Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) lindungi maklumat peribadi

Wednesday, November 27, 2013

Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709)

Awas kepada pengguna data yang mendedahkan maklumat peribadi individu kepada orang ketiga tanpa persetujuan pemilik untuk tujuan komersial kerana mereka boleh berdepan tindakan tegas berikutan penguatkuasaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) pada 15 November lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, akta itu digunakan untuk menjamin keselamatan maklumat dan kebolehpercayaan serta keutuhan rangkaian dalam perlindungan data di negara ini.

"Menerusi akta berkenaan, mereka yang mempunyai data pengguna dari 11 sektor seperti komunikasi, insurans, perkhidmatan dan jualan langsung akan lebih bertanggungjawab dalam memberikan maklumat peribadi individu kepada pihak luar.

"Semua data peribadi yang dilindungi mengikut Akta 709 termasuk nama, alamat, nombor kad pengenalan, nombor pasport, maklumat kesihatan, e-mel, gambar, imej rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan maklumat dalam fail peribadi," katanya pada sidang media mengumumkan Pelaksanaan Penguatkuasaan Akta Perlindungan Data Peribadi Malaysia 2010 (Akta 709), semalam.

Turut hadir, Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi Malaysia Abu Hassan Ismail.

Ahmad Shabery berkata, selaras dengan penguatkuasaan akta itu, semua pihak yang dikategorikan sebagai pengguna data di bawah Perintah Golongan Pengguna Data kini diberi tempoh sehingga 15 Februari tahun depan untuk mendaftar dengan Jabatan Perlindungan Data Peribadi Malaysia (JPDPM).

"Bagi tujuan berkenaan, pendaftaran pengguna data adalah terbuka kepada individu atau organisasi yang memproses data peribadi dalam transaksi komersial seperti mana yang dinyatakan dalam perintah golongan pengguna data.

"Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan penalti iaitu denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan memproses data peribadi tanpa perakuan pendaftaran atau selepas pendaftaran dibatalkan, serta denda tidak lebih RM200,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan tidak mematuhi notis penguatkuasaan atau kehendak Pesuruhjaya," katanya.

Menurutnya, setiap bulan Cyber Security menerima kira-kira 1,000 aduan kebocoran maklumat peribadi individu kepada pihak ketiga untuk tujuan komersial. - HM

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI