Zikrayat: Fitrah diri yang sejahtera
Di antara rahmat Allah SWT ke atas makhluk yang bergelar insan ialah Dia menjadikan bagi mereka hati-hati yang mampu merasai dan mencerna pelbagai rasa. Mereka merasa sedih dan hiba apabila datang peristiwa-peristiwa yang memilukan dan merasa sukacita apabila hadir berita-berita yang menggembirakan.
Ia adalah sifat semula jadi bagi hati manusia yang mana ia turut digelar sebagai fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah semenjak awal penciptaan mereka.
Maka berbahagialah mereka-mereka yang memiliki hati dan fitrah yang sejahtera dengan mendapat manfaat dan ganjaran yang besar di sisi Allah SWT. Allah SWT berfirman maksudnya: Hari akhirat itu adalah suatu hari yang tidak memberi manfaat segala harta benda dan anak pinak, melainkan bagi mereka yang hadir menemui Allah dalam keadaan berhati sejahtera. (al-Syu'ara: 89)
Zikrayat atau kenang-kenangan yang bersangkut paut dengan sejarah perjalanan hidup manusia adalah sesuatu dirasai secara semula jadinya oleh hati yang sejahtera. Ia kadangkala tiba-tiba menyelinap dan menyentuh jiwa lebih-lebih lagi apabila bertepatan dengan tarikh dan waktu peristiwa itu berlaku.
Setiap manusia tidak kira apa jua pegangan dan kepercayaan mereka akur terhadap hakikat ini. Oleh yang demikian, manusia di timur dan di barat tanpa mengira agama dan pegangan akan mengingati peristiwa-peristiwa lalu yang berlaku dalam sejarah kehidupan agama dan bangsa mereka lalu diraikan dengan cara tersendiri.
Islam turut tidak mengingkari hakikat ini. Islam mengingatkan umatnya tentang peristiwa-peristiwa silam yang berlaku kepada bangsa-bangsa dan Nabi-nabi yang diutuskan di zaman dahulu bertepatan dengan fitrah yang diciptakan oleh Allah SWT di dalam hati manusia. Allah SWT mengingatkan tentang banyak peristiwa dan kenangan yang berlaku di zaman silam sebagai menguatkan lagi rantaian rohani di antara umat ini dengan sejarah Rasul dan Nabi yang terdahulu.
Di antara faedah terbesarnya ialah demi mengukuhkan keimanan, meningkatkan kesabaran dan mencerna rasa syukur di dalam hati para hamba atas segala nikmat yang dikurniakan oleh-Nya.
Allah SWT berfirman: Dan kami khabarkan kisah-kisah dari berita-berita Rasul-rasul yang terdahulu kepadamu (wahai Nabi Muhammad) sebagai mengukuhkan lagi keteguhan hatimu. (Hud: 120)
Demikianlah bagaimana Allah SWT mengeratkan hubungan peristiwa silam dalam ingatan umat Islam sebagai suatu yang dirasai dan terbit daripada fitrah yang sejahtera.
Zikrayat dan tempat
Selain hubungan waktu dan zaman, tempat-tempat bersejarah juga memberi sumbangan yang besar dalam kehidupan manusia. Tempat-tempat yang berkait rapat dengan sejarah kehidupan seseorang dan juga bersangkut paut dengan peristiwa yang berlaku dalam urusan dunia dan agamanya secara fitrahnya terbit di dalam hati manusia.
Manusia akan pasti mengenang tempat kelahirannya yang diistilahkan sebagai 'tanah tumpah darahku' dan tempat-tempat dia mencipta kenangan-kenangan terindah, pencapaian dan kejayaan gemilang dalam kehidupannya.
Ia secara umumnya memberi rasa kekuatan, meningkatkan motivasi diri dan menjadikan pemikiran dan diri manusia sentiasa maju ke hadapan cekal menempuh dugaan dan cabaran yang silih berganti. Islam mengakui dan mengiktiraf realiti ini dan berterusan mengingatkan manusia mengenainya.
Dalil dan bukti yang paling jelas ialah disyariatkan fardu haji di mana kaifiat rukun-rukunnya itu pada asalnya dipetik berdasarkan tempat dan peristiwa yang berlaku pada umat Islam terdahulu dari perbuatan dan pergerakan para Rasul seperti tawaf, sa'i, wukuf di Arafah dan sebagainya.
Demikian juga bagi tempat-tempat bersejarah seperti tempat kelahiran para Nabi dan Rasul, diperingatkan sebagai membuktikan ia memberi kesan pada hati dan jiwa manusia yang memiliki fitrah yang sejahtera.
Di dalam peristiwa Israk, Jibril memerintahkan Rasulullah SAW agar menunaikan solat di suatu kawasan. Selepas menunaikan solat, Jibril bertanya kepada Baginda SAW: Wahai Muhammad, tahukah engkau di mana engkau bersolat? Rasulullah SAW menjawab: Tidak. Maka Jibril pun berkata: Engkau telah bersolat di Baitulahm (Betlehem) di mana ia adalah tempat dilahirkan Isa a.s.
Lihatlah bagaimana Jibril mengingatkan Nabi SAW kaitan tempat dan peristiwa dalam kehidupan manusia. Tidaklah Jibril memaklumkan tempat tersebut sebagai suatu pemberitahuan yang sia-sia yang tidak memberi faedah apa-apa. Bahkan dipetik daripada hadis tersebut bahawa Allah SWT mencurahkan keberkatan pada waktu dan tempat yang dikehendaki-Nya lalu menjadikan bagi kedua-duanya kemuliaan iaitu dimakbulkan doa dan permintaan.
Diriwayatkan di dalam Sahih Muslim bahawa ketika Rasulullah SAW memasuki kota Madinah, Baginda SAW melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari 'Asyura.
Maka Baginda SAW pun bertanya mengenai puasa mereka itu, lalu dimaklumkan kepada Baginda SAW bahawa kaum Yahudi berpuasa pada hari tersebut sebagai mengenang peristiwa Allah menyelamatkan Nabi Musa as dan membinasakan musuh-Nya Firaun. Lalu Rasulullah SAW bersabda: Kami lebih berhak meraikan kejayaan Musa daripada mereka (kaum Yahudi). Maka Baginda SAW berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan umat Islam agar turut berpuasa.
Di dalam hadis ini, diterangkan bagaimana peristiwa gemilang di zaman silam yang menjadi sejarah umat Islam adalah merupakan suatu perkara yang berkait rapat dengan umat sehingga ke hari kiamat. Rasulullah SAW mengenang dan mengagungkan peristiwa itu lalu zikrayat itu yang terbit dari hati sanubari Rasulullah SAW yang sejahtera kemudiannya menjadi suatu sunnah yang mulia dan diikuti.
Berdasarkan istinbat dan kefahaman yang dipetik dari dalil ini juga, diharuskan menyambut perayaan Mawlid Nabi SAW menurut Sheikh al-Islam al Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani dan Imam al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti.
Umat Islam hari ini dan zikrayat
Dalam dunia hari ini yang begitu mencabar, kita terus berusaha menongkah arus kehidupan yang dipasung dengan nilai-nilai materialistik. Maka pada hari ini, kita terlebih memerlukan majlis-majlis zikrayat sebagai suatu sumber pedoman dalam menjalani kehidupan dengan sejahtera.
Di antara sebesar-besar bukti yang menunjukkan zikrayat ini adalah fitrah semula jadi yang terbit dalam diri umat manusia tanpa mengira pegangan agama dan bangsa ialah mereka saban tahun mengingati tokoh-tokoh pujaan mereka, artis-artis yang mewarnai dunia hiburan antarabangsa dengan majlis-majlis dan konsert peringatan.
Dicanangkanlah segala pemikiran dan sumbangan tokoh serta lagu-lagu artis pujaan mereka tersebut dalam suatu upacara yang gilang gemilang.
Fitrah meraikan dan memperingati golongan-golongan yang telah menabur jasa di dalam Islam tetap ada dalam jiwa umat Islam selagi mana mereka memiliki fitrah yang sejahtera.
Cuma fitrah ini tidaklah dibiarkan meraba-raba tersasar tanpa haluan sebagaimana yang dilakukan oleh kepercayaan-kepercayaan lain di dunia juga pemuja-pemuja artis antarabangsa yang telah mati.
Fitrah memperingati suatu peristiwa dan tokoh di dalam Islam dikemudi dan dipantau ketat oleh al-Quran dan sunnah agar ia tidak dibiarkan sewenang-wenangnya melanggar batasan yang telah ditetapkan.
Dengan kefahaman mudah, ia tidak boleh disamakan dengan perbuatan-perbuatan penganut agama lain contohnya dengan menyamakan sambutan Mawlid Nabi dengan sambutan Hari Krismas dengan kaedah qias.
Qias seumpama ini adalah qias yang batil dan tertolak kerana ia bersifat mengqiaskan sesuatu yang mempunyai sandaran daripada al-Quran dan sunnah dengan perbuatan agama lain yang tidak mempunyai asas dan kaitan walau sedikitpun dengan al-Quran dan sunnah.
Demikian juga tidak harus mengqiaskan hukum haram bertemu ulama yang mengamalkan jampi azimat daripada al-Quran dengan perbuatan bertemu Bomoh Siam, kerana kedua-duanya datang dari sumber yang berlainan dan tiada kaitan antara satu sama lain iaitu mengqiaskan sesuatu amalan yang mempunyai nas dengan amalan yang tidak mempunyai nas.
Memperingati jasa tokoh
Allah SWT memuliakan mereka yang ikhlas berjuang di dalam agamanya di dunia dan di akhirat. Lantaran dari curahan jasa bakti mereka itu, kematian tidak menjadi sebab mereka dilupakan dan lenyap dari ingatan manusia.
Dunia memperingati mereka, bibir-bibir tidak lekang menyebut kebaikan, jasa bakti serta pengorbanan yang dipersembahkan. Jiwa-jiwa masih terus meruntun untuk terus bersama mereka di mana manhaj, buah fikiran dan pendapat mereka dijadikan pegangan dan bekalan bagi umat menempuh jarak kehidupan mendatang.
Kematian menjadikan mereka lebih sempurna dan hidup. Mereka hidup di alam sana dalam keadaan diberikan rezeki dan di suatu sudut yang lain mereka hidup di dalam hati-hati yang memiliki fitrah sejahtera. Majlis-majlis peringatan, muktamar mengupas pemikiran dan mengenang jasa bakti mereka dianjurkan di sana sini.
Sambutan gilang-gemilang di adakan bagi mengekalkan ingatan umat Islam terhadap jasa bakti dan sumbangan mereka dalam memajukan pembangunan ruhiyyah dan minda.
Getaran dan lonjakan fitrah jiwa umat Islam untuk meraikannya amat ketara dirasai apabila ia bertepatan dengan zaman dan waktu kelahiran atau kewafatan tokoh tersebut. Maka majlis-majlis seperti hawl memperingati jasa ulama dan orang-orang soleh, raja-raja dan sultan-sultan yang adil dan berjasa diadakan dengan penuh adab dan tertib, pantauan dan kawalan syariat.
Ia terus dianjurkan dan diraikan zaman-berzaman oleh mereka yang masih memiliki walau sekelumit fitrah sejahtera yang berbaki di sudut hati. Oleh itu amalan sebegini sewajarnya digalakkan dan didokong sebagai sebahagian daripada usaha kita membentuk keperibadian individu dan masyarakat yang lebih segar dan murni penghayatan agamanya.
Panel PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
Zikrayat: Fitrah diri yang sejahtera
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment