BLOG hiburan, beautifulnara begitu cepat dikenali dan menjadi sebutan ramai. Beroperasi sejak Disember lalu, pemiliknya, Ahmad Nazuwan Amran, 26, sendiri tidak menyangka ia mendapat maklum balas yang sungguh memberangsangkan.
Awalnya, kewujudan beautifulnara yang juga bermaksud bandar cantik hanya ingin memuatkan apa sahaja kisah berkaitan dengan dunia global. Namun begitu, lama kelamaan blog tersebut begitu dikenali dengan hal-hal berkaitan gosip-gosip selebriti.
"Saya sendiri peminat setia dunia hiburan. Setiap daripada kita mesti mempunyai artis kegemaran. Saya merasakan lebih baik saya mempelbagaikan bahan yang ingin dipaparkan.
"Jadi, bila sudah mula memaparkan gosip atau perkembangan dunia seni, saya lihat bidang hiburan cukup hangat dan pandangan yang diterima juga hebat," katanya yang menggelarkan dirinya sebagai Abang Nara di dalam blog beralamat beautifulnara.com itu.
Kehebatan beautifulnara tidak dinafikan lagi, meskipun ia baru muncul tidak sampai setahun. Ini kerana, setiap bulan ruangan tersebut mencatatkan kira-kira 500,000 kunjungan. Malah sehingga Ogos baru-baru ini, kira-kira tiga juta orang telah melayarinya.
Ditanya adakah dia sanggup menerima kritikan daripada orang ramai atau artis yang mungkin tidak menggemari olahan blognya itu, Nazuwan menjawab: "Apa sahaja yang dilakukan individu pasti mempunyai risiko. Jadi, saya sering mengingatkan diri sendiri supaya meletakkan batas dalam penulisan untuk cerita-cerita artis."
Ini kerana, katanya, dia tidak mahu beautifulnara popular disebabkan blog yang lebih banyak menceritakan ragam artis dengan menggunakan perkataan kasar atau mengutuk mereka.
"Blog saya tidak mengutuk mana-mana artis yang dikaitkan dengan gosip panas. Biasanya, saya akan memaparkan gambar artis bersama cerita mereka. Kemudian, saya cuba olah sebaik mungkin dan memberi ruang kepada orang ramai untuk komen," ulasnya.
Senyap-senyap
Dia yang merupakan lulusan dari Universiti Korea kini bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat swasta tempatan turut berkongsi cerita mengenai blog yang diusahakannya secara rahsia.
Pada mulanya, tiada siapa di antara ahli keluarga mahupun rakan baiknya mengetahui dia adalah pemilik blog beautifulnara. Ini kerana dia bimbang jika keluarga tidak bersetuju dengan apa yang dilakukannya itu.
"Pada awal kemunculan beautifulnara, saya tidak menghebahkannya kepada keluarga. Saya buat senyap-senyap. Risau kalau emak tahu, mesti dia marah kerana blog ini memaparkan gosip artis.
"Jadi, saya ambil sedikit masa untuk menghebahkannya. Saya mahu ia benar-benar popular dan aktif. Akhirnya, kira-kira lima bulan lalu, barulah keluarga dan rakan tahu," ceritanya rancak.
Menurutnya, mereka dapat tahu apabila salah seorang rakannya memberi cadangan kepada mereka untuk melayari beautifulnara sekiranya ingin tahu tentang cerita artis yang terbaru.
Akhirnya, Nazuwan mengakui bahawa blog itu dikelolakannya sendiri tanpa dibantu oleh sesiapa.
"Bila mereka tahu, mereka terkejut dan hairan saya meminati perkara-perkara sedemikian. Ibu akhirnya memberi semangat dan menasihatkan saya agar tidak keterlaluan," katanya sambil tergelak kecil. Barangkali mereka tidak menyangka dia boleh mengelolakan blog hiburan kerana karakternya langsung tidak menggambarkan dirinya peminat gosip.
Takut popular
Nazuwan turut menjelaskan bukan mudah untuk menguruskan blognya itu kerana dia turut mempunyai kerjaya tetap yang perlu diutamakan. Maklum sahaja, apabila blognya mempunyai ramai peminat, dia perlu menjaga reputasi.
Jadi, apa yang dilakukannya kini adalah melantik kakaknya sebagai pembantu untuk mengemaskini beautifulnara pada siang hari, manakala dia akan mengambil alih tugas pada sebelah malam.
"Beginilah rutin saya dan kakak kerana tidak mahu beutifulnara ketinggalan dalam perkembangan terbaru artis tempatan. Kami perlu pantas dan mengikuti kesemua bahan akhbar untuk mengetahui perkembangan semasa," katanya.
Bagaimana pula sekiranya dunia artis kekeringan dengan cerita semasa?
Nazuwan memberitahu, kekurangan bahan cerita merupakan salah satu cabaran baginya. Jadi, dia mengambil jalan mudah iaitu meletakkan sahaja gambar-gambar menarik untuk dikomen.
"Ini sahaja cara terbaik sekiranya tidak ada gosip. Saya akan letak gambar apa sahaja dan mungkin gambar artis yang saya minati," katanya sambil tersenyum.
Jana pendapatan
Langsung tidak menyangka blognya itu mampu menambah pendapatannya setiap bulan. Begitulah kelebihan sekiranya blog yang dimiliki dilakukan dengan bersungguh-sungguh kerana syarikat pengiklan akan memberi peluang kepada blogger.
Cukup berpuas hati apabila dia kini mendapat banyak tawaran pengiklan untuk dimuatkan di dalam blognya itu.
"Syarikat pengiklan akan memilih blog yang aktif dan mempunyai ramai pengikut. Saya cukup bertuah kerana tidak putus-putus menerima tawaran.
"Tidak kira sama ada syarikat besar atau sederhana, saya tidak menolak. Malah, saya terima dengan tangan terbuka," ujarnya.
Tidak keberatan untuk mendedahkan pulangan melalui iklan yang diterima, Nazuwan memberitahu, paling sedikit dia menerima pendapatan sebanyak kira-kira RM3,000 sebulan.
Memang cukup berbaloi walaupun bayaran yang diterima itu tidaklah terlalu cepat. Sekurang-kurangnya, beautifulnara mendapat penghargaan bukan sahaja daripada peminat malah syarikat-syarikat korporat.
Lebih istimewa lagi apabila beautifulnara telah dicalonkan melalui dua kategori iaitu Blog Hiburan Terbaik dan Blog Paling Berpengaruh dalam Anugerah Blogger Nuffnang yang akan berlangsung pada 27 Oktober ini. Anugerah yang julung kali diadakan itu akan dinilai menerusi panel hakim dan undian orang ramai.
Oleh AQMAR ALLADAD
0 Komen:
Post a Comment