Dua bilion sehari tonton YouTube

Tuesday, May 18, 2010

YouTube semalam menyatakan jumlah pengunjung laman web video itu setiap hari sudah melepasi angka dua bilion ketika ia mula menyambut ulang tahun kelimanya.

"Terima kasih kepada anda, laman web kami mencatat satu lagi rekod baru dengan melebihi dua bilion pengguna sehari.

"Ia hampir dua kali lebih banyak jumlah penonton di tiga rangkaian utama televisyen Amerika Syarikat (AS) yang digabungkan," demikian menurut ulasan anggota pasukan YouTube dalam blog laman web itu.

Berita itu dilaporkan ketika pelancaran YouTube 5 Year Channel yang memberi penghargaan kepada sejarah dan pengaruh budaya yang dibawa laman web video ini.

Saluran YouTube 5 Year turut merangkumi projek My YouTube Story yang menghimpunkan kisah pengguna di seluruh dunia tentang bagaimana ia mengubah atau membentuk kehidupan.

Seorang pembuat filem dokumentari juga menggabungkan beberapa cerita dari penunjuk perasaan Iran menggunakan YouTube untuk menyebarkan berita ke seluruh dunia hinggalah seorang lelaki yang berkongsi video mengenai jurnal pergelutan untuk melawan kanser yang dihidapinya.

Saluran itu juga turut dilengkapi garis masa interaktif mengenai saat-saat penting sejarah YouTube.

"Kami tidak dapat meramalkan apa yang berlaku dalam lima tahun pertama YouTube dan sukar untuk membayangkan keadaannya lima tahun dari sekarang.

"Pada Mei lima tahun lalu, selepas berbulan-bulan persediaan, ujian sehingga larut malam, pengasas YouTube melancarkan versi beta YouTube.com," kata pasukan YouTube lagi.

YouTube yang beribu pejabat di San Bruno, California, diilhamkan oleh pekerja PayPal, Chad Hurley, Steve Chen dan Jawed Karim.

Google membeli YouTube dalam perjanjian bernilai AS$1.65 bilion (RM5.33 bilion) kira-kira 19 bulan selepas perkhidmatan perkongsian video itu diasaskan pada Februari 2005, sebelum ia ditukarkan menjadi tempat menjana pendapatan melalui video belakang rumah hinggalah filem bebas. - AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI