Perbezaan Islam dan Kristian

Monday, November 25, 2013

Dalam al-Quran, jelas diterangkan dalam surah al-Maidah ayat ke-17 yang bermaksud: "Sesungguhnya kafirlah orang yang berkata: "Sesungguhnya Allah itu ialah al-Masih putera Maryam. Katakanlah: Maka siapakah (gerangan) yang dapat menghalangi kehendak Allah, jika Dia hendak membinasakan al-Masih putera Maryam itu berserta ibunya dan seluruh orang yang berada di bumi semuanya? Kepunyaan Allah kerajaan langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya; Dia menciptakan apa yang dihehendaki-Nya. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu."

Seterusnya, dalam ayat ke-73 surah yang sama, ditegaskan: "Sesungguhnya kafirlah orang yang menyatakan: Allah salah seorang dari yang tiga, pada hal sekali-kali tidak ada selain dari Tuhan Yang Esa."

Dua ayat di atas menerangkan dengan jelas bahawa sesiapa yang mengatakan dan menyakini Nabi Isa itu Allah, maka dirinya termasuk ke dalam golongan orang yang kafir.

Mengapakah Allah SWT mengklasifikasikan manusia yang mendakwa Nabi Isa itu tuhan sebagai kafir? Jawapannya mudah ditemui dalam al-Quran pada ayat 30 hingga 33 dalam surah Maryam yang bermaksud:

"Dia (Isa) menjawab: Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Dia memberikan kepada ku Kitab (Injil) dan Dia menjadikan aku seorang Nabi. Dia menjadikan aku seorang yang berkat di mana saja aku berada dan diperintahkan aku mengerjakan sembahyang serta memberi zakat selagi aku hidup. Serta (diperintahkan aku) taat serta berbuat baik kepada ibuku dan Dia tidak menjadikan aku seorang yang sombong takbur atau derhaka. Segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku dilahirkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)."

Nabi Isa bukan Tuhan

Ayat di atas membuktikan Nabi Isa bukan Tuhan atau anak Tuhan seperti diyakini penganut Kristian, sebaliknya Baginda seorang manusia biasa yang diangkat Allah SWT menjadi Nabi serta Rasul seperti Nabi dan Rasul lain yang diutus pada kaum terdahulu.

Firman Allah SWT dalam surah berkenaan cukup jelas dan ampuh untuk mematahkan hujah penganut Kristian di Malaysia yang bersungguh-sungguh mahu menggunakan kalimah Allah sebagai merujuk bagi tuhan kepercayaan mereka.

Timbul konflik dalam hal ini kerana kalimah Allah yang digunakan orang Kristian adalah merujuk kepada `Tuhan Bapa' iaitu salah satu oknum daripada akidah triniti. Malah, kalimah Allah tidak pernah digunakan orang Kristian sebelum kedatangan Rasulullah SAW.

Selain itu, kalimah Allah juga tidak pernah disebut dalam teks bahasa Greek yang juga bahasa asal usul penulisan Bible. Perkataan Tuhan dalam bahasa Greek adalah `Theos' bukannya Allah.

Menyentuh soal ini, penceramah bebas, Ir Azman Husin menyatakan, pada prinsipnya, penganut Kristian mempercayai Allah, tetapi kesucian tauhid ini dirosakkan dengan mewujudkan keyakinan baru dengan mendakwa Isa sebagai anak Allah.

Seleweng dari sudut amalan

"Ini yang menjadi asas mengapa mereka menjadi kafir dan syirik. Mereka menyeleweng dari sudut amalan dan kepercayaan kerana mendengar keterangan pendeta dan rahib mereka serta membuat undang-undang bercanggah dengan apa yang terkandung dalam Injil yang kebetulan pula mengalami banyak perubahan.

"Ini sejarah yang berlaku kepada agama Nasrani dan ia amat dibenci serta dimurkai Allah SWT. Sebab itu dalam al-Quran menyebut jika manusia mendakwa Nabi Isa itu sebagai tuhan, mereka menjadi kafir seperti yang termaktub pada ayat 30 hingga 33 di dalam surah Maryam," katanya pada program wacana ilmu anjuran Masjid Tengku Kelana Jaya Petra (MTKJP) bertajuk `Nabi Isa Dari Pandangan Al-Quran', baru-baru ini.

Azman berkata, orang Nasrani menyeleweng dalam ajaran mereka apabila meyakini Nabi Isa atau dipanggil Yesus dalam Bible sebagai `anak Allah' atau `Tuhan Anak' sedangkan ia perkara yang amat dibenci Allah SWT.

"Ini yang membezakan orang Nasrani dengan Islam. Walaupun Nasrani percaya kepada Allah, tetapi konsep kepercayaan mereka menolak Allah yang Esa dengan menganggap Nabi Isa sebagai Tuhan sedangkan Nabi Isa itu manusia biasa.

"Baginda dilantik menjadi Nabi dan Rasul oleh Allah untuk menyampaikan risalah tauhid kepada manusia yang juga ajaran sama seperti disampaikan nabi sebelumnya seperti Nabi Musa dan Nabi Ibrahim.

"Selain itu, asal-usul agama Kristian ialah daripada ajaran Nabi Isa yang kita wajib percaya berasaskan tauhid dan enam Rukun Iman yang sama dengan Islam sekarang. Malaikat Jibril yang sama juga menurunkan wahyu kepada Isa dan Muhammad (SAW)" katanya.

Apa yang utama kata Azman, kerajaan yang berkuasa dibolehkan melarang atau menyuruh golongan Ahli Kitab dengan arahan atau larangan tertentu jika wujud maslahah membabitkan kepentingan umat Islam.

Oleh Anwar Patho Rohman

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI