3 bulan persediaan sebelum berada dalam dunia sebenar pengacaraan yang dilalui lima finalis program bakat pengacaraan Top Host 2010, bakal berakhir esok. Siapa yang bakal bergelar juara mengikut jejak langkah Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain dan berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 akan diketahui menerusi rancangan yang bakal dipancarkan secara langsung dari Sri Pentas, TV3, jam 9 malam.
Nampak berkeyakinan tinggi, lima finalis Top Host 2010 yang berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini memberitahu mereka kini sedang mempersiapkan diri dengan memperbanyakkan lagi bacaan bagai menambah ilmu pengetahuan.
Ketika sesi fotografi berlangsung, nama Fadhil Mohd Isa, 25, disebut-sebut memberi cabaran yang kuat kepada empat lagi finalis iaitu Za’im Helmi Zaini, 24; Nur Liyana Adnan, 23; Nabihah Mohd Rosdi, 23 dan Syazwani Diyana Mohd Isa, 24.
Bagaimanapun, perkara itu tidak mematahkan semangat peserta lain kerana mereka menyandarkan satu lagi harapan kepada tugasan terakhir yang akan diberikan Rabu ini, sebelum mengetahui siapa yang akan bergelar Top Host 2010.
Seandainya tewas sekalipun, mereka tidak terkilan kerana peluang keemasan diberikan TV3 memberikan seribu pengalaman yang sukar dikutip di mana-mana. Malah ada yang pernah menimba pengalaman kerja di stesen lain mengakui, terlalu banyak ilmu yang dititip dalam tempoh tiga bulan berbanding pengalaman kerja bertahun-tahun sebelum ini.
Peserta yang pernah dua kali diangkat sebagai peserta terbaik solo dan berkumpulan, Nabihah Mohd Rosdi antara yang menganggap Fadhil sebagai pencabar terkuat pertandingan ini berkata, sejak tiga bulan dalam program ini, dia mula mengesan kelemahan dan kekuatan yang dimiliki. Bagaimanapun ketika ini perasaan gementar paling banyak menguasai dirinya.
“Keyakinan diri sudah mula menebal dalam diri saya sejak menyertai Top Host 2010 kerana dulu saya tidak mendapat banyak pendedahan. Bagaimanapun sekarang ini perasaan gementar lebih banyak saya rasakan. Sebagai persediaan, saya akan memperbanyakkan membaca surat khabar untuk mengikuti perkembangan isu semasa supaya otak tak kosong.
“Walaupun sepanjang hampir tiga bulan banyak cabaran yang sudah saya lalui tetapi di peringkat akhir nanti perasaannya mungkin tak sama. Setakat ini tugasan yang paling memberi cabaran kepada saya ketika kami diminta membuat tugasan program Apa Apa Aje.
“Saya bersyukur kerana berjaya melangkah ke peringkat akhir. Biarpun persaingannya sengit dan setiap peserta mempunyai kekuatan masing-masing, saya akan berusaha juga untuk buat yang terbaik pada malam final nanti,” kata penuntut dalam bidang Ijazah Bahasa Inggeris, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, itu.
Masih lagi sedang menyesuaikan diri dalam dunia pengacaraan, pemuda berasal dari Shah Alam, Za’im Helmi Zaini mengakui dia masih perlu banyak belajar dan bercakap untuk menjadi seorang pengacara.
“Cita-cita saya mahu bergelar pengacara dan pensyarah. Jika ada rezeki untuk menjadi pengacara, saya tidak akan mempersia-siakan peluang itu. Sejak menyertai Top Host 2010 percakapan saya lebih jelas dan saya mula mengesan banyak perubahan dalam diri.
“Tetapi ada juga beberapa perkara lagi yang perlu saya perbaiki kerana Ally Iskandar menasihati saya supaya lebih banyak bercakap. Selain itu dia juga menasihati saya supaya lebih banyak memberi respon dan mengukuhkan lagi topik yang dibincangkan.
“Sebelum ini juga saya sering menyangka kerja di syarikat televisyen mudah, rupa-rupanya tugas seorang pengacara itu tidak semudah disangka. Sempena peringkat akhir nanti, saya akan memastikan diri saya sentiasa peka dengan isu semasa,” katanya yang menuntut dalam bidang Pengurusan Perhotelan dan Pelancongan di Kolej Taylors.
Selesa kerja di depan kamera
MEMILIKI rupa paras menawan mungkin memberi sedikit kelebihan kepada peserta bernama Nur Liyana Adnan. Dia dilihat mempunyai peluang cerah untuk kerana kecantikan dimiliki, bagaimanapun gadis yang menuntut di Universiti Tun Abdul Razak itu tidak berasakan sedemikian.
Katanya, pengetahuan dan kebolehan bercakap masih lagi menjadi keutamaan sekiranya seseorang itu mahu menjadi pengacara yang baik. Nur Liyana yang pernah bergelar ketua kumpulan ketika tugasan Teater Seri Mersing berkata, dia lebih minat bekerja di depan kamera kerana lebih mudah berbanding di belakang tabir yang perlu mempelajari banyak sudut teknikal.
“Dihentam teruk ketika menjadi ketua kumpulan untuk tugasan teater Seri Mersing menyebabkan saya tertekan dan saya tidak berapa minat kerja di belakang tabir. Secara jujur saya memang lebih selesa bekerja di depan kamera.
“Jika bercakap mengenai peringkat akhir pula, saya juga sama seperti peserta yang lain gementar menantikan hari penentu nanti. Saya gementar memikirkan apakah tugasan akhir yang akan diberikan kepada kami semua nanti,” katanya.
Peserta dari Sarawak, Fadhil Mohd Isa yang disebut-sebut peserta lain sebagai pencabar paling kuat di dalam program itu pula berkata, dia turut tertekan kerana harapan tinggi daripada rakan. Fadhil yang berminat menjadi pengacara untuk program hiburan seperti Mentor berkata, pengalaman lebih setahun sebagai pembaca berita untuk sebuah stesen televisyen tidak boleh dibanggakan berbanding tiga bulan bersama Top Host 2010.
Dia yang pernah mencuba pelbagai lapangan kerja termasuk bekerja di kilang, pusat beli belah dan panggung wayang amat mengagumi Afdlin Shauki kerana kebolehan pelakon itu menulis skrip dan mengacarakan program hiburan secara langsung. Sebagai permulaan, Fadhil pernah meminjamkan suaranya untuk suara latar Anugerah Industri Muzik (AIM) baru-baru ini.
“Saya berasa sedikit tertekan apabila rakan-rakan memberitahu saya menjadi saingan terdekat mereka. Bagi saya banyak lagi benda yang harus saya pelajari. Pada saya setiap orang yang berada di sini ada kelebihan masing-masing.
“Setiap orang pastinya mempunyai keinginan untuk menang tetapi seandainya gagal, saya reda. Saya percaya di luar sana pasti terselit peluang.
Bagaimanapun saya memang berasa sangat beruntung kerana pengalaman tiga bulan yang saya timba terlalu banyak berbanding pengalaman sebagai pembaca berita dulu.
“Saya meminati bidang hiburan dan berharap dapat mengendalikan program seperti Mentor kerana saya dapat berinteraksi dengan penonton secara langsung. Apa yang boleh saya lakukan sekarang hanyalah berusaha lakukan yang terbaik, kerana saya percaya tuhan pasti mempunyai rancangan yang lebih baik untuk kita,” katanya.
Syazwani Diyana Mohd Isa yang pernah menimba pengalaman kerja di sebuah stesen televisyen satelit pula mengakui menaruh harapan yang tinggi untuk bekerja di bawah bumbung Media Prima Berhad (MPB). Katanya pengalaman kerja di stesen televisyen satelit dan MPB amat berbeza sekali kerana mereka yang bekerja di MPB perlu menjadi pekerja yang serba boleh.
Dia yang mendapat pujian kerana mengendalikan slot di dalam Malaysia Hari Ini (MHI) dengan baik berkata, pujian yang diberikan itu tidak akan melalaikan. Sebaliknya dia menjadi pujian itu sebagai tiupan semangat.
“Bila orang mengatakan saya bagus, saya memang bersyukur tetapi saya tidak boleh berbangga diri dengan pujian itu kerana banyak lagi yang saya perlu perbaiki. Jika diberi peluang bekerja di MPB, saya ingin mengendalikan program serius seperti Majalah 3 dan MHI kerana ia sesuai dengan jiwa saya,” katanya.
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
0 Komen:
Post a Comment