Ketabahan Bilal hadapi seksaan

Monday, October 12, 2009

Ketabahan Bilal hadapi seksaan

Setiap hari Umaiyyah bin Khalaf menantikan berita Nabi Muhamamd akhirnya berjaya mati dibunuh oleh hambanya, Bilal bin Rabah.

Beliau tidak senang duduk selagi berita kejayaan pembunuhan itu tidak dibawa pulang oleh Bilal.

Sebenarnya pembunuhan Nabi Muhammad itu bukanlah menjadi matlamat utama si Umaiyyah tetapi beliau membayangkan nama besar yang bakal diperoleh andai misi 'suci' ini berjaya disempurnakan oleh Bilal.

Tentu Umaiyyah akan dipuja, disanjung sehingga tujuh keturunan tidak habis diperkatakan kerana kehebatannya kerana berjaya membunuh baginda Rasulullah!

Namun setiap hari Umaiyyah dihampakan oleh pelbagai alasan Bilal kerana masih tidak berjaya untuk membunuh manusia yang mulia, Nabi Muhammad itu.

Sedangkan apa yang berlaku di belakang Umaiyyah, hamba kesayangannya itu sedang menikmati detik-detik keislaman malah Bilal sentiasa berada di sisi Rasulullah.

Untuk membunuh baginda boleh dilakukan bila-bila masa sahaja. Namun apabila bercakap soal keimanan yang kental dan rasa kasih yang mendalam terhadap Pesuruh Allah itu, Bilal sama sekali tidak akan menikam seseorang yang menyebarkan sebuah agama, antara ajarannya meletakkan semua manusia adalah sama rata, sama taraf.

Juga seseorang yang begitu menjadi obor memberikan beliau semangat untuk menikmati kehidupan sebagai manusia yang merdeka.

Tidak sesekali Bilal akan cuba mencederakan Nabi Muhammad!

Malah Bilal sedia mempertahankan Nabi Muhammad daripada apa juga ancaman dan cubaan yang buruk dari mana-mana pihak yang memusuhi baginda.

Sehinggalah selepas peristiwa keluarga Amar bin Yasir, iaitu bapanya Yasir, ibunya Sumayyah dan adik lelakinya, Abdullah yang diseksa dan mati kerana keengganan mereka untuk meninggalkan Islam.

Umaiyyah sentiasa memberi amaran bahawa seksaan seperti itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang berani memeluk Islam. Hatta isteri mahupun anak-anaknya sendiri!

Namun tanpa disangka kata-kata keras Umaiyyah itu hanya menerima ketawa yang besar oleh para pembesar Quraisy yang lain. Ini menyebabkan Umaiyyah kehairanan kerana tidak mengetahui apa-apa.

"Kamu Umaiyyah, ibarat berkawal siang malam tetapi rumah sendiri dimasuki pencuri," kata Abu Lahab sambil berkias.

Umaiyyah benar-benar tidak faham kiasan di sebalik kata-kata Abu Lahab itu.

"Kamu hanya pandai bercakap sedangkan kamu tidak tahu apa yang berlaku kepada hambamu sendiri," balas Abu Lahab.

Umaiyyah kemudiannya benar-benar tersentak apabila Abu Lahab menceritakan mata kepalanya yang melihat sendiri Bilal meludah patung-patung berhala yang bersepah di sekitar Kaabah sebagai tanda dia telah berpaling daripada ajaran menyembah patung-patung itu.

"Bilal mengaku bahawa Tuhannya sekarang adalah Allah. Itu bukti Bilal sudah menjadi pengikut Muhammad. Perbuatan hamba kamu itu satu penghinaan yang besar kepada kita," tegas Abu Lahab.

Umaiyyah benar-benar tidak menyangka hamba yang paling dipercayainya itu sanggup berpaling tadah dan berani menipu.

Dia berasa sangat malu. Pada hal Umaiyyah telah menawarkan kemerdekaan kepada Bilal jika hambanya itu berjaya membunuh Nabi Muhammad. Satu tawaran yang sangat diidam-idam dan sama sekali tidak boleh dilepaskan oleh mana-mana hamba.

Mereka lazimnya sanggup melakukan apa sahaja bagi mendapatkan status bebas daripada perhambaan itu.

Tetapi ternyata pengaruh Nabi Muhammad lebih kuat, seolah-olah Muhammad kini merupakan tuan kepada Bilal, bukannya dirinya!

Jadi mengertilah kini Umaiyyyah mengapa misi Bilal sering tertangguh dengan pelbagai alasan. Rupa-rupanya hambanya tidak menikam Muhammad, tetapi telah menikam beliau dari belakang!

"Sekiranya Bilal itu hamba milik aku, pasti sudah aku bunuh dia. Berani dia menghina tuhan kita," kata Abu Suffian pula dengan sengaja bagi menambahkan kemarahan Umaiyyah.

Tanpa mampu berkata-kata lagi, Umaiyyah terus pulang ke rumah yang diiringi dengan gelak tawa para pembesar Mekah itu.

Setiba di rumah kemarahan Umaiyyah tidak dapat dibendung lagi apabila mendengarkan Bilal tanpa sebarang perasaan takut atau ragu-ragu sedang mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Walaupun begitu merdu dan mengasyikkan bacaan si Bilal namun semua itu langsung tidak dapat memadamkan api kemarahan Umaiyyah, malah semakin memarakkan lagi perasaan geram dan sakit hati dia terhadap Bilal.

"Aku suruh kamu bunuh Muhammad, bukan menjadi pengikutnya!!!" bentak Umaiyyah sambil terus memukul Bilal tanpa henti.

Bilal yang ketika itu sudah bersedia untuk menghadapi apa juga kemungkinan telah menunjukkan kedegilan yang luar biasa dengan langsung tidak mempedulikan nasib yang bakal diterima.

Malah beliau langsung tidak menunjukkan rasa takut malah cuba mengajak Umaiyyah untuk menerima Islam.

Kata-katanya itu menyebabkan Umaiyyah bertempik marah dan Bilal terus dipukul.

Hamba-hamba lain hanya mampu memandang sahaja apabila Bilal teruk diseksa dan dibalun oleh tuan mereka. Malah ada yang menyuruh Umaiyyah supaya Bilal itu terus dibunuh sahaja.

Namun Umaiyyah tidak mahu Bilal segera mati kecuali hendak diseksanya terlebih dahulu sebelum Bilal akan mati secara perlahan-lahan.

Diikat

Lalu apa yang berlaku selepas itu Bilal diikat leher tangan dan kaki yang kemudian diheret seperti anjing untuk dibawa ke padang pasir yang tandus dan panas terbakar untuk diseksa dengan pelbagai seksaan yang pedih.

Umaiyyah mahu hambanya itu menerima nasib dan seksaan yang lebih pedih dan teruk daripada yang dialami oleh keluarga Yasir sebelum ini.

Apa yang berlaku kepada Bilal di tangan Umaiyyah selepas itu adalah seperti yang kita telah ketahui. Sudahlah hidupnya selama ini begitu terseksa sebagai hamba abdi dan kini hanya kerana dia mengaku Islam menyebabkan seksaan terhadapnya tiada kesudahan.

Malah semakin teruk di peringkat yang paling zalim. Seolah-olah Umaiyyah mabuk darah Bilal yang terpercik ke sana sini akibat diseksa tetapi dalam masa yang sama dia tidak mahu melihat Bilal itu mati!

Dua hari dua malam lamanya Bilal diseksa tanpa henti tanpa sesiapa dapat menahan amukan marah Umaiyyah yang merasakan malu yang ditanggung tidak dapat dibeli walaupun sudahnya Bilal mati.

Sehinggalah Abu Bakar kemudiannya sanggup membeli Bilal dari Umaiyyah dengan tawaran harga yang tinggi.

Namun usaha atau urusan jual beli Bilal itu sebenarnya tidak mudah. Umaiyyah tetap enggan melepaskan Bilal, selagi hambanya itu tetap mengaku bahawa Allah itu adalah tuhannya dan tidak kembali semula ke ajaran yang asal.

"Sekalipun Bilal ini mati selepas saya membeli dari kamu Umaiyyah, kamu masih tidak rugi apa-apa kerana saya telah menjualnya kepada kamu dengan harga yang cukup mahal.

"Malah saya sebenarnya yang rugi kerana tidak ada faedahnya saya membeli seorang hamba yang pastinya akan menemui maut, Bilal hanya menunggu masa sahaja kerana sesiapa sahaja jika teruk diseksa seperti ini pasti sudah lama dijemput ajal," kata Abu Bakar penuh harap.

Akhirnya Umaiyyah termakan juga dengan kata-kata Abu Bakar itu dan sekurang-kurangnya dia telah menunjukkan kepada rakan-rakannya dan seluruh penduduk Mekah bahawa tidak ada sesiapa yang terlepas jika cuba berpaling dari menyembah berhala.

Umaiyyah akhirnya setuju untuk menjual Bilal kepada Abu Bakar, malah secara sinis beliau yakin Bilal pasti akan mati dan percuma sahaja sahabat baik Nabi Muhammad itu menjual hamba itu kepadanya.

Seperti yang kita ketahui juga, bahawa Bilal bukan sahaja mampu bertahan, malah dipanjangkan Allah akan usianya. Namun yang lebih hebat Bilal mencipta nama yang cukup hebat dan besar dalam sejarah Islam sedangkan asalnya dia seorang hamba abdi!

Umurnya tidak sahaja panjang, malah beliau merupakan antara sahabat-sahabat besar Rasulullah SAW yang melewati sehingga kewafatan baginda, Bilal tetap teruskan perjuangan menegakkan syiar Islam.

Malah 'kebangkitan' Bilal menyebabkan bekas majikannya, Umaiyyah menyesal tak sudah kerana menjualkan hambanya itu kepada Abu Bakar. Malah dia sanggup membeli semula Bilal dari Abu Bakar dengan harga yang berlipat ganda tinggi berbanding harga yang dijual sebelum ini.

Umaiyyah sama sekali tidak menyangka Bilal akan sembuh daripada luka-luka yang parah malah begitu menikmati kehidupan sebagai manusia yang merdeka, malah lebih teruk lagi Bilal kini menjadi seteru yang memerangi golongan kafir Quraisy.

Ini apabila Bilal turut serta dalam Perang Badar dan berjaya mengalahkan mereka yang dahulunya merupakan tuan kepada Bilal.

Bagaimana dengan nasib Umaiyyah akhirnya, berjayakah beliau membalas dendam terhadap Bilal kerana memalukannya di hadapan orang ramai?

Beliau akhirnya mati malah kepalanya berjaya dipenggal sehingga putus. Siapa yang berjaya membunuh Umaiyyah itu dan ikuti seluruh kisah hidup Bilal melalui buku karya Abdul Latip Talib, terbitan PTS, Bilal Bin Rabah - Pengumandang Seruan Langit!

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI