Cerpen Kreatif - Syawal Belum Berakhir
Senah masih juga duduk di beranda. Sunyi lagi sepi. Pelita masih juga terpacak mengelilingi laman rumah. Sebahagian telah tumbang. Semalam kali terakhir pelita itu menyala. Hanya dua dan tiga yang memancarkan cahaya terang. Satu dua pula malap. Satu dua tiga pula tidak lagi menyala. Mungkin sumbu pelita itu habis terbakar. Minyak tanah juga semakin kering. Pelita di bahagian belakang sudah lama tidak menyala. Hanya hari pertama hingga hari ketiga.
Azlan memarahi Hussin dan Hassan yang bersendirian menyalakan pelita di belakang rumah. Kadang-kadang isteri Azlan menemani Hussin dan Hassan. Lebih banyak waktu Senah yang melayan kerenah cucunya itu. Azlan kerap kali terjerit-jerit memarahi Hussin dan Hassan bermain bunga api. Atau sengaja membawa pelita itu lari ke hulu ke hilir. Membakar apa yang boleh terbakar. Termasuk pokok bunga Senah. Kadang-kadang pelita itu hilang dari tempat asalnya. Atau tertinggal di tepi pagar atau hilang begitu saja. Hussin dan Hassan yang berusia 10 tahun menjadikan pelita itu penyuluh jalan ke rumah Alia.
Senah tidak marah. Azlan yang membeli dan membawa pelita itu ke sini. Katanya di bandar pelita itu diganti dengan lampu kelip-kelip atau lampu jalan.
Isterinya sekali dua membebel. Azlan juga naik bingung. Azlan resah gelisah menyudahkan tugas yang turut sama balik beraya. Isteri Azlan berkali-kali mengangkat telefon dan menegas. Sesekali ketawa. Bertanya cerita bandar. Kisah di pejabat. Tugas yang tertinggal. Nasib baik kampung ini sudah menerima pancaran telefon bimbit jika tidak Azlan dan isterinya lebih berkira-kira balik kampung.
“Malam nanti saya e-mel.” Jawab Azlan. Malam itu setelah sembahyang Isyak, Azlan dan isterinya ke pekan. Selama seminggu juga mereka ulang-alik ke pusat internet.
“Internet mak! Hantar data.” Jawapan Azlan.
“Kalau macam tu senanglah Lan tidak perlu tergesa. Cuti Lan kan panjang lagi.” Senah menjangka. Teknologi itu merapatkan hubungan mereka, Azlan tidak juga tersisa tugasnya. Azlan juga tidak mempunyai alasan kembali ke kota lebih awal.
“Tidak semua boleh diselesaikan dengan internet. Kena balik juga.” Isteri Azlan juga menjawab demikian. Senah hanya mengangguk.
Hussin dan Hassan dengan dunia mereka. Sedikit pun tidak kisah akan kesibukan Azlan. Atau penat lelah Senah melayan mereka. Senah membawa Hussin dan Hassan beraya ke sana ke mari. Mengunjungi sanak saudara. Senah juga memaksa Azlan menyertai mereka. Dalam kepayahan Azlan pula menarik isterinya.
Azlan begitu gembira bertemu sanak saudara. Malahan dalam perjalanan Azlan sibuk bertanya itu dan ini. Malahan Azlan juga singgah ke mana-mana rumah di sepanjang. Hanya bertanya khabar. Bersalam. Bila ada yang menjentik hati, Azlan lebih lama di sana. Isterinya juga penuh bersemangat.
Entah mengapa apabila kembali ke rumah. Azlan mengeluh. Isterinya masam muka.
“Baik campak saja telefon ni. Ada saja masalah. Itu pun tidak boleh selesai.” Azlan mengomel. Isterinya diam. Sepanjang malam Azlan berdebat dengan isterinya. Entah apa mereka bincangkan. Berkali-kali juga telefon berdering. Azlan akan menjawab dalam bahasa Inggeris.
Senah hanya memerhati. Hanya mendengar. Hanya melihat kesibukan anak dan isterinya. Kuih muih moden juga tidak berusik. Azlan membawa lima jenis kuih dari bandar. Hanya anak-anak kecil yang menjamah kuih-muih itu. Warna berbeza, bentuk juga berlainan namun entah mengapa rasanya tetap sama.
Senah gembira bukan kepalang apabila Azlan menghabiskan waktu kerjanya dengan kuih tradisi buatannya. Azlan sukakan kuih jala dan cincin. Isterinya juga demikian. Malahan kuih sapit yang berbentuk kon menjadi pilihan Hussin dan Hassan.
Hanya itu kegemaran mereka di samping lamban. Di cecah dengan rendang atau kuah sate. Sejak Azlan dan keluarganya pulang beraya, Senah tidak memasak untuk makan tengah hari atau malam. Apa lagi sarapan. Kali terakhir Senah memasak pada pertama keluarga Azlan sampai. Isteri Azlan malahan Azlan sendiri bagai terpaksa menjamah sayur pucuk manis rebus bersama kerang. Hussin dan Hassan juga demikian. Azlan juga meminta secara baik supaya ibunya tidak menyusahkan diri memasak untuk mereka. Isteri Azlan lebih awal bertenggek di dapur, bimbang Senah mendahului memasak masakan kebiasaan yang bukan pula kegemaran mereka.
Senah gembira merasai masakan isteri Azlan. Senah menjadi pembantu isteri Azlan di dapur. Senah memotong lobak, kubis bunga mahupun salad. Apabila isteri Azlan menumis lada kering untuk membuat asam masak lemak. Senah hanya terjengah-jengah kehairanan. Senah memuji masakan isteri Azlan. Pertama kali dia merasa masakan sedemikian. Isteri Azlan juga bangga.
Mulut Senah tidak berhenti bertanya itu dan ini. Senah hanya biasa memakan sayur rebus. Daun-daun dan tumbuh-tumbuhan yang boleh dimakan sekeliling rumah atau kampung ini. Segala macam kerang yang mampu dikutipnya dari hutan bakau. Atau anak ikan sepat atau korok atau sarsi di tepi parit atau paya atau sungai. Hanya itu. Hanya masakan rebus yang arif baginya. Hanya garam atau halia ataupun kunyit atau lada padi. Baginya itu sudah cukup sedap.
Setiap hari Azlan ke pekan membeli sayur dan ikan. Atau sengaja ke pekan lalu singgah ke pusat internet. Hussin dan Hassan tidak mempedulikan apa pun. Alia, Gani, wati dan Halim menjadi teman mandi sungai atau air lopak. Atau menyusup ke semak samun. Atau melastik burung dan pulang dengan muka bengkak-bengkak kesan gigitan nyamuk. Atau kaki yang berkematu. Kotor dan calar balar. Isteri Azlan hanya mampu menghambur kemarahan. Azlan juga demikian. Senah hanya diam. Itu anak-anak Azlan pasti didikan juga berbeza. Apa tahunya tentang resam anak bandar yang lebih bijak daripadanya. Hussin dan Hassan boleh bercakap bahasa Inggeris. Lebih pandai mengira daripada Senah. Apa tahu Senah mengajar anak-anak bandar begini.
Berhari-hari menerima cubitan dan hamburan kata-kata daripada Azlan. Pada pertengahan malam, Hussin dan Hassan menyusup dari bilik dan tidur bersama Senah. Senah hanya terdaya mengusap rambut kedua-dua cucunya itu. Sesekali Hussin dan Hassan bertanya itu dan ini. Senah bercerita tentang Azlan. Tentang kenakalan Azlan.
Hussin dan Hassan mendorong Senah membawa mereka menaiki perahu untuk memancing atau mencari kerang. Atau mencari buah nipah. Senah berjanji akan mencari buah nipah. Atau tidak pun berpesan kepada bapa Alia. Hussin dan Hassan masih juga menagih janji agar Senah membawa mereka. Mereka mahu merasai kehidupan lama Azlan. Berhari-hari juga mendesak Senah. Senah mengalah. Senah membawa Hussin dan Hassan mengikut bapa Alia ke sungai. Mereka membawa pancing buluh. Bapa Alia menebar rambat. Hasan dan Hussin terloncat. Mereka juga dapat merasai buah nipah.
Azlan merasa kecewa akan kekalahan Senah kepada Hussin dan Hassan. Hussin dan Hassan petah bercerita pengalaman mereka berperahu ke sungai. Senah hanya menikus. Tersenyum kerana berjaya menjadikan impian Hussin dan Hassan kenyataan. Azlan menahan geram memarahi Hussin dan Hassan. Apa lagi kulit mereka calar balar dan bengkak kemerah-merahan. Malam itu Hussin dan Hassan sukar tidur lena. Tergaru-garu. Resah sepanjang malam. Isterinya pula memarahi Azlan. Anak-anak terlalu dimanjakan. Senah juga suar tidur mendengar racau cucunya.
Lusa mereka akan ke sungai lagi. Begitu juga tulat. Azlan menjadi berang, apa lagi isterinya kekalutan. Tugas menunggu di pejabat.
“Mak kami kena balik! Banyak kerja.” Begitu susah Senah memujuk Hussin dan Hassan mengikut Azlan pulang. Isterinya sempat menyebat punggung Hussin dan Hassan
“Degil.” Hanya itu terpacul dari mulutnya. Hussin dan Hassan semalam merajuk. Sepatutnya esok Hussin dan Hassan akan mengikuti bapa Alia memancing. Segala-galanya terbatal. Hussin dan Hassan membentak dan tidur bersama Senah. Air mata Senah tidak mampu mengalir. Dia tidak harus tamak atau mementingkan diri. Dunia Azlan kini telah berubah. Azlan bukan hanya anaknya, tetapi Azlan perlu untuk keluarganya.
Setelah bersiap dan tanpa sarapan Hussin dan Hassan berjam-jam merajuk di dalam kereta. Sedikit pun tidak membantu Azlan dan isterinya memunggah barang. Senah hanya duduk di beranda menahan sakit di kakinya akibat jatuh ketika turun dari perahu. Senah memujuk hatinya dengan menyapu minyak angin dan mengurut-urut kaki. Azlan dan isterinya berselang-seli membawa turun beg pakaian dan menyumbat dalam kereta.
“Salam dengan nenek.” Gesa Azlan. Hussin dan Hassan enggan turun dari kereta.
“Biarlah. Elok jalan sekarang, nanti lewat sampai.” Saranan Senah dengan rawan di hati.
“Ampunkan Lan dan anak-anak mak. Sebulan dua Lan akan balik.” Senah hanya mengangguk. Azlan dan keluarga meninggalkan Senah. Kosong. Hussin dan Hassan sedikit pun tidak melambai apa lagi menoleh. Hanya Azlan dan isterinya melambai-lambai.
Senah menarik nafas panjang. Kaki terasa amat sakit. Lembam. Sebentar lagi mak Alia akan berkunjung dan mengurut kakinya. Senah akan keseorangan seperti sebelum Syawal lagi.
Deruman enjin kereta membunuh laranya. Pantas jua Senah berdiri. Tegak. Nafasnya terhenti. Kakinya terpateri di lantai. Kereta MPV itu berhenti. Pintu terbuka. Hussin dan Hassan melompat keluar. Mata Senah tidak berkelip. Peluhnya terhenti mengalir. Azlan dan isterinya keluar dengan kecewa.
“Kenapa?” Senah gagap. Hussin dan Hassan tidak menunggu penjelasan siapa pun. Mereka meluru naik ke dalam rumah. Memeluk dan mencium Senah seolah-olah baru tiba. Rumah papan ini bergegar. Pintu bilik terkuak kasar. Almari terbuka. Hussin dan Hassan segera menyalin pakaian. Kemudian berlari keluar. Melompat dari beranda. Azlan dan isterinya tidak pula melarang apa lagi terjerit-jerit menghalang. Hussin dan Hassan berlari menuju ke rumah Alia. Senah juga tidak terkata apa. Azlan yang perlu menjawab.
“Barang tinggalkah?” Senah masih juga terpacak. Setahunya isteri Azlan amat teliti. Tidak ada sehelai pakaian atau seluar dalam yang akan tersorok. Apa lagi kertas atau buku yang datang bersama mereka. Tidak ada. Senah telah memeriksanya sebelum mereka berangkat lima jam lalu. Dia tidak mahu menyusahkan Azlan sehingga terpaksa patah balik. Bagi Senah jika apa juga yang tertinggal jangan sekali-skala berpatah balik. Itu alamat yang tidak baik.
Namun duganya meleset. Azlan memunggah keluar beg pakaian. Isterinya kepayahan mengangkat beg hitam berisi komputer riba.
“Jambatan runtuh. Dua tiga hari baru siap.” Balas isterinya yang jarang berkata-kata, apalagi ketika menahan kemarahan.
“Tinggalkan saja kereta di sini.”
“Alang-alang. Cuti pun masih ada.” Azlan tersenyum. Senah lagi girang. Isteri Azlan memeluknya. Syawal rupanya belum berakhir.
Oleh Faridah Abd Hamid
Glosari:
* Kuih Jala: Kuih Keras
* Kuih Cincin: Berbentuk bulat dan terdapat 6 atau 8 cincin (lubang)
* Kuih Sapit: Kuih Sepit
* Lamban: Nasi pulut yang dibalut dengan pucuk daun kelapa atau daun palas.
* Ikan Korok: Ikan Puyu
* Ikan Sarsi: Ikan Talapia
Profil:
FARIDAH Abd Hamid berasal dari Papar, Sabah. Mula berkarya sejak penghujung 2005 dalam genre cerpen. Karya bercirikan realisme kehidupan masyarakat pertengahan. Penerima Hadiah Sastera Sabah 2006/07 menerusi dua cerpennya berlatar belakang masyarakat Sabah.
Cerpen Kreatif - Syawal Belum Berakhir
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment