Jongkong emas tanda kasih Fizo Omar - Mawar

Monday, November 11, 2013

Jongkong emas seberat kira-kira satu kilogram yang terukir kata-kata Fizo Loves Mawar menjadi antara hantaran pelakon, Fizo Omar kepada suri hidupnya, Mawar Abdul Karim, 24.

Fizo atau nama sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar, 28, memberitahu, dia menabung demi memenuhi niat menghadiahkan jongkong emas kepada gadis yang bergelar isteri, sejak lama dulu.

"Alhamdulillah, majlis pernikahan ini dipermudahkan Allah. Mengenai jongkong emas, ia memang hajat saya kerana isteri yang akan mengambil alih menjaga saya daripada ibu.

"Sudah pasti tanggungjawab semakin besar, tetapi saya sudah bersedia menggalasnya. Kami bersama-sama mencari berkat Tuhan dan mahu meramaikan umat," katanya selepas majlis pernikahan yang berlangsung kira-kira jam 9.30 pagi di Country Heights, Kajang, semalam.

Dengan sekali lafaz, Mawar yang juga pengurus pemasaran di syarikat milik keluarga, sah menjadi milik pelakon dan pengacara Nasi Lemak Kopi O. Mempelai dinikahkan Pegawai Tadbir Agama Daerah Hulu Langat, Mohd Arif Abdul Samat.

Fizo menyerahkan mas kahwin RM506 dan tujuh dulang hantaran termasuk cincin, tas tangan, skuter Vespa dan kek berbentuk burger. Pengantin perempuan membalas sembilan dulang termasuk motosikal Ducati, helmet, sepatu serta senaskhah alQuran. Nilai wang hantaran dirahsiakan.


Resepsi selepas bulan madu

Terdahulu, rombongan pengantin lelaki diiringi konvoi motosikal berkuasa tinggi dengan tujuh selebriti iaitu Datuk Rosyam Nor, Fahrin Ahmad, Kamal Adli, Nazim Othman, Iqram Dinzly, Johan As'ari dan Shaheizy Sam menjadi pembawa hantaran.

Fizo dan Mawar yang berkenalan kira-kira setahun lalu ketika menyertai kempen promosi tudung Fareeda, diraikan 500 tetamu. Kelmarin, mereka ditunangkan di rumah pihak perempuan di Country Heights, Kajang.

Bagaimanapun, majlis resepsi hanya diadakan selepas mempelai pulang dari berbulan madu di Eropah, selama tiga minggu.

Mengenai perancangan selepas bernikah, kongsi Fizo yang menjadi pengusaha rangkaian burger, mereka mahu membina keluarga secepat mungkin. Fizo juga berharap dikurniakan empat cahaya mata.

"Enam bulan mengenali hati budi walaupun hanya pada dasar saja, saya yakin Mawar gadis yang tepat menjadi suri hati. Dia bukan saja cantik, tetapi bijak, malah rapat dengan ibu saya.

"Dia memahami tanggungjawab saya terhadap keluarga, kerjaya seni dan kesibukan dengan perniagaan. Dia juga terbabit dalam bidang perniagaan," katanya yang turut membeli kediaman di sebelah rumah mentua.

Cerita pelakon itu lagi, dia merancang membawa ibu dan keluarganya tinggal sebumbung dengan mereka di banglo terbabit.

Doakan kesejahteraan

Sementara itu, Mawar yang anggun mengenakan persalinan putih sentuhan Datuk Radzuan Radziwill, malu-malu meminta orang ramai mendoakan kesejahteraan perkahwinan mereka.

Sebelum mengumumkan tarikh pernikahan, Fizo terlebih dulu membuat kejutan apabila melamar Mawar di hadapan tetamu dan media di dalam pawagam, dua minggu lalu.

Oleh Hanisah Selamat

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI