Duit palsu RM20 berleluasa

Monday, November 25, 2013

Penggunaan wang kertas RM20 palsu semakin berleluasa di sekitar daerah ini yang menyebabkan beberapa peniaga kerugian dengan kejadian terbaru, penjual akhbar di pekan Kuala Kurau, dekat sini, diperdaya dua lelaki yang membeli akhbar menggunakan not RM20 palsu tengah hari kelmarin.

Mangsa yang hanya dikenali Rajoo, 61, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari apabila kedainya dikunjungi seorang lelaki berusia 20-an untuk membeli akhbar.

Katanya, lelaki terbabit datang dengan menaiki motosikal bersama seorang lagi rakannya, menyerahkan not RM20 dengan alasan tiada wang kecil.

"Pada masa itu, hanya ada beberapa pelanggan di kedai dan saya tidak mengesyaki apa-apa lalu terus mengambil wang berkenaan dan menyerahkan baki kepada lelaki itu.

"Saya hanya menyedari wang itu palsu ketika sedang membuat kira-kira sebelum menutup kedai pada jam 2.30 petang," katanya ketika ditemui di kedainya, di sini semalam.

Rajoo berkata, terdapat beberapa perbezaan sehingga menyakinkan dia not RM20 itu palsu termasuk tiada kesan kilat menunjukkan nilai RM20 manakala garisan kilat terlalu tebal.

"Saya kemudian menunjukkan wang palsu dengan nombor siri AL 2261319 kepada seorang rakan peniaga dan dia beritahu wang terbabit palsu dan pernah digunakan di sekitar Taiping.

"Wang palsu dengan nombor siri sama juga ada disiarkan di laman sosial bertujuan memberitahu orang ramai mengenai penggunaannya yang semakin berleluasa di sekitar daerah ini," katanya.



0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI