan berasaskan juraian manik indah layaknya membawa si pemakai busana Muslimah ini ke majlis berprestij, permaidani merah atau parti eksklusif.

Jangan beranggapan apabila mengenakan pakaian mengikut syariat, anda berasa terpinggir untuk menghadiri majlis sedemikian. Buangkan sikap prejudis itu kerana aliran perkembangan semasa menyaksikan suntikan tradisi dan kontemporari mula melonjakkan fesyen busana Muslimah kini.

Perkembangan memberangsangkan itu turut mendorong pemilik Idaman Hawa Sdn Bhd, Jeffrey Arazmi Mokhtar, mengetepikan pandangan umum bahawa mereka yang bertudung tidak mampu pergi jauh dalam berfesyen.

"Mereka yang pandai mengolah aliran busana Muslimah mampu memukau pandangan ramai jika pandai menyesuaikan diri di tengah dominasi fesyen Barat dengan suntikan sopan lagi bergaya.





"Terserah kepada nilai diri seseorang untuk mengetengahkan busana yang mempesonakan sebagaimana tuntutan syariat.

"Untuk muncul bergaya ke majlis hebat atau eksklusif, mereka harus kreatif dan berani untuk menyuai padan pakaian ke majlis sedemikian.

"Keberanian amat penting untuk mengolah pakaian, tudung atau apa saja aksesori dengan daya sensasi tetapi tetap dalam nuansa sopan," katanya.

Menurutnya, olahan aksesori sama ada rantai, subang, gelang, sarung tangan atau apa saja yang berkaitan, melengkapkan lagi penampilan seseorang di samping olahan manik atau batu-batuan dalam mencantikkan lagi si pemakai.

Sering muncul dengan konsep lain daripada yang lain, dia bersyukur dengan perkembangan fesyen terkini yang hadir menerusi pelbagai dimensi dalam dunia fesyen.

"Bukanlah terlalu pakar dalam dunia busana Muslimah, tetapi saya merasakan tiba masanya untuk mengubah penampilan golongan wanita dengan suntikan fesyen.

"Bukan hanya keuntungan yang jadi sasaran, saya turut memerah idea menerusi rekaan sesuai dengan mengambil kira semua aspek iaitu daripada penggunaan fabrik, kesesuaiannya dengan masyarakat tempatan hinggalah kepada penampilan menarik," katanya.

Menurutnya, untuk tampil ke satu-satu majlis, seseorang itu boleh menghasilkan ciptaan sebaiknya malah sesuatu yang tidak terfikir oleh insan biasa mampu memberi inspirasi untuk berkarya.

"Misalnya, bentuk gelang boleh diolah menjadi penegak sanggul lalu membentuk beberapa lapisan tudung untuk tampil bergaya dan tampak eksklusif. Hasilnya, ia memberi kepuasan peribadi kepada diri sendiri," katanya.



Terima kasih:

* Pakaian: Pemborong Pakaian Hawa, No 14-1, Lorong Meranti, Off Jalan Kenanga, Kuala Lumpur.

* Tel: 03-92213410/03-92212037/012-3248228/019-2005054

* Mekap: Arma Abd Rahman (012-340 9685)

* Model: Finaz

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI