Biografi Tun H.S.Lee

Tuesday, May 18, 2010

Sepanjang hayatnya, Tun H.S.Lee menyimpan setiap cebisan kecil kertas dengan teratur.


Seperti yang diperkatakan anak sulung mendiang, Douglas: "Bapa kami ialah seorang penyorok. Dia tidak pernah membuang apa-apa dan melihat semua benda berharga waima resit letak kereta bernilai 20 sen.

Tun Lee, salah seorang pengasas MCA dan Parti Perikatan, hidup pada waktu yang penting. Apa yang mengejutkan ialah dia tidak menulis autobiografinya.

Seorang anak lelaki, Thomas menambah: "Kami menawarkan untuk mendapatkan khidmat penulis selain merakamkan perbualan serta memori. Dia tidak memberikan sebarang sebab tetapi dia tidak akan berbuat demikian".

Bagaimanapun, ini tidak bermakna semua maklumat hilang begitu sahaja. Sekarang, 22 tahun selepas kematiannya, 180,000 kertas persendirian berkaitan Tun Lee boleh diperolehi untuk tatapan umum.

Anak-anaknya, Datuk Douglas Lee, 87, dan Datuk Thomas Lee, 72, menyerahkan kertas tersebut pada Institut Kajian Asia Tenggara (Iseas) di Singapura pada 5 Mei. Anak ketiga, George, tidak dapat hadir ke majlis tersebut.

Berikutan pendermaan tersebut, Douglas berkata, satu bebanan dapat diasingkan dari bahu mereka kerana mereka tidak tahu bagaimana untuk menguruskan koleksi besar bapa mereka.

Koleksi tersebut disimpan dalam lebih 140 kotak di bilik stor rumahnya di Kuala Lumpur.Satu perjumpaan pada 2003 menggerakkan satu siri peristiwa sehingga kertas itu disimpan di Iseas.

Ahli sejarah, Dr Lee Kam Hing masih ingat bagaimana dia mengingatkan Douglas jangan sesekali membuang dokumen yang kurang penting seperti bil dan resit.
Tun H.S. Lee (kiri) bersama Tun Tan Siew Sin yang menggantikannya sebagai Menteri Kewangan pada 1959.

"Saya memberitahu ahli keluarga bahawa setiap cebisan maklumat resit dan bil adalah penting.

"Ini kerana resit dan bil dapat memberitahu kita berapakah kos kehidupan dan bagaimana kehidupan sosial ketika itu." ujarnya.

Dr Lee membantu Douglas berkomunikasi dengan pustakawan Iseas, Ch'ng Kim See yang terbang ke Malaysia untuk menasihatkan keluarga itu tentang pengindeksan dokumen.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Iseas, Prof Wang Gungwu memberitahu kemurahan keluarga Lee telah membantu pihaknya memahami satu tempoh masa yang kritikal dalam sejarah negara, dari 1945 hingga 1960.

"Kehidupan Tun H.S.Lee belum diceritakan sepenuhnya."

Satu persidangan antarabangsa tentang Lee telah dirancang diadakan pada tahun depan di Iseas.

Daripada Timah Ke Politik

Henry Lee Hau Sik dilahirkan di Hong Kong pada 1901 dan belajar di Cambridge, Britain. Di situlah beliau mengenali bakal King George VI.

Lee datang ke Malaya pada 1924 untuk mencari peluang perniagaan terutamanya perlombongan.

Masanya di Malaya adalah penuh dengan peristiwa. Beliau terlibat dalam politik Kuomintang dan aktiviti anti-Jepun. Semasa Perang Dunia Kedua, Lee melarikan diri ke India bersama keluarganya kerana pihak Jepun ingin membunuhnya.

Beliau mendapat pengiktirafan apabila dilantik sebagai kolonel dalam pasukan tentera Cina yang kemudian ditempatkan di Burma.

Beliau turut dilantik sebagai kolonel dalam pasukan tentera Britian di India semasa zaman peperangan. Beliau menjadi pengantara antara dua Pihak Berikat itu.

Lee memainkan peranan penting dalam membentuk satu pakatan pilihan raya dengan Umno pada 1952, yang kemudiannya menjadi Parti Perikatan (sekarang Barisan Nasional).

Beliau juga merupakan sebahagian daripada pasukan Perikatan yang diketuai Tunku Abdul Rahman yang terlibat dalam perundingan untuk mendapatkan kemerdekaan di London pada 1956.

Beliau adalah satu-satunya penandatanganan Cina untuk perjanjian kemerdekaan Malaya.

Lee ialah Menteri Pengangkutan dari 1953 hingga 1956 dan dilantik sebagai Menteri Kewangan pertama untuk Persekutuan Malaya pada 1957. Dua tahun kemudian, beliau meletakkan jawatan ekoran kesihatannya merosot.

Selain itu, beliau turut berperanan menubuhkan Malayan (kemudian Malaysian) Chinese Association pada 1949, dengan bantuan kumpulan perniagaan Cina dan ahli pendidikan.

Menurut Thomas, Lee juga dikenali sebagai seorang pemimpin terkenal di kalangan komuniti Guangdong dan Gaozhou.

"Saya terkejut apabila seseorang menghampiri saya dan memperkenalkan dirinya berasal dari Guangdong. Dia berkata keluarganya berasal dari Raub yang didiami banyak orang Gaozhou. Dia beritahu saya sehingga hari ini, penduduk di situ masih mengenali Lee Hau Shik."

Lee mengasaskan atau terlibat secara aktif dalam pelbagai institusi dan organisasi termasuk Bank Negara Malaysia, Hospital The Lady Templer, China Press, Majlis Olimpik Malaysia dan Persatuan Golf Malaysia.

Selepas bersara pada 1959, Lee menubuhkan Bank Pembangunan dan Komersial yang sekarang dikenali sebagai bank RHB.

Beliau meninggal dunia pada 1988 di Kuala Lumpur. Jalan Bandar yang pada mulanya dikenali High Street kemudian dinamakan semula sebagai Jalan Tun H.S. Lee untuk mengiktirafnya.

Memori Anak

Thomas mendedahkan ayahnya bermain golf sehingga kesihatan yang kurang baik menghalangnya daripada bersukan. Beliau akan menghentikan permainannya pada lubang ke-19 untuk mendapatkan minuman.

"Sehingga usia lanjut, dia masih menikmati minumannya. Dia memberitahu rahsianya adalah dengan bersilih gantikan minuman. Wiski hari ini, brandi esok."

Thomas berkata, dia dan arwah abangnya, Alex jarang berjumpa dengan bapa mereka sebelum mereka melanjutkan pelajaran di England pada 1952.

"Ayah kami tidak mempunyai masa untuk melawat kami di England. Namun, kami pernah menemuinya dua kali di London, apabila dia mewakili kerajaan mengadakan perundingan. Dia menulis surat sekali setiap bulan tetapi ia selalu berbentuk formal," Thomas mengenangkan masa lampau.

Lee ialah seorang yang gila kerja dan cerewet tentang ketepatan masa. Sebagai anak sulung dalam keluarganya, dia mendapat asuhan ketat daripada keluarganya di China.

Thomas mengingati satu insiden yang mampu menonjolkan karakter Lee. Ayahnya melaporkan diri pada pekerjaan pertamanya sebagai penjawat awam.

Bagaimanapun, beliau mendapati bosnya sedang bermain mahjong dan tidak ingin diganggu.

"Selepas ia berlarutan untuk tiga hari, ayah saya meletakkan jawatan dalam sektor awam dan mendapat pekerjaan di sebuah bank di Hong Kong," ujar Thomas.

Thomas menambah, salah satu momen paling pahit yang dialami Lee adalah kekalahannya dalam pilihan raya memilih presiden MCA Selangor.

Lee menganggap kekalahannya itu disebabkan oleh kawan-kawannya yang mengkhianatinya.

"Ayah saya bukan merupakan salah seorang ahli politik yang akan tunduk serta adaptasi diri mengikut tiupan angin. Dia tidak dapat melayani mereka yang membuat rancangan jahat terhadapnya.

"Dia ialah seorang personaliti yang bersifat sungguh berani. Dia lebih sanggup dikalahkan daripada berubah. Dia tidak akan bercakap dengan kawan-kawan yang telah membelot kepadanya," katanya.

Thomas dapat berjumpa dengan ayahnya lebih kerap selepas keluar dari politik.

Hakikatnya, Thomas berkhidmat dalam Lembaga Pengarah China Press dan Bank D&C ketika ayahnya merupakan Pengerusi.

Thomas berkongsi minat ayahnya bermain golf, dan ingat saat-saat paling manis mereka adalah ketika pertemuan semula ahli-ahli keluarga di Cameron Highlands.

"Dia ialah individu yang sangat teratur. Kami diberitahu, sarapan pagi pada pukul 7, bermain golf pada pukul 8, makan tengah hari pada pukul 1 tengah hari, minum teh pada pukul 4, koktel pada pukul 7 malam dan makan malam pada pukul 8 malam."

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI