Umie Aida pernah berseloroh, kalau satu hari dia ditemukan jodoh, dia takkan bertunang. Mahu terus kahwin. Bagaimanapun itu dulu, ketika menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan artis. Sepanjang minggu ini berita pertunangan Umie dan Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan terus diperkatakan.
Berlatarkan kediaman mewah dupleks i-Zen Mont Kiara dengan rona biru firus dan putih bagai melengkapkan lagi majlis pertunangan Umie bersama tokoh korporat berusia 46 tahun yang berlangsung pada malam Selasa lalu.
Majlis ringkas bertambah seri dengan kehadiran ahli keluarga terdekat serta kenalan rapatnya. Umie pula tampak semakin jelita dengan busana biru firus sentuhan Bill Keith.
Ikatan pertunangan dengan lelaki berstatus duda itu juga sekali gus menutup segala persepsi Umie selama ini yang dikatakan menutup pintu hati untuk lelaki.
Jodoh pertemuan adalah ketentuan-Nya. Percaya akan frasa itu, Umie hanya tersenyum sejurus diasak dengan persoalan yang menganggap kini dirinya benar-benar berubah.
Bagi ahli keluarga, rakan media dan teman rapat yang selama ini mengenali pelakon berwajah klasik ini pasti terkejut bercampur rasa ragu dengan keputusan diambil Umie.
Ibunya, Asmah Mohd Ali, 61, adalah insan paling gembira selepas mengetahui hajat anak perempuannya yang ingin melangkah ke dimensi baru hidupnya untuk berumah tangga.
“Alhamdulillah kerana akhirnya Umie bertemu pilihan hatinya. Saya tidak menyangka apabila dia memberitahu hasratnya yang bersedia bergelar isteri. Ini hadiah buat saya kerana selama ini kami sekeluarga hanya menunggu saat ini.
“Bagaimanapun sebagai ibu, saya hanya dapat menumpang kebahagiaan Umie kerana apa yang terbaik buatnya, itulah yang terbaik bagi saya.
“Saya yakin dengan pilihannya kerana Umie sangat berahsia dan cerewet dalam membuat keputusan. Jadi apabila dia bersedia, saya percaya ia keputusan tepat,” katanya.
Pada pemerhatian Asmah terhadap bakal menantunya (selepas diperkenalkan Umie beberapa kali), Khairuddin menghormati orang tua selain mempunyai sifat penyayang dan prihatin terhadap Umie dan keluarga. Malah, menurutnya, Khairuddin jenis yang mudah dibawa berbincang serta rasional.
“Saya tidak pernah mendesak Umie dari dulu lagi kerana pada saya soal jodoh biar anak yang menentukan. Lagipun Umie banyak kali cakap dia inginkan lelaki yang setia, sebaliknya pada saya sukar mencari lelaki seperti itu pada zaman sekarang. Jadi apabila Khairuddin muncul untuk melengkapkan hidupnya, saya hanya bersyukur,” katanya.
Perasaan sama dizahirkan anak sulung Umie, Mohd Daniel Firdaus Abdullah, 16, yang kelihatan gembira melihat kebahagiaan ibunya. Kegembiraan itu turut dikongsi bersama adiknya, Mohd Dzulhelmy Jamaluddin, 15, yang tidak berhenti-henti mengusik ibunya dari jauh.
“Memang saya terkejut pada awalnya apabila ibu memberitahu hasratnya untuk berkahwin tetapi saya dan adik sangat gembira dengan berita itu, lebih-lebih lagi ibu sudah lama hidup membujang membesarkan kami adik-beradik. Jadi sekarang masanya untuk ibu memberi tumpuan kepada hidupnya pula.
“Uncle sangat baik dan mengambil berat mengenai kami berdua. Malah dia selalu menghubungi kami bertanyakan khabar selain soal makan dan minum. Saya dan adik selesa dengan Uncle walaupun sebelum ibu memberitahu kami lagi hasratnya untuk berkahwin dengan Uncle,” kata Daniel.
Pada malam itu juga membuatkan Erma Fatima menjadi antara orang yang sibuk dalam memastikan kelancaran acara.
“Apa yang dilakukan Umie adalah sesuatu yang baik dan perlu disokong kami sekeluarga. Selama ini dia hanya sibuk memikirkan soal kerja, keluarga dan anaknya berbanding soal peribadi serta masa depannya. Walaupun pada awalnya saya terkejut dengan keputusannya, namun ini yang terbaik buat Umie.
“Yang penting bagi lelaki yang mendampingi Umie adalah dia perlu benar-benar ikhlas dalam hubungan. Malah lelaki itu perlu menerima Umie dan anaknya sebaik mungkin kerana itu adalah tanggungjawab Umie dalam membesarkan anak angkatnya. Khairuddin berjaya menggalas tanggungjawab itu dengan baik dan dialah yang sesuai buat Umie,” katanya.
Lain bagi dua sahabat Umie, Erra Fazira dan Zahida Rafik ketika ditemui pada majlis itu. Meskipun berkongsi gembira, jauh di sudut hati, mereka terharu dan bersyukur dengan pilihan Umie.
Zahida umpamanya menganggap status baru sahabat baiknya pasti merubah corak persahabatan mereka yang lebih terbatas berbanding sebelumnya.
“Kami sering lepak dan melakukan pelbagai aktiviti riadah bersama seperti berkuda, melancong dan membeli-belah. Boleh dikatakan hampir setiap hari kami berjumpa dan berbual. Saya boleh bercerita apa saja dengan Umie sehingga lewat malam.
“Namun apabila Umie bergelar isteri, keadaan pasti tidak sama lagi seperti apa yang saya rasa sebaik Erra menjadi isteri Engku Emran.
“Mungkin saya paling sedih kerana tinggal saya seorang yang masih membujang, tetapi seikhlasnya saya sungguh gembira untuk Umie. Dia kini bersedia menjadi isteri kerana sejak dulu lagi dia sudah biasa dalam membesarkan anaknya,” katanya.
Erra pula berkata: “Akhirnya Umie bertemu lelaki yang betul-betul boleh menarik perhatiannya. Dari dulu, Umie memang memilih dalam soal jodoh kerana dia terlalu komited dengan kerjanya.
“Lagipun dia agak berahsia mengenai soal lelaki. Namun Khairuddin berjaya membuka hati Umie untuk mengakhiri zaman bujangnya. Saya tumpang gembira,” katanya.
Pada majlis itu Umie menerima tiga barang hantaran berupa satu set barang kemas termasuk sepasang subang, rantai leher berjenama Chopard, cincin bertatahkan berlian yang disarungkan ke cincin manisnya oleh bakal ibu mentuanya, Balkish Ahmad serta satu dekorasi coklat.
Manakala pihak perempuan pula membalas dengan lima barangan membabitkan tepak sirih, set buah strawberi, bunga rampai, kurma dan biskut.
Oleh MURSHID EUNOS
0 Komen:
Post a Comment