Tangisan tanpa suara ketika mencurahkan rasa duka dan kecewanya, penulis novel remaja tersohor, Ahadiat Akashah seperti cuba untuk menahan air mata daripada megalir di pipinya pada pertemuan Rabu lalu. Lelaki itu tidak terdaya lagi untuk menyimpan rasa hampa pada nasib yang disuratkan oleh-Nya sepanjang menceburi bidang penulisan sejak 25 tahun lalu.
Tempoh yang menyebabkan dirinya diselubungi rasa cemburu, iri hati, hasad dengki dan amarah oleh orang di sekelilingnya yang sengaja mengambil kesempatan atas apa dimilikinya. Dia juga dihimpit dengan pelbagai permasalahan yang bertimpa-timpa yang menyebabkannya tersungkur setelah meniti populariti.
Satu demi satu bebanan menimpa anak kelahiran Gombak, Selangor ini selepas dikenali menerusi novel remaja popular sekitar tahun 1995, Budak Setan. Ya, di situ bermula titik hitam dalam hidup Ahadiat yang mengubah segala-galanya.
Ahadiat dikenali kerana hasil tangan kreatif yang melayakkannya dilimpahi kekayaan selepas kejayaan novel berkenaan. Namanya dipuja dan karya agungnya diiktiraf bukan sahaja kepada golongan pembaca novel tegar, malahan kaum Adam meliputi mat rock dan mat kutu turut mendokong setiap watak yang diketengahkan.
Permulaan mengejut yang menyerukan itu ternyata tidak lama. Dia kemudiannya diduga dengan pelbagai pengalaman pahit - jatuh bankrap, perceraian, tuntutan nafkah anak di mahkamah, ditipu rakan baik dan diserang penyakit gout disebabkan tekanan tersebut.
''Semuanya bermula selepas menceburi bidang penulis novel pada 1985 saya ditimpa satu demi satu dugaan. Saya percaya pada qada dan qadar dan percaya dengan kata ibu bahawa segala kekayaan adalah daki dunia. Saya jadikan kata azimat itu sebagai pendinding dan tidak mahu menoleh ke belakang lagi,'' katanya dalam nada guram.
Demi Tuhan, Ahadiat tidak pernah meminta Ilahi untuk dianugerahkan bakat atau kemampuan untuk menghasilkan sebuah novel remaja yang terbaik. Ahadiat cuma bernasib baik apabila perjudiannya dalam mempertaruhkan masa depan dengan menjadi penulis profesional menjadi.
Graduan aliran Komputer Perniagaan dari City and Guilds of London Institute, United Kingdom ini sekadar mencuba nasib selepas membaca karya manuskrip yang diterbitkan tidak menepati tema jiwa remaja.
Lontaran tidak berpuas hati itu diajukan kepada pakciknya yang juga merupakan penulis tersohor, Marwilis Haji Yusuf. Lelaki itu yang mencabar Ahadiat untuk melahirkan novel pertama berjudul Antara Simpati dan Sayang yang belum pernah diterbitkan oleh mana-mana pihak.
Ahadiat melakukan apa sahaja untuk berjaya pada hari ini. Dia pernah dihentak dan dimaki oleh bapa saudaranya itu kerana hasil manuskrip yang dihasilkan tidak menarik dan kurang difahami. Jika hendak dibandingkan ilmu penulisan Ahadiat yang berusia 20 tahun itu tentulah antara langit dan bumi. Sebab itu, dia memilih genre percintaan remaja sebagai permulaan kerana lebih dekat dengan dirinya.
Masa yang beredar terlalu pantas menyebabkan dia tidak menyedari bahawa kekayaan yang dikumpul hasil keuntungan mendadak hasil jualan novel yang berada di pasaran sejak 1985 mengundang rasa cemburu di kalangan rakan-rakan terdekat.
Kenapa muflis?Dek kerana bermegah dengan kereta mewah yang sering bertukar-ganti saban kali bagi memenuhi tuntutan minatnya sejak muda lagi, menjadikan Ahadiat sebagai mangsa. Dia dipergunakan dalam satu konspirasi pindah milik kereta oleh kawannya yang berkemungkinan mahu menjatuhkannya.
Banyak andaian boleh ditafsirkan untuk rancangan jahat sahabatnya itu. Ahadiat percaya satu perkara sahaja niat lelaki itu iaitu mahu melihatnya duduk menyembah bumi. Mungkin juga Ahadiat sudah lama mendongak langit dan perlu disedarkan dengan satu perkara yang dasyat bagi memberi pengajaran.
''Saya sangat naif ketika itu. Disebabkan terlalu mempercayainya, saya tidak pernah mengambil tahu tentang pembayaran kereta itu sehingga saya diberi surat oleh pihak bank setahun kemudian. Sedangkan prosedur sepatutnya, saya perlu diberi notis setiap bulan tentang jumlah tunggakkan bayaran yang belum dijelaskan. Lebih malang lagi, kereta itu tiada di Malaysia dipercayai telah dibawa ke Thailand, kawan saya itu pula tak bertindak apa-apa langsung. Dia hanya tersenyum dari jauh melihat kekusutan yang dialami saya.
''Bila perkara itu diajukan kepada pihak bank, jawapannya sangat menyedihkan. Mereka hanya memberi kata dua sama ada jelaskan tunggakan itu atau membawa kes itu ke mahkamah. Saya tidak punya pilihan melainkan merelakan kes itu dibawa ke pihak pengadilan sebab ketika itu, mana saya ada RM100,000 dalam bank. Selepas kes itu dibawa ke mahkamah, pelbagai perasaan ada. Malu, segan tak usahlah nak diceritakan. Bagaikan dihempuk sebatang kayu, barulah saya sedar siapa kawan dan siapa lawan,'' ujarnya ketika mengimbas peristiwa hitam 1998.
Sememangnya Ahadiat tidak berpuas hati dengan 'orang-orang' yang menyebabkan dia terduduk sedemikian. Kesalahan itu bukan berpunca daripadanya dan sepatutnya boleh diselesaikan dengan cara baik.
Natijahnya, semua harta Ahadiat dibekukan dan dia tidak dibenarkan keluar negara. Dia kembali kepada kehidupan asal iaitu serba serbi sederhana, tiada lagi kereta mewah dan menjual semua aset berharga seperti rumah kepada sesiapa yang berminat dengan harga murah.
Ahadiat meninggalkan semua kemewahan yang terbentang di mata selama ini. Semua aset yang dibeli hasil titik peluh sendiri tidak dipedulikan. Semua keindahan sementara diperolehinya tidak perlu dikenang kerana ia sudah pun berlalu..
Menyandang status muflis bagaikan mimpi buruk buat dirinya. Semua aktiviti kebiasaan semasa 'kaya' dahulu terpaksa dihadkan bagi mengelakkan pembaziran.
Banyak perut yang perlu diisi untuk hidup. Dengan sedikit wang yang ada dalam poket seluar ketika itu, dia gunakan untuk belanja rumah. Kalau sudah kering, dia 'rujuk' masalahnya itu kepada ibunya yang tinggal di kawasan Gombak, Selangor.
Kes mahkamahSatu lagi perkara besar yang memeningkan fikiran novelis itu sampai ke hari ini adalah berkaitan kes tuntutan nafkah anak tunggalnya, Aishah Akashah, 14, bersama bekas isterinya, Shahilah Mat Nazir. Ahadiat berdepan dengan tekanan apabila masih ada yang memandang serong terhadap kemewahan yang dimiliki.
Peminat motor berkuasa besar ini tidak malu untuk mengakui bahawa rumah yang didudukinya sekarang dimiliki atas jerit perih isterinya sekarang, Norhayati Mohd. Fauzi. Wanita itu yang bekerja keras dan bertungkus lumus memastikan keperluan ketiga-tiga anak mereka iaitu Athirah Akashah, 9, Anisah Akashah, 8, dan Adam Adiat Akashah, 6, terurus. Tidak dilupakan juga penjagaan Aishah Akashah. Segala makan pakai diberikan secukupnya dan wang kocek tidak pernah putus serta diberikan sama rata dengan darah daging yang lain.
''Saya bukan seorang bapa yang tidak bertanggungjawab walaupun sudah diisytiharkan muflis. Anak-anak adalah aset paling tidak ternilai buat saya dan Norhayati. Ia bukan seperti gambaran diberikan oleh mana-mana pihak mengatakan saya lelaki dayus yang tidak berguna.
''Cukup-cukuplah cemuhan dan cercaan terhadap kami sekeluarga. Tak payah sibuk bercerita tentang hal rumah tangga saya dan kredibiliti saya sebagai ketua keluarga. Saya sekarang cukup bahagia dan bersyukur atas apa sahaja rezeki yang diberikan. Masih diberikan kesempatan untuk menumpahkan kasih sayang terhadap isteri dan anak-anak,'' tegasnya.
Kesemua peristiwa yang berlaku umpama tompokan hitam dalam hati kerana melibatkan maruah dan nama baik sendiri. Kejantanan Ahadiat juga turut terusik apabila orang menaburkan fitnah yang bukan-bukan. Perkataan kurang menyenangkan digunakan di kalangan pemilik blog yang tidak berpuas hati dengan kebangkitan semula Ahadiat.
Secara jujur, dia reda kehilangan harta benda tetapi tidak boleh menerima sebarang bentuk penghinaan melibatkan keluarganya. Itu merupakan satu tindakan kurang ajar yang menguji kesabarannya setiap kali membaca cerita kurang baik di alam maya.
Kredibiliti Ahadiat sebagai penulis juga dipertikaikan dan kesemua sumbangannya untuk anak bangsa sendiri turut diperlekehkan. Contohnya penglibatan Ahadiat dalam Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu (Komsas) pada 2007 menjadi buah mulut sehingga sekarang. Sekali lagi Ahadiat dihujani perkataan lucah di merata laman web yang menyerang peribadi dan meludah kisah hidupnya.
'Dikencing sekali lagi'
Ahadiat ditampar buat kali kedua apabila ditipu buat kali kedua pada 2007. Kali ini diperdaya melibatkan wang royalti novel yang dikutip tanpa pengetahuannya. Setelah kawan baiknya itu menyatakan persetujuan untuk bekerjasama menubuhkan syarikat penerbitan Norhayati, Roket Kertas Sdn. Bhd.
Nasi sudah menjadi bubur. Dia hanya menyedari kekhilafan sahabatnya itu selepas mendapati tiada aliran masuk wang bayaran royalti novel. Getus hatinya, mengapalah kawannya itu tidak berterus terang sahaja. Nyatakan apa masalahnya 'siang-siang' dan tidak menyusahkan mereka sekeluarga.
''Dia hanya berkata dia berdepan dengan masalah kewangan. Yang saya hairan, kenapa sanggup dia gunakan duit itu tanpa pengetahuan saya. Sedar-sedar RM300,000 lenyap. Itu namanya cubaan untuk membunuh kami sekeluarga secara perlahan.
''Keadaan bertambah rumit apabila dia turut mempunyai kes dengan bank. Macam mana dia mahu membayar semula duit kami dan akhirnya, saya terpaksa mencari resolusi lain. Jalan terakhirnya adalah menggunakan kad kredit Nurhayati selama dua tahun. Jumlahnya ketika itu menghampiri RM100,000. Nurhayati yang bertindak sebagai penyelamat sekali lagi,'' katanya.
Mereka menyembunyikan keperitan kewangan daripada pengetahuan anak-anak. Mereka tidak layak untuk dikhabarkan tentang kesusahan yang ada. Biarlah kepayahan itu ditanggung mereka suami isteri.
Macam mahu matiAhadiat tidak malu mengatakan bahawa dia menerima tekanan maha hebat itu diatas kejadian malang yang menimpanya tidak henti-henti. Klimaksnya ada pada Januari 2009. Dia terlantar selama dua minggu di Wad Ortopedik, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana serangan gout yang kritikal . Semua sendinya membengkak dan membenjol bewarna kemerah-merahan.
Sakitnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Bagaikan dicucuk dengan belati tajam. Tanpa disedari penyakit itu mengurangkan seri di wajah dan berat badan Ahadiat sebanyak 20 kilogram. Kesannya, dia tidak boleh berjalan waima berdiri dan menggunakan bantuan kerusi roda. Malah, Ahadiat sendiri tidak mampu untuk memegang botol air kencingnya sendiri dek tiada kudrat dan kesakitan yang melampau itu.
Semua urusan berkenaan dilakukan sendiri oleh Norhayati. Wajah suram isterinya itu juga kerap menemani sepanjang rawatan susulan di hospital berkenaan.
"Isteri saya tidak tahan dengan pandangan serong penghuni HUKM yang macam-macam. Ada yang mencebik bibir dan meluat melihat kelibat kami. Tetapi kami terpaksa berdepan dengan situasi itu sehingga persepsi itu bertukar selepas kami menjalinkan ikatan persahabatan secara tidak langsung dengan mereka tidak lama kemudian," katanya dalam nada sebak yang cuba ditahan.
Setelah melalui pelbagai episod getir, hanya satu yang dimahukan oleh Ahadiat yang dipinta pada akhir bicara dengan Pancaindera. Dia mahu masyarakat berlaku adil kepada dirinya dan tidak mudah menjatuh hukuman sehingga langsung menafikan sekelumit hal positif yang telah dilakukan sebelum ini.
Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
0 Komen:
Post a Comment