Buta akibat mercun
Setiap kali kedatangan bulan Ramadan dan Aidilfitri, bermain mercun bagaikan satu kemestian dan pesta kepada pelbagai lapisan masyarakat Malaysia, sama ada di kampung dan di bandar. Kanak-kanak dan remaja merupakan golongan yang paling girang bermain mercun seawal bermula Ramadan sehinggalah Syawal menjelma.
Mercun yang menjadi pilihan ramai ialah mercun-mercun yang diimport atau diseludup dari luar negara dan dijual oleh penjual-penjual di seluruh pelosok negara dan juga mercun buatan sendiri. Satu jenis mercun lagi ialah yang dibeli dan kemudiannya diubahsuai oleh pengguna sendiri.
Golongan yang sering menjadi mangsa kecederaan mata akibat bermain mercun ialah kanak-kanak lelaki. Kanak-kanak perempuan, remaja perempuan dan golongan dewasa biasanya mengalami kecederaan kerana turut menjadi pemerhati ketika kejadian berlaku dan bukannya kerana bermain mercun secara langsung.
Kecederaan mata dan rawatan
Kecederaan mata yang biasa berlaku meliputi;
l Kesan terbakar secara langsung - Kesan terbakar pada kelopak mata, lapisan konjunktiva atau lapisan kornea
l Kesan kecederaan yang lain:
l Koyakan pada kelopak mata, lapisan konjunktiva atau kornea
l Pendarahan bawah lapisan konjunktiva
l Pendarahan dalam bebola mata
l Kehadiran benda asing dalam bebola mata seperti serpihan-serpihan belerang, besi atau kaca
l Keadaan bebola mata yang bernanah
l Lapisan retina yang terkoyak
l Kecederaan pada saraf mata
l Bebola mata menjadi hancur.
Setiap pesakit yang mengalami kecederaan mata akibat letupan mercun sepatutnya dirujuk dan diperiksa dengan rapi oleh pakar mata atau pegawai-pegawai perubatan yang bertugas di bawah seliaan pakar mata di mana-mana hospital kerajaan atau swasta. Pemeriksaan mata yang menyeluruh sangat penting bagi memastikan tahap kecederaan dan bentuk rawatan yang diperlukan oleh mangsa.
Kesan terbakar pada kelopak mata dan lapisan konjunktiva biasanya tidak serius dan boleh dirawat secara pesakit luar. Bagaimanapun, rawatan susulan dengan doktor mata penting bagi memastikan luka sembuh dengan baik dan tidak berlaku jangkitan kuman pada luka tersebut.
Kesan terbakar pada lapisan kornea memerlukan rawatan rapi bagi memastikan luka sembuh dengan sepenuhnya. Mangsa biasanya dirawat sebagai pesakit luar. Mangsa perlu dirawat di hospital sekiranya kesan terbakar lebih dalam dan serius.
Kesan koyakan pada kelopak mata sekiranya berdekatan dengan lapisan bulu mata perlu dijahit dengan baik oleh pakar mata atau pegawai-pegawai perubatan yang bertugas di bawah seliaan pakar mata. Ini bagi memastikan kedua-dua hujung luka disambung dengan kemas dan tidak berlaku kecacatan kekal pada kelopak mata.
Koyakan pada lapisan konjunktiva sekiranya besar dan menyebabkan lapisan sklera terdedah perlu dijahit di bilik bedah dengan menggunakan mikroskop. Begitu juga dengan koyakan pada lapisan kornea. Mangsa biasanya dimasukkan ke dalam wad dan dibenarkan pulang ke rumah setelah luka siap dijahit serta tidak menunjukkan tanda-tanda berlaku jangkitan kuman. Parut yang terjadi akibat luka pada bahagian tengah lapisan kornea, akan turut menjejaskan keupayaan penglihatan mangsa secara kekal.
Pendarahan bawah lapisan konjunktiva biasanya tidak merbahaya atau menjejaskan keupayaan penglihatan. Sekiranya tidak ada kecederaan-kecederaan lain, mangsa akan dirawat sebagai pesakit luar. Manakala, pendarahan dalam bebola mata adalah serius dan menjejaskan tahap penglihatan mangsa. Mangsa perlu dimasukkan ke dalam wad untuk pengawasan rapi doktor pakar.
Pendarahan yang berlaku pada hadapan struktur mata hitam ('anterior chamber') boleh menyebabkan penglihatan mangsa turut terjejas. Pendarahan yang banyak boleh dilihat dengan mata kasar. Mangsa perlu menjalani rawatan di dalam wad bagi mengelakkan komplikasi seperti tekanan dalam bebola mata meningkat naik atau berlaku pendarahan kedua yang biasanya lebih teruk.
Pendarahan juga boleh berlaku pada struktur vitreous. Keadaan ini menyebabkan tahap penglihatan terjejas dan memakan masa untuk sembuh. Keadaan ini perlu diperiksa secara teliti oleh doktor mata bagi memastikan lapisan retina tidak turut terkoyak dan mengakibatkan komplikasi lain yang lebih serius.
Kanta mata juga boleh rosak sekiranya kecederaan yang lebih serius berlaku. Serpihan besi atau belerang yang menembusi bebola mata boleh mengakibatkan kecederaan pada kanta mata. Ini menyebabkan terjadi penyakit selaput mata atau katarak. Kanta mata menjadi keruh secara tiba-tiba atau perlahan-lahan bergantung kepada tahap kecederaan mata mangsa. Situasi ini pasti menjejaskan tahap penglihatan mangsa dan menyebabkan mangsa perlu menjalani pembedahan katarak. Semasa pembedahan, kanta mata asal yang telah rosak akan digantikan dengan kanta mata tiruan dan akan kekal di dalam mata mangsa sepanjang hayat.
Kehadiran benda asing dalam bebola mata seperti serpihan belerang, besi atau kaca merupakan perkara serius yang boleh menyebabkan buta dan perlu rawatan yang segera. Mangsa perlu menjalani pembedahan kecemasan bagi mengeluarkan benda-benda asing tersebut. Keadaan ini juga biasanya turut menyebabkan kecederaan pada lapisan mata hitam (iris), kanta atau retina.
Keadaan ini akan menjadi lebih parah akibat kuman yang sedia ada pada bahan-bahan seperti batang besi, buluh atau botol-botol kaca yang kotor dan tercemar. Jangkitan kuman boleh merebak ke seluruh struktur bebola mata dan menyebabkan keadaan mata bernanah. Jika ini berlaku, keadaan mata adalah sangat kritikal dan boleh menyebabkan pesakit menjadi buta.
Keadaan bebola mata yang bernanah perlu menerima rawatan secara intensif terutamanya rawatan antibiotik. Pesakit juga mungkin perlu menjalani pembedahan vitrektomi bagi mengeluarkan nanah dalam bebola mata. Semasa pembedahan tersebut, suntikan antibiotik secara langsung ke dalam bebola mata mangsa akan dilakukan oleh doktor pakar mata. Rawatan ini bergantung kepada keadaan mata pesakit mengikut penilaian doktor pakar mata yang merawat mangsa.
Kecederaan yang paling mengerikan ialah struktur bebola mata hancur akibat mercun yang meletup betul-betul di hadapan mata mangsa. Kecederaan ini biasanya amat serius dan mangsa menjadi buta serta-merta. Keseluruhan bebola mata hancur sehingga sukar dikenal pasti struktur anatomi mata. Keadaan ini memerlukan pembedahan secara kecemasan dilakukan ke atas mangsa. Doktor pakar mata akan menjahit semula tisu-tisu yang koyak dan hancur berkecai. Pembedahan ini sukar dan memakan masa yang lama. Dalam jangka masa panjang, mangsa akan buta secara kekal. Bebola mata yang cedera dan telah menjalani pembedahan bagaimanapun tidak berfungsi untuk melihat.
Sekiranya kecederaan sangat serius dan seluruh tisu hancur sama sekali, doktor pakar mata tidak mempunyai pilihan yang lain kecuali mengeluarkan semua saki baki tisu bebola mata mangsa semasa pembedahan kecemasan tersebut. Selepas pembedahan, mangsa kehilangan seluruh bebola mata. Mangsa biasanya disarankan memakai mata palsu bagi mengelakkan dilema kosmetik pada masa akan datang.
Fenomena di atas sebenarnya ialah satu situasi yang boleh dielakkan oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia. Kesannya bukan sahaja kepada mangsa yang terbabit tetapi juga seluruh kaum keluarga yang terpaksa menghabiskan masa di hospital atau perlu berulang alik ke hospital untuk bersama-sama mangsa dalam menghadapi saat getir seperti ini.
Pencegahan
Larangan bermain mercun melalui media cetak, elektronik atau internet perlu diambil berat oleh semua pihak terutamanya oleh golongan muda dan kanak-kanak. Mereka perlu peka mengenai bahaya dan komplikasi yang bakal terjadi akibat bermain mercun. Mesej mengenai kecederaan mata dan kemungkinan buta akibat bermain mercun perlu diwar-warkan secara lebih berkesan di kalangan semua lapisan masyarakat Malaysia.
Ibubapa dan anggota masyarakat disarankan memainkan peranan yang lebih efektif bagi membendung aktiviti bermain mercun sepanjang bulan Ramadan dan Syawal. Penguatkuasa undang-undang pula perlu lebih tegas membanteras dan membendung kegiatan penyeludupan dan penjualan mercun di seluruh negara.
Deria penglihatan yang baik di kalangan kanak-kanak dan generasi muda merupakan satu aset penting setiap individu yang merupakan permata negara. Bermain mercun di musim-musim perayaan begini ialah satu bentuk keriangan dan kegirangan yang bersifat sementara. Menjadi buta dan mempunyai kecacatan mata yang kekal perlu ditanggung oleh setiap mangsa sepanjang hayat mereka.
Buta akibat mercun
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 Komen:
maka dari itu harus mawas diri yaa a
di ndonesia juga banyak yang tewas akibat mercun
harus dimusnahkan tuh mercunnya , biar gak ada mangsa lagi
Post a Comment