Tugas memelihara amanah

Friday, November 08, 2013

Amanah perlu dipelihara
Selepas selesai peperangan dan ibu kota Parsi jatuh kepada golongan Muslimin, seorang lelaki Muslim menyerahkan kotak berisi barangan berharga kepada pemilik asal berbangsa Parsi.

Pemilik barangan itu berasa amat pelik kerana kebiasaannya apabila mendapat peluang untuk mencuri atau merampas harta, bangsa itu selalunya melakukan perbuatan sedemikian.

Dia bersama rakannya berbisik sesama sendiri dengan perasaan hairan kerana tidak pernah berjumpa dengan manusia sejujur itu.

Mereka bertanya kepada lelaki Muslim itu: "Siapa kamu?" Lelaki itu menjawab: "Aku tidak perlu memberitahumu namaku kerana ia akan menyebabkan manusia memujiku. Cukuplah bagiku pahala dan pujian daripada Allah."

Majalah Fortune pernah melakukan soal selidik terhadap CEO syarikat yang tersenarai dalam Fortune 500 berkenaan kualiti terpenting yang perlu ada untuk pekerja berpotensi dilantik sebagai eksekutif kanan dalam syarikat mereka.

Sebahagian besar mereka menyatakan bahawa kualiti yang paling utama adalah integriti dan amanah.

Dalam buku Developing the Leader Within You, John Maxwell, seorang pakar perhubungan manusia menulis mengenai satu kualiti yang menjadi fitrah manusia. Seramai 1,300 pegawai eksekutif yang dijadikan responden sepakat menyatakan jujur sifat utama dicari majikan.

Begitu juga dalam memilih pasangan hidup yang baik, ia satu amanah dan tidak boleh dilakukan sesuka hati. Namun, sesetengah pasangan yang mabuk cinta sanggup berbuat apa saja, walaupun sedar pasangan bakal dikahwini akan memudaratkan kedua-dua belah pihak.

Prof Dr Hamka pernah berkata: "Apabila cinta telah dijatuhkan, mata akan menjadi buta, lidah akan menjadi kelu, telinga akan menjadi pekak."

Betapa buruknya perangai orang yang bercinta apabila sudah angau. Segala nasihat, logik dan perbincangan yang dilakukan tidak akan memberi kesan kepada mereka. Apa yang penting dalam hidup mereka adalah dapat bersama insan tersayang.

Dalam kebejatan masalah sosial yang melanda masyarakat hari ini, akibat ketidakmampuan mengawal hawa nafsu, ramai yang akhirnya dijangkiti penyakit kelamin kritikal seperti sifilis, gonorea dan HIV.

Lebih mendukacitakan apabila ada sesetengah gadis sanggup untuk bernikah dengan teman lelaki mereka yang menghidap penyakit kritikal itu. Golongan sebegini mengkhianati amanah supaya memelihara kesejahteraan tubuh badan.

Ada sesetengah ulama menyatakan haram hukumnya mengahwini pasangan menghidap penyakit kritikal yang boleh berjangkit. Tindakan itu jelas sekali bertentangan dengan tujuan syariat untuk memelihara tubuh badan.

Kaedah fiqah yang digunakan adalah 'jangan memberi mudarat dan diberi mudarat'.

Seorang jejaka yang sedang berkasih-kasihan dengan seorang gadis tahu dia memikul amanah untuk menjaga kehormatan gadis yang dikasihinya bermula sejak perkenalan lagi.

Apabila dia sedar gadis terbabit adalah bakal isterinya, dia juga sedar akan perlunya menjaga amanah untuk memelihara kehormatannya.

Dia tidak akan melakukan sesuka hati terhadap bakal ibu kepada anaknya. Dia tidak akan meminta untuk 'ringan-ringan' atau melakukan perkara maksiat.

Malah, atas kesedaran itu juga dia tidak akan meminta si gadis mengirim gambar bogel melalui telefon. Dia tidak akan meminta si gadis untuk melakukan seks oral dan perkara jijik yang lain.

Katakan anda mempunyai seutas rantai tangan berharga RM10,000, apakah perasaan anda terhadap rantai itu? Pastinya anda sayang rantai itu.

Oleh itu, adakah anda akan mencampakkannya di halaman rumah? Tentu tidak. Anda akan meletakkan rantai itu di tempat terbaik dan eksklusif. Begitulah sifat manusia yang akan menjaga barang disayangi.

Demikianlah juga tanda seorang lelaki yang mengasihi seorang gadis adalah dengan menjaga gadis itu dengan sebaik-baiknya.

Imam Tirmidzi meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Jika (lelaki) yang datang meminang itu seorang yang kamu reda agama dan akhlaknya, maka kahwinilah dia."

Dalam satu hadis diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda: "Pilihlah (pasangan) daripada kalangan yang baik agamanya, nescaya kamu akan selamat."

Khalifah Umar al-Khattab pernah menguji kejujuran seorang penggembala kambing dalam kisah yang masyhur. Umar memulakan perbualan dengan berkata: "Jualkanlah kepadaku seekor kambing dan beritahu kepada tuanmu kambing itu dibaham seekor serigala."

Penggembala itu berkata: "Tetapi bagaimana harus saya sembunyikan daripada Tuhan?" Saidina Umar menangis mendengar jawapan pemuda itu.

Kesimpulannya, kehidupan kita di dunia adalah amanah dan akan dipersoalkan di hadapan Allah nanti.






Oleh Hilmi Isa
Penulis ialah Perunding Psikologi Bahasa dan penulis buku Marah Tapi Sayang boleh dihubungi melalui Facebook: Hilmi Isa (Psikologi Bahasa)



0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI