Jangan beri muka kedai makan kotor

Thursday, November 21, 2013

Jangan beri muka kedai makan kotor

Petua yang kita sering dengar setiap kali memilih kedai atau gerai makan dengan melihat bilangan pengunjungnya. Jika ramai pengunjung hingga terpaksa beratur untuk mendapatkan tempat duduk dan membuat pesanan, maka diandaikan makanan dijual sedap.

Sebenarnya ada kriteria lain lebih penting perlu dipertimbangkan apabila memilih tempat makan. Dengan kebelakangan ini ramai terdedah kepada ancaman maut kerana makanan, maka aspek kebersihan gerai makan tidak harus dipandang ringan.

Penulis bukan hendak mencipta peribahasa Melayu yang baru tetapi realitinya jika kebersihan penyediaan makanan tidak diambil peduli lama kelamaan akan berlaku situasi 'kerana makanan badan binasa'. Sedangkan fungsi makanan sebagai sumber tenaga untuk memudahkan kita melakukan aktiviti seharian.

Malaysia syurga makanan. Lantaran itu selera rakyat Malaysia dan pelancong asing tidak pernah putus kerana ada saja makanan hendak dirasa. Malangnya orang kita kurang peka dalam soal kebersihan makanan. Kewujudan premis makan tepi jalan bahkan di tepi longkang satu pemandangan biasa. Kebanyakan pengunjung sesebuah kedai makan tidak peka dengan status pemilik sama ada memiliki lesen menjalankan perniagaan atau lulus kursus pengendalian makanan.

Sebenarnya pelanggan tidak perlu tahu pun status pemilik tetapi sekurang-kurangnya cuba perhatikan persekitaran premisnya. Kadangkala kerana terlalu lapar dan perut sudah pun berkeroncong kita memandang sebelah mata keadaan berhabuk atau lalat di premis yang kita kunjungi. Tanpa kita sedari sebenarnya selaku pengunjung kita seolah-olah menempah maut untuk diri sendiri apabila memilih premis kotor bagi menjamu selera.

Perhatikan gred premis

Kebanyakan pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan sistem penarafan premis makanan yang dipecahkan kepada empat gred iaitu A, B, C dan D. Kita akan temui pelekat gred A dan B ditampal menandakan bersih berdasarkan pemeriksaan PBT. Premis makan yang mendapat gred C akan diberikan amaran supaya menambah baik tahap kebersihan premis manakala kedai makan gred D akan diarahkan tutup kerana terlalu kotor dan gagal mempraktikkan langkah pengendalian makanan yang sepatutnya.

Sudah tentu kita akan memilih premis yang dikategorikan gred A kerana beranggapan ia bersih dan pengendalian makanannya patuh standard yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Namun, demikian masih ada premis makanan yang berada dalam kategori A dan B yang tidak konsisten tahap kebersihannya. Mungkin reka bentuk dan hiasan dalaman gred A atau B adalah menarik serta kontemporari tetapi bagaimana pula keadaan dapurnya serta adakah pekerja benar-benar bersih fizikalnya seperti kuku yang tidak panjang serta berambut pendek. Dalam minda setiap pelanggan mereka hanya inginkan makanan yang dipesan cepat siap dihidangkan tanpa pernah memikirkan cara makanan disediakan.

Selera berubah 360 darjah

Tetapi jika ada pelanggan ingin menggunakan tandas pasti akan melalui kawasan dapur dan ketika itulah belang sebenar akan timbul sama ada makanan yang disediakan betul-betul bersih atau tidak. Sudah tentu selera akan berubah 360 darjah selepas melihat keadaan dapur restoran yang dikunjunginya.

Pengusaha kedai makan sepatutnya jujur dalam perniagaan. Usahlah sekali-kali curang kepada pelanggan hingga menyajikan makanan berisi lipas atau ekor cicak. Kita kini bertambah khuatir jika makanan dan minuman yang kita nikmati mengandungi kencing tikus.

Sukar dibayangkan kesannya kepada tahap kesihatan kita apabila benda asing ini berada dalam makanan kita. Kita sering merungut jikalau harga makanan naik walaupun nilainya sebanyak sepuluh sen. Tetapi dalam aspek kebersihan makanan kita hanya akan merungut apabila wabak taun dan cirit birit.

Premis makanan yang kotor tidak akan terus beroperasi jika tiada permintaan daripada pelanggan. Kita tidak harus memberi muka kepada pengusaha yang hanya tahu mengaut untung tetapi tidak mempedulikan nyawa pelanggannya.

Pengusaha kedai makan perlu sedar bahawa nyawa rakyat Malaysia dan pelancong asing yang datang ke negara ini berada di tangan mereka. Lantaran itu langkah yang diambil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewajibkan pemilik premis makanan berdaftar dengannya adalah tindakan yang wajar bagi memudahkan pemantauan premis yang berpotensi menyebabkan wabak penyakit itu.

Oleh Muhammad Nizam Ab Ghani
Penulis adalah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Multimedia

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI