Suatu ketika dulu penduduk Sabah memproses padi yang ditanam mereka menjadi beras menggunakan peralatan tradisional dan merayakan pesta menuai `Kaamatan' secara besar-besaran untuk memuja semangat padi.
Penduduk tempatan begitu inovatif dan menggunakan peralatan tradisional seperti penumbuk dan lesung, pengisar padi malah pembajak dan alat tuai untuk menuai padi.
Tetapi arus pemodenan mengubah semua ini dan sejak tahun 1980-an semua peralatan tradisional itu hanya menjadi perhiasan atau dipaparkan di muzium, di mana penggunaannya hanya sebagai aktiviti demonstrasi kepada para pengunjung.
Ketika Pesta Kaamatan yang dirayakan secara besar-besaran di seluruh negeri sepanjang Mei setiap tahun, generasi muda mungkin ramai yang tidak tahu signifikannya perayaan ini.
Ini kerana proses rutin menghasilkan beras secara tradisional dahulu sudah ditelan dengan teknologi moden yang digunakan.
LEGASI YANG BERUBAH
Menurut pengurus operasi Kampung Kebudayaan Monsopiad Awad Bajarai, walaupun ramai golongan muda yang tidak tahu, tetapi ada yang menunjukkan minat untuk mempelajari proses penuaian padi dan penghasilan beras secara tradisional di negeri ini.
"Kebanyakan generasi pada zaman sekarang juga masih berminat untuk mencuba seperti menumbuk padi dan mengisar padi, kerana ibu bapa mereka telah beritahu mereka bagaimana menanam dan memproses padi ini sampai menjadi beras pada zaman dulunya.
"Budaya ini lenyap oleh kerana kita menuju ke zaman moden, dan ini begitu ketara pada tahun 80-an di mana kebanyakan alat proses padi ini tidak digunakan lagi. Oleh kerana itu, di sini kami masih menyimpan alat-alat ini supaya orang ramai atau generasi muda masih boleh dapat melihat alat-alat ini," jelas beliau.
Kampung Kebudayaan Monsopiad yang terletak di Kampung Kuai Kandazon, Penampang merupakan antara tempat di mana demonstrasi penggunaan alat tradisional dan pemprosesan padi masih lagi dilakukan kepada para pengunjung, sebagai usaha memulihara budaya komuniti Bumiputera Sabah.
AMALAN TRADISIONAL NENEK MOYANG
Dahulu penduduk tempatan akan mengambil padi dari 'tangkob' - tempat penyimpanan padi yang diperbuat daripada kulit kayu, bambu dan rotan - dan diletakkan di 'tosung' (tempat menumbuk padi) yang diperbuat daripada kayu, untuk ditumbuk menggunakan penumbuk yang juga daripada kayu untuk memisahkan kulit padi daripada isinya.
"Saiz tangkob cukup besar untuk kegunaan satu keluarga, di mana hasil padi setiap dua kali setahun akan diisi di dalam tangkob (tempat menyimpan padi yang sudah dituai).
"Selalu padi diambil dari tangkob, dijemur untuk dikeringkan dan sebelah petang akan ditumbuk menggunakan tosung," jelas Awad.
Ini amalan menumbuk padi menjadi beras sehingga tahun 80-an, apabila orang kampung mula menghantar padi ke kilang untuk diproses menjadi beras bagi menyenangkan kerja mereka.
Namun perubahan dalam proses penghasilan beras bukan saja dipengaruhi teknologi moden, tetapi masyarakat luar yang datang menetap di Sabah juga mempengaruhi cara bagaimana padi diproses.
Awad memberi contoh ketika dulu komuniti Sabah menggunakan 'kohintung' untuk membersihkan beras daripada habuk padi, tetapi penduduk di kawasan pantai barat Sabah lama-kelamaan belajar menggunakan alat yang diperkenal oleh masyarakat Cina iaitu 'kikizapan', yang kelihatan seperti mesin antik.
"Beras dimasukkan ke dalam kikizapan yang diperbuat daripada kayu, yang mempunyai kipas kayu diputar menggunakan tangan dan boleh meniup keluar habuk padi untuk memisahkan beras yang putih bersih.
"Ia adalah mesin memproses beras yang pertama diperkenal oleh masyarakat Cina," katanya.
Satu lagi alat yang mempunyai pengaruh masyarakat Cina ialah `guguzungan', iaitu alat untuk mengisar beras menjadi tepung.
"Dahulu komuniti di Sabah hanya memakan nasi. Apabila komuniti dari China mula menetap di sini, mereka mula memperkenal alat itu untuk membuat kuih dan menyediakan makanan lain yang berasaskan beras," jelasnya.
TIDAK MEMPUNYAI RELEVAN, HANYA SIMBOLIK
Malangnya hari ini, kesemua alat ini hanya tinggal tradisi simbolik dan tidak relevan untuk diteruskan untuk kegunaan zaman sekarang.
Awad sendiri mengaku pada tahun 1999 pernah mencuba bersama orang kampung di situ, untuk menghidupkan semula amalan tradisional membajak padi menggunakan kerbau dan peralatan tradisional, namun ia ternyata susah untuk dilakukan.
"Sekarang alat seperti tosung dan guguzungan tidak digunakan lagi, saya kira ini cuma satu simbolik bagi setiap sambutan Pesta Kaamatan. Memang sekarang kami tidak makan beras dari 'tangkob', atau yang kami tumbuk sendiri.
"Budaya ini sudah lenyap dan pupus tetapi untuk memastikan alatan dan amalan tradisional ini tidak dilupai, sebab itulah demonstrasi simbolik diadakan setiap kali menyambut Pesta Kaamatan," tambah beliau.
Pesta Kaamatan atau nama lain iaitu (Tadau Kaamatan) atau di dalam bahasa Kadazan "Magavau" merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati "Bambazon" iaitu semangat padi.
Acara kemuncak perayaan Pesta Kaamatan diadakan pada 30 dan 31 Mei setiap tahun. Dalam perayaan ini, pelbagai acara menarik dan budaya kaum Kadazandusun ditonjolkan.
Antara yang biasa menjadi tarikan ialah "Unduk Ngadau" (Ratu Cantik) Kaamatan yang mempamerkan pakaian tradisi mengikut etnik.
Tahun ini, upacara penutupan rasmi perayaan Pesta Kaamatan akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Ahmadshah Abdullah pada 31 Mei.
-- BERNAMA
Oleh Kristy Inus
Amalan Tradisional Proses Padi Hanya Tinggal Kenangan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment