Kekasih menghilang isteri bawa haluan sendiri

Friday, October 02, 2009

Kekasih menghilang isteri bawa haluan sendiri

Dari kejauhan kelihatan orang ramai mengarak pasangan pengantin memasuki kawasan rumah. Namun, aku sedikit pun tidak berkutik dari tempat duduk. Sengaja aku memilih sudut yang tersembunyi kerana bimbang ada yang mengenali diriku datang menegur. Walaupun pada awalnya aku enggan datang namun, aku keraskan juga hati untuk menyaksikan insan yang paling aku sayangi menaiki pelamin dengan orang lain. Hatiku berbolak-balik untuk melangkah ke depan untuk melihat bagaimana reaksi wanita sanjungan hati tatkala melihat wajahku, namun aku sabarkan diri.

Yang pasti, cinta tak semestinya bersatu, semuanya salah diriku yang begitu tamak untuk membolot semua kasih sayang dan akhirnya aku yang terkontang-kanting sendirian. Wajah Ima (bukan nama sebenar), bekas isteri yang sempat hidup sebumbung denganku selama enam bulan kembali menerjah di mindaku. Apakah yang dilakukan oleh Ima sekarang? Mungkin dia sudah menemui kebahagiaannya setelah membawa diri ke luar negara. Perasaan bersalah sehingga kini masih berbekas di hatiku kerana sanggup melukakan hati Ima.

Ima, pilihan kedua orang tuaku memandangkan mereka berkawan baik dengan keluarga Ima. Sebagai anak bongsu aku tidak mampu menolak cadangan tersebut. Sejak dahulu lagi, aku memang seorang anak yang mendengar kata, tidak seperti abang atau kakak aku yang lain. Mereka lebih suka mengikut haluan sendiri dan mungkin juga kerana itu, aku begitu disayangi dan di manja oleh kedua orang tuaku. Kerana itu juga, apabila aku dijodohkan dengan Ima, dengan berat hati aku terima walaupun ketika itu aku sudah mempunyai pilihan sendiri. Mieza (bukan nama sebenar), yang sama-sama menuntut di luar negara denganku.


Malah, berita itu, sengaja aku sembunyikan dari pengetahuan Mieza, bimbang dia akan bersedih, apatah lagi kami sudah pun merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat, cuma aku yang asyik menangguhkan untuk memperkenal Mieza dengan keluargaku dengan alasan mahu memberi kejutan. Ternyata ibu bapaku lebih awal membuat ‘surprise’ untukku. Tiga bulan sebelum diijabkabulkan, aku masih sempat keluar bersama Mieza seolah-olah tiada apa-apa akan berlaku sehinggalah aku selamat menjadi suami orang. Jika pasangan lain detik malam pertama menjadi memori terindah dalam hidup, tetapi berbeza dengan aku.

Malam itulah aku meluahkan perasaan aku terhadap Ima tentang perasaan aku yang terpaksa mengikut kemahuan keluarga. Malah, aku mengaku tidak boleh mencintai orang lain kerana hatiku sudah kuserahkan pada Mieza. Ternyata Ima begitu terperanjat dan sedih, namun dia berpura-pura tersenyum. Malah, dia sanggup memberitahu hal sebenar kepada keluarga agar aku boleh berkahwin dengan Mieza. Biarpun begitu aku menolak kerana bimbang ibu bapaku tidak dapat menerima kenyataan tersebut. Sejak dari itu, kami hanya berpura-pura menjadi suami isteri yang bahagia, namun jika tinggal berdua, kami seolah-olah orang asing di rumah sendiri.

Pilih haluan sendiri
Suatu hari, aku terbabit dengan kemalangan setelah pulang dari kerja. Ketika itulah rahsia terbongkar apabila kedua belah keluarga datang melawatku termasuklah Ima. Semua kehairanan melihat Mieza yang begitu mesra melayaniku. Akhirnya aku terpaksa memberitahu hal yang sebenar. Mendengar ceritaku itu, Mieza terus keluar dari bilikku sambil menangis manakala ibuku terus terduduk tanpa berkata apa-apa. Keluarga Ima memberi kata dua kepadaku sama ada meneruskan perkahwinan atau memilih jalan sendiri.

Aku terkedu seketika kerana tidak tahu apa yang harus dilakukan. Setiap hari, aku cuba menghubungi Mieza namun tidak berjaya, telefon bimbitnya tidak boleh dihubungi. Tiga bulan berlalu, aku dan Ima akhirnya memilih haluan sendiri, kebetulan dia mendapat tawaran mengikuti kursus selama dua tahun di luar negara oleh pihak majikannya. Jadi, dia menerima tawaran tersebut sekali gus mahu melarikan diri dari kekecewaan. Suatu hari, aku menerima kad jemputan. Melihat nama pengantin perempuan yang tertera membuatkan badanku menggigil, rupa-rupanya Mieza memilih untuk menerima pilihan keluarga untuknya.

Malah, dalam kad tersebut turut disertakan sekali dengan surat ringkas yang menasihati aku melupakan dirinya dan berbahagia dengan Ima. Mungkin dia tidak tahu yang aku sudah pun bercerai. Malah, dia menjemput aku dan Ima menghadiri majlis perkahwinannya. Pada awalnya, aku mahu memberitahu tentang situasi aku kini, namun segera aku batalkan.

Mungkin inilah namanya takdir dan kami berdua tiada jodoh untuk hidup sebagai suami isteri. Akhirnya aku memilih untuk hadir ke majlis Mieza dan sempat menghulurkan ucapan tahniah buat dirinya. Mieza hanya mampu tersenyum tawar. Setelah itu, aku terus pulang tanpa menoleh ke belakang. Sejak dari itu, aku tidak lagi menghubunginya kerana tidak mahu mengganggu kebahagiaan Mieza bersama suaminya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI