Kata-kata Cinta
Aku cintakan kamu, kaulah kekasihku dan seumpamanya, antara frasa yang sukar diungkapkan oleh sebahagian lelaki walaupun perasaan atau cintanya amat dirasakan.
Tidak diketahui sama ada didorong rasa malu atau lelaki memang menyimpan perasaan, wanita harus faham sifat semula jadi lelaki. Ada segelintir wanita yang mendambakan ungkapan kata-kata cinta daripada orang yang dicintainya tetapi bagai menunggu buah yang tidak gugur, si lelaki yang diharapkan tidak juga meluahkannya.
Apabila seorang Adam dan Hawa dipertemukan, tidak kira sama ada lelaki atau perempuan yang memulakan luahan terlebih dulu, sebenarnya mata berfungsi sebagai penyampai maksud dan pesanan jujur.
Tidak kira sisi mana pandangan pertama singgah, ia dikatakan boleh menzahirkan rasa cinta. Jangan hanya menunggu lelaki yang memulakan segalanya kerana ada lelaki lebih didorong rasa malu. Mereka enggan menuturkannya walaupun di hati bergolak rasa yang membuat dia resah sentiasa setiap kali memandang orang yang amat disenanginya.
Sebagai wanita, anda juga boleh mengungkapkannya tetapi biarlah dilakukan secara berhemah dan tidak memalukan diri.
Berikut mungkin beberapa tanda menunjukkan si wanita menyimpan perasaan terhadap seseorang, antaranya:
# Berbicara mengenai masa depan
Si dia senang duduk berbincang dengan seseorang mengenai masa akan datang. Mungkin soal rumah, kedudukan kewangan atau hal anak.
Jika ini tingkah laku yang ditunjukkan si dia, bermakna dia ingin bersama anda selamanya dan cara dia menunjukkan minat seolah-olah memberi gambaran kepada anda supaya faham keinginannya.
# Tunjuk minat
Sewaktu berbicara dengannya walaupun anda memperkatakan hal tidak munasabah, si dia masih memberi komen membina.
Setiap isu yang anda timbulkan mendapat sokongannya. Sama ada anda memang pandai berbicara atau dia menaruh minat mendalam terhadap anda, itu harus dikenal pasti.
Lebih jelas, jika dia memainkan rambut sambil tersenyum manja setiap kali berbicara. Jika anda kurang yakin dengan maksud yang cuba disampaikan, dapatkan pandangan rakan.
# Anda diperkenalkan kepada rakannya
Anda sudah diterima masuk dalam kehidupannya. Salah satu sebab anda diperkenalkan adalah untuk memberitahu rakannya, 'Ini aku punya', dan satu lagi sebab ialah untuk mereka menilai diri anda.
Jadi, pastikan anda turut mengambil hati rakannya, namun jangan sampai dia cemburu.
# Dia tidak senang duduk
Sesetengah wanita biasanya akan menunjukkan petanda awal yang tidak begitu jelas dan kemudian mengharapkan anda untuk mengambil alih peranan seterusnya.
Jika anda berjaya mengesan petanda ini, hanya sedikit usaha mampu membuahkan hasil kerana 'pintu' hatinyanya sudah terbuka untuk anda.
Biasanya tanda awal ini ditunjukkan dengan berjalan mundar-mandir di belakang anda atau tidak sengaja terlanggar bahu sambil menjeling manja.
Walaupun dia sekadar mengatakan 'maaf!', itu adalah petanda yang perlu diberi tindakan segera.
# Dia menjual dirinya
Jika percakapan atau gerak lakunya menunjukkan seperti dia sedang mempromosikan aset dan kelebihannya, bermakna anda sedang diberi petunjuk jelas olehnya.
Secara tidak langsung, dia ingin membuatkan anda terasa yang dirinya berbaloi untuk dimiliki.
# Bersikap terbuka
Biasanya wanita tidak akan mendedahkan terlalu banyak maklumat mengenai peribadinya. Hanya jika dia betul-betul berminat dan percayakan anda, barulah segalanya akan diceritakan. Anggaplah ia sebagai petunjuk utama mengenai keinginannya.
# Membayangi anda
Bukan membayangi seperti mengatasi diri anda, tetapi menjadi seperti bayang-bayang anda. Ke mana saja anda pergi, pasti dia akan mengikut.
Dia juga menunjukkan minat mendalam terhadap percakapan anda walaupun tiada kena mengena dengan dirinya. Dia sebenarnya lemas dengan keinginannya untuk mendampingi anda. Berikan dia ruang untuk menunjukkan kemahuannya.
# Diajak ke tempat lain
Dia ingin meluangkan masa yang lebih santai bersama anda. Mungkin untuk berkenalan dengan lebih lanjut atau untuk meluahkan perasaannya terhadap anda.
Kata-kata manis dan bicara anda bukan lagi soal utama baginya. Anda menjadi pilihan utama sebagai teman lelaki baginya.
Ungkapkan kata-kata cinta!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment