Kembali aktif selepas hadapi strok

Saturday, July 18, 2009

"Kehidupan seolah-olah menjadi gelap gelita apabila disahkan strok oleh doktor, tiada ruang lagi untuk saya meneruskan kehidupan, malah turut diberhentikan kerja kerana penyakit ini,'' luahan Michael Tan.

Namun kini kegelapan hidup yang ditanggung sejak awal tahun ini menemui kegembiraan malah mampu mencorakkan semula kehidupan bahagia bersama keluarga.

Katanya, selepas hampir empat bulan menjalani terapi di Pusat Terapi Harian Persatuan Angin Ahmar (NASAM) di Petaling Jaya, dirinya kembali aktif semula.

Malah akuinya, semasa awal menghidap strok, semua keperluan diri diuruskan oleh isterinya, Lee Phong Lean. Kini semuanya boleh dilakukan sendiri.

Menceritakan saat-saat dirinya diserang strok, jelasnya, ia berlaku ekoran daripada penyakit kencing manis yang dihidapi serta pemakanan yang tidak seimbang.

''Pada awalnya, kaki saya menjadi kebas ketika berjalan. Selepas lima hari, bahagian tubuh kirinya pula tidak boleh digerakkan, malah rasa sekeliling saya seperti berpusing,'' ceritanya ketika ditemui semasa menyertai aktiviti seni anjuran NASAM Petaling Jaya baru-baru ini.

Katanya lagi, mulutnya juga menjadi herot dan patah perkataan yang terbit dari bibirnya hanya desiran angin.

''Masa tu, saya rasa dunia sudah gelap hanya mati sahaja tempat yang paling hampir,'' ceritanya bersungguh.

Namun kesungguhan isteri dan anak-anaknya membuatkan dia semakin tabah menghadapi dugaan hidup.

Selepas mengetahui kewujudan NASAM, pusat tersebut merupakan rumah kedua kepada keluarga ini.

Katanya, setiap hari isterinya akan menemani dia untuk menjalani fisioterapi di pusat terapi ini.

Berkat kegigihan, usaha tanpa mengenal putus asa dan berdisiplin dengan latihan, selepas hampir empat bulan, kini Michael sudah boleh berjalan dan bertutur .

Selain Michael, terdapat kira-kira 80 orang lagi yang menjalani terapi pusat berkenaan.

Seorang lagi pesakit Sabtu Ahmad, memberitahu, dirinya diserang strok secara tiba-tiba tanpa 'sebarang petanda.' Beliau tidak pernah didiagnosis dengan penyakit darah tinggi, penyakit jantung dan kencing manis.

Bagaimanapun berada di pusat terapi banyak memberi perubahan yang kepada dirinya dan peluang untuk sembuh bertambah baik dengan dorongan keluarga.

Jelasnya, dia mengetahui strok memang tidak mungkin dapat sembuh 100 peratus, tetapi cukuplah jika dia dapat melakukan kembali aktiviti yang digemari.

''Apa yang penting ialah saya tidak berputus asa dan sentiasa mencuba. Selebihnya berserah kepada Allah Taala," ujar bapa kepada dua anak ini.

Sementara itu, Pakar Fisioterapi di NASAM, Tracy Chan Yan Peng memberitahu, semua pesakit strok mempunyai pendirian sama. Tiada siapa yang mahu terlantar dan terus mengharapkan bantuan orang lain.

Beliau mengakui kewujudan NASAM secara tidak langsung memberi harapan dan masa depan kepada mereka untuk kembali meneruskan kehidupan.

"Di NASAM, pesakit strok akan melalui tempoh pemulihan di mana mereka diajar semula bagaimana cara gerakan untuk mengembalikan semula fungsi tubuh mereka," ujarnya.

Jelasnya, setiap fisioterapi yang dijalankan berdasarkan tahap strok yang dihadapi oleh seseorang.

Dalam kes strok, katanya, pemulihan akan dilakukan seawal mungkin terutama pada bulan pertama selepas serangan bagi meningkatkan peluang sembuh.

Ini kerana otot yang dibiarkan berehat terlalu lama akan hilang keanjalan, seterusnya menyukarkan pergerakan.

Memberikan tugasan kerja-kerja ringan seperti bersenam dan berkebun adalah antara langkah pemulihan awal paling ringan boleh dilakukan untuk pesakit.

Aktiviti seperti itu boleh membantu melancarkan aliran darah dan menguatkan jantung.

Selain terapi fizikal termasuk belajar menggunakan tangan, cara duduk dan bangun, terapi pertuturan turut diajar untuk mengembalikan cara bertutur mereka seperti sebelum ini.

Malah mereka juga diajar untuk menyeimbangkan antara lidah dan juga suara. Tegasnya, beberapa faktor mempengaruhi hasil pemulihan seseorang iaitu keyakinan atau semangat pesakit.

Sokongan keluarga dan kemudahan untuk pergi mendapatkan rawatan serta kemudahan peralatan di pusat tersebut juga amat penting.

Oleh ZUHAYATI YAZID

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI