Saintis ramal berlaku gempa lebih dahsyat
Keadaan di sekeliling Suci Refikawulan Sari tunggang-langgang dengan sisa runtuhan bangunan. Dia terpaksa merangkak di sebalik besi dan debu bagi mencari ruang yang membolehkan dia bernafas.
Terhimpit selama 48 jam, kakinya tersepit antara bongkah konkrit dan satu-satunya cara untuk melawan kesakitan adalah dengan memikirkan tentang bayi lelakinya yang berusia 14 bulan.
"Saya beritahu diri saya, saya perlu terus hidup. Saya ingin lihat anak saya membesar menjadi insan berguna,'' kata ibu dan guru berusia 25 tahun itu.
Suci, merupakan salah seorang daripada dua mangsa yang berjaya ditarik keluar daripada sisa runtuhan Sekolah Pragoya di Padang selepas bangunan itu roboh berikutan gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter yang menggegar Padang pada 30 September lalu.
Turut selamat adalah seorang pelajarnya, Ratna Kurnia Sari, 20.
Suci dan Ratna sangat bertuah kerana mereka terselamat dalam bencana alam yang sering menggegar Indonesia, tidak seperti 704 mangsa lain yang disahkan maut.
Gempa kuat yang berlaku pada pukul 5.16 petang waktu tempatan (6.16 petang waktu Malaysia), 53 kilometer ke barat laut bandar Padang itu turut mengakibatkan lebih 4,000 mangsa terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Sehari sebelumnya, satu gempa berukuran 8.0 skala Richter mencetuskan tsunami setinggi 7.5 meter di Samoa, American Samoa dan Tonga di Kepulauan Pasifik yang mengorbankan 177 nyawa.
Dunia beberapa hari kemudian terus digegarkan dengan beberapa siri gempa termasuk di Mexico beberapa hari selepas itu yang berukuran 5.6 pada skala Richter, diikuti di Taiwan serta Filipina masing-masing dengan kekuatan 6.3 pada skala Richter dan 6.5 skala Richter pada 4 Oktober lalu. Fiji turut digegarkan pada 3 Oktober dengan kekuatan 5.9 skala Richter dan bumi California sehari sebelum itu menerima gegaran dengan kekuatan 4.7 pada skala Richter.
Bagaimanapun, menurut pakar geologi, gempa bumi di Indonesia tidak mempengaruhi gegaran yang melanda negara-negara di Pasifik Selatan.
Melihatkan kepada skala gempa serta bencana itu yang sering menggegar negara jiran Indonesia, timbul persoalan mungkinkah akan berlaku gempa lebih besar yang menyamai kejadian pada 2004 yang turut mencetuskan tsunami dan mengakibatkan lebih 220,000 mangsa terbunuh di negara-negara sekitar Lautan Hindi, terutama di Acheh, Indonesia?
Saintis sebelum ini pernah mengeluarkan amaran bahawa Padang merupakan satu lokasi yang berpotensi berlaku gempa ekoran kedudukannya yang berhampiran garis sesar dan selepas gempa pada 30 September lalu, saintis meramalkan, satu gempa lebih besar mungkin akan menggegar Padang lagi.
Pakar geologi Institut Teknologi California, Kerry Sieh memberitahu bahawa Padang terletak antara dua garisan sesar yang tinggi dengan aktiviti seismik.
Saintis menyatakan bahawa gempa besar di wilayah itu berlaku disebabkan geseran plat Indo-Australia dan plat tektonik Eurasia yang bergerak menghala satu sama lain pada kadar sehingga enam sentimeter setiap tahun.
Berikutan tekanan ke atas garis sesar di Padang, satu gempa besar dengan kekuatan lebih 8.8 pada skala Richter disertai tsunami setinggi lima meter diramal berlaku di lokasi yang sama pada masa depan.
Kemungkinan berlakunya bencana itu diletakkan pada kadar 100 peratus. Walaupun tarikh gempa itu tidak dapat dijangka, yang pasti gempa lebih besar pastinya akan menyebabkan jumlah korban dan kerosakan yang lebih tinggi.
Perkara itu diakui pakar geologi Danny Hilman Natawidjaja daripada Institut Sains Indonesia yang menyatakan bahawa tekanan yang sedang membina di garis sesar ekoran siri gegaran boleh mencetuskan gempa lebih kuat jika dibandingkan dengan yang menggegar Padang pada 30 September lalu.
Beliau yang mengkaji garis sesar Mentawai berhampiran Sumatera selama 12 tahun percaya gempa yang bakal berlaku itu 30 kali lebih besar berbanding yang menggegar di Padang baru-baru ini.
Biarpun penyelidikan sains tidak dapat menentukan bilakah gempa itu akan berlaku, saintis berpendapat ia boleh terjadi pada bila-bila masa, mungkin esok, beberapa bulan atau tahun lagi, tetapi agak mengejutkan jika ia tidak berlaku dalam tempoh 10 tahun dari sekarang.
Berdasarkan kerosakan serta kemusnahan berskala besar akibat gempa di Padang, pihak berkuasa wilayah itu dilihat jelas tidak bersedia menghadapi bencana berkenaan yang mengakibatkan lebih 180,000 bangunan runtuh.
Indonesia yang menempatkan hampir 150 gunung berapi daratan dan dasar laut juga maklum negaranya yang terletak di Lingkaran Api Pasifik sering berhadapan bencana gempa, namun usaha bagi meminimumkan impak akibat gempa itu tidak dilakukan republik tersebut.
Misalnya, pakar geologi meramalkan Gunung Merapi antara sempadan Jawa Tengah dan Yogyakarta, dijangka meletus pada bila-bila masa. Kali terakhir Gunung Merapi meletus ialah pada Mei 2006 dan letusan itu memberi impak besar apabila 5,000 penduduk sekitar dipindahkan.
Biarpun pakar-pakar geologi mendesak kerajaan menyediakan peruntukan bagi membina bangunan yang tahan dengan impak gempa serta membesarkan jalan raya di Padang bagi memudahkan penduduk menyelamatkan diri semasa bencana berlaku, kerajaan seolah-olah tidak memandang perkara itu sebagai penting.
Apakah kerajaan Indonesia di bawah pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mempunyai persepsi bahawa adalah tidak berbaloi untuk membuat pelaburan besar bagi membina fasiliti dan bangunan-bangunan yang tahan impak gempa kerana ramalan gempa bumi yang dibuat biasanya tidak tepat dan berubah-ubah.
Bukan sahaja gempa, Indonesia terutamanya di Sumatera Barat boleh dianggap sebagai pusat bencana di rantau Asia Tenggara kerana ia turut menempatkan beratus-ratus gunung berapi di samping kejadian tanah runtuh yang selalu berlaku.
Dengan mengambil kira wilayah itu sebagai pusat bencana, kerajaan seharusnya memberi tumpuan lebih terutama dalam memastikan kesejahteraan serta melindungi rakyatnya daripada bencana alam.
Namun apakah punca kerajaan enggan berbuat demikian? Mungkinkah masalah jenayah rasuah yang sering diperkatakan di Indonesia merencatkan usaha kerajaan dalam menyalurkan peruntukan khas untuk rakyat dalam menghadapi bencana?
Selain faktor kegagalan menyalurkan peruntukan oleh kerajaan untuk membina bangunan atau rumah yang lebih tahan gegaran, kerosakan serta kematian yang besar akibat gempa juga harus diletakkan kepada sistem amaran gempa yang gagal memberi amaran kepada penduduk supaya bersiap sedia menghadapi bencana tersebut.
Selepas tsunami 2004 yang mengorbankan 168,000 mangsa di Indonesia sahaja, sistem amaran bencana nampaknya lebih menumpukan kepada ramalan tsunami dan bukannya jangkaan kemungkinan berlakunya gempa.
Mungkin terlepas pandang, seharusnya tumpuan sama diberikan kepada ramalan gempa dan letupan gunung berapi kerana ia boleh mencetuskan tsunami selain boleh membawa kepada krisis kemanusiaan akibat bencana seperti krisis kekurangan bekalan makanan atau penyebaran penyakit berjangkit.
Oleh SHAMSIAH ZULKAFLI
Saintis ramal berlaku gempa lebih dahsyat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment