Arak pembunuh senyap

Saturday, October 03, 2009

Sudah menjadi fitrah manusia, yang dilarang itulah yang sangat ingin mereka lakukan. Larangan meminum arak bagi umat Islam misalnya, walaupun ditegah, ada saja individu bertindak melanggar tegahan berkenaan walaupun mengetahui hukum daripada perbuatan mereka.

Justeru, keputusan Mahkamah Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman sebat ke atas beberapa individu termasuk kes model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno, kerana kesalahan meminum arak seharusnya dijadikan iktibar, bukan perdebatan.

Walaupun keinginan Kartika untuk dirotan sebagai memberi pengajaran kepada individu lain yang melakukan kesalahan sama mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat, dari satu segi, tindakan Kartika itu sebenarnya wajar dilihat dari sudut positif kerana selain bersedia dirotan, beliau juga menunjukkan rasa insaf dan kesal yang bersungguh-sungguh.

Hakikatnya, Islam mengharamkan umat Islam meminum arak kerana minuman yang dilabelkan sebagai air kencing syaitan itu mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan, justeru wajar bagi manusia waras menjauhi sesuatu yang tidak mendatangkan manfaat dalam kehidupan mereka.

Pensyarah Kanan & Pakar Perunding Bedah Jantung dan Paru-paru Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Ramzisham Abdul Rahman, berkata arak adalah minuman beralkohol yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada individu yang meminumnya.


Katanya, kesan berkenaan terbahagi kepada dua, iaitu kesan jangka pendek dan kesan jangka panjang yang kedua-duanya amat tidak baik kerana boleh mencetus kepada gejala sosial dalam masyarakat.

“Pengambilan arak boleh menimbulkan kesan negatif kepada individu yang mengambilnya. Kesan jangka pendek dapat dilihat dalam 24 jam ke 48 jam pengambilan. Apabila individu mengambil alkohol, otak tidak dapat berfungsi dengan baik kerana sudah dipengaruhi kesan alkohol.

“Kesan berkenaan menyebabkan individu tertekan, tidak dapat berfikir dengan waras seperti hilang rasa malu, hilang kawalan diri dan boleh bertindak di luar keadaan yang normal seterusnya mendorong mereka melakukan tindakan yang tidak wajar,” katanya.

Dr Ramzisham berkata, kesan jangka panjang pula boleh menyebabkan organ dalaman mengalami kerosakan dan ketagihan berpanjangan kepada individu berkenaan. Selain itu, ada banyak komplikasi lain lagi yang akan berlaku kepada organ dalam badan.

“Lazimnya, kesan jangka panjang menjadikan individu peminum arak mengalami sindrom halusinasi dan ketagih meminum arak yang boleh menyumbang kepada kerosakan otak dan urat saraf.

“Kesan pada jantung yang amat merbahaya akan juga berlaku. Keadaan ini dinamakan alcoholic cardiomyopathy yang mana keadaan jantung akan menjadi lemah dan dalam tempoh masa tertentu akan menyebabkan ia gagal berfungsi,” katanya.

Beliau berkata, kesan alkohol terhadap organ badan manusia terlalu hebat dan mampu merosakkan hampir keseluruhan organ utama dalam badan tanpa mengira jantina.

“Usus dan hati juga termasuk dalam komponen organ utama. Kedua-duanya mempunyai kaitan antara satu sama lain. Penyakit lazim yang akan berlaku kepada hati jika mengambil alkohol ialah radang hati.

“Apabila berlaku radang hati, lama kelamaan akan berlaku ‘cirrhosis,’ iaitu apabila berlaku pengambilan alkohol hati boleh menjadi bengkak. Setiap kali bengkak, hati akan mendapat kesan parut. Akibat ada kesan parut berkenaan, ia akan mengecut dan fungsi hati akan terganggu,” katanya.

Dr Ramzisham berkata, apabila keadaan ini berlaku, hati kurang berfungsi serta darah berkurangan di kawasan berkenaan lalu menyebabkan salur darah pada bahagian perut dan esofagus akan kembang serta bengkak seterusnya bakal berlaku pendarahan serius.

“Hati menjadi rosak dan tidak berfungsi. Usus juga akan mengalami ulser seterusnya dalam jangka masa panjang, ia akan merebak menjadi kanser perut. Kesan lebih dahsyat kelenjar pankreas juga akan membengkak, menjadi keras dan rosak.

“Pankreas berfungsi mengeluarkan rembesan untuk menghadamkan makanan, mengeluarkan insulin dan jika insulin tidak cukup dikeluarkan, individu berkenaan akan mendapat penyakit kencing manis, mati pucuk (bagi lelaki), salur darah rosak, tidak subur dan pada masa sama akan menyebabkan daya seks menurun,” katanya.

Berdasarkan pelbagai keburukan itu, nyata sekali mengapa Islam melarang umatnya mengambil minuman yang tidak mendatangkan kebaikan melainkan hanya memudaratkan kesihatan.

Jangan pandang buruk kehidupan model

KEHIDUPAN golongan selebriti sering dikaitkan dengan isu sosial yang negatif. Pembabitan dalam kegiatan tidak sihat seperti mabuk, bercumbuan di khalayak ramai, video lucah, berpesta dan terjerumus ke lembah dadah sering disiarkan, seolah-olah menggambarkan kehidupan mereka tidak berlandaskan kepada budaya Melayu dan ajaran Islam.

Bukan saja terjebak dengan kehidupan sosial yang terlampau, golongan selebriti terutama wanita tanpa rasa hormat mahupun bersalah, berani menggayakan fesyen pakaian yang mengalahkan artis Barat, ditambah pula dengan sentuhan solekan tebal, semuanya hendak ditonjolkan tanpa segan silu. Walaupun tidak semuanya begitu, itulah gaya kehidupan yang tidak asing lagi buat golongan itu.

Malah, sejak model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno, disabitkan bersalah kerana minum arak, ramai yang memandang sinis terhadap golongan selebriti khususnya model yang dianggap sentiasa bergelumang dalam maksiat.

Walaupun hanya segelintir yang melakukannya, apa yang berlaku menyebabkan semua yang terbabit dalam bidang glamor itu dipandang serong. Ibarat peribahasa, kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Model, Dora, 25, berkata apa yang penting adalah niat yang dilahirkan daripada hati kerana tidak semua selebriti membabitkan diri mereka dengan dunia yang penuh maksiat walaupun potensinya agak tinggi.

“Saya tidak nafikan, ramai antara golongan selebriti masa kini terlalu mengikutkan kehidupan gaya moden. Namun tidak semestinya aktiviti harian mereka membabitkan arak dan gejala yang negatif ketika keluar untuk berhibur.

“Jangan pula dipandang mereka kotor kerana tidak semestinya mereka yang berada dalam bidang ini terbabit dalam kegiatan tidak sihat. Saya sendiri pernah bertudung kerana terpaksa menyesuaikan diri di tempat kerja ketika itu, namun identiti dan karakter saya di sebalik kain itu adalah sangat berbeza,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Selebriti yang menceburkan diri dalam bidang sama, Mas, menepis pandangan masyarakat umum dan menegaskan golongan sepertinya tidak mudah untuk dihanyutkan dengan kehidupan sosial yang terlampau seperti yang didakwa ramai selama ini.

“Pada zahirnya, cara kami mungkin tampak sosial kerana kerjaya yang dipilih membuatkan kami terpaksa berkelakuan begitu. Namun apa yang tersirat di sebalik hati kecil ini, kami juga tahu erti hormat pada diri sendiri dan orang yang disayangi.

“Tidak dinafikan, ada segelintir daripada golongan ini hanyut dengan kejutan budaya yang dialami mereka, sekali gus membuatkan kami yang tidak bersalah ditafsirkan berperangai sama. Tuduhan ini tidak adil buat kami yang berada dalam bidang peragaan,” katanya yang menyifatkan wanita tidak bertudung juga mempunyai harga dan martabat yang lebih tinggi.

Sementara itu, Anne, 23 model separuh masa berkata, masyarakat tidak seharusnya mudah melabel mereka yang terbabit dalam bidang glamor sebagai ‘jahat’ kerana tidak semestinya mereka turut terjerumus dalam kehidupan yang sosial.

“Tidak semua wanita yang terbabit dalam bidang ini turut mengamalkan kehidupan negatif. Orang kata, jangan pandang pada luaran saja, kerana tidak semua orang suka menunjukkan amalan kebaikannya kepada umum.

“Mungkin kehidupan model tampak sosial, tetapi wanita yang tidak terbabit dalam bidang ini ada yang lebih teruk. Jadi jangan mudah buat tanggapan buruk terhadap kami,” katanya yang baru selesai menjalani sesi penggambaran.


Oleh Shaidah Shafie & Fatin Hafizah Mohd Shahar

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI