Mencegah penyebaran ajaran sesat

Sunday, October 04, 2009

Mencegah penyebaran ajaran sesat

Penyebaran ajaran sesat yang berkembang begitu mudah di kalangan masyarakat adalah ancaman besar kepada Islam dan umatnya. Pemimpin dan pengikut ajaran sesat terbabit pula tanpa segan silu mendakwa ajaran merekalah yang benar.

Golongan yang terpengaruh dengan ajaran sesat itu begitu taksub hingga menimbulkan kekeliruan serta kecelaruan di dalam masyarakat.

Hakikatnya, fahaman atau ajaran yang dibawa mereka jelas sekali bertentangan dengan akidah dan syariat Islamiah serta nyata terpesong daripada al-Quran dan sunnah dibawa Rasulullah SAW.

Sebahagian besar pemimpin ajaran sesat pula terdiri daripada mereka yang jahil Islam selain tidak memahami al-Quran dan sunnah, malah ada yang tidak punya asas agama langsung.

Oleh itu, bagaimanakah pengikut serta masyarakat boleh menerima dan terpedaya dengan dakwaan juga tipu daya guru mereka yang diagungkan sebagai mursyid, maksum dan sebagainya.

Antara keterangan beberapa ajaran sesat yang mudah untuk dikenal pasti termasuk mendakwa Allah SWT menjelma dalam diri guru, mengamalkan nikah batin, mengaku mengetahui perkara ghaib dan pelbagai lagi.

Amalan sesatnya juga mudah dikenali seperti berzikir beramai-ramai di dalam gelap bercampur bebas lelaki dan wanita, sembahyang hanya cukup dengan niat saja, menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT dan sebagainya.

Menjadi tanggungjawab kita semua untuk membasmi penularan dan perkembangan ajaran sesat ini. Tidak ada jalan lain, kita perlu sentiasa berwaspada, cermat dan berhati-hati dengan dakwaan sesetengah pemimpin ajaran yang menyeleweng ini.

Mereka wujud sepanjang zaman sejak di zaman Nabi Muhammad SAW lagi. Kerana itulah Allah SWT mengingatkan kepada hamba-Nya supaya sentiasa berpegang teguh dengan agama-Nya iaitu Islam melalui firman-Nya dalam al-Quran surah an-An’am ayat 153:

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam ) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam ) yang mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah dengan demikian itulah Allah perintahkan kamu supaya bertakwa,”.

Individu yang mempunyai akidah betul tidak akan terpesong dan mudah diperdayakan oleh syaitan. Ini berdasarkan janji Allah SWT di dalam surah al-Hijr ayat 42:

“Sesungguhnya hamba-hamba-Ku tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri).

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI