Roh Kembali drama termahal Sheila Rusly

Wednesday, May 26, 2010

DRAMA bersiri Roh Kembali yang kini sedang disiarkan di TV3 menjadi karya paling mahal diterbitkan oleh syarikat penerbitan JS Pictures sejak ditubuhkan pada tahun 2005.

Penerbit, pengarah yang juga pemilik bersama syarikat ini, Azman Yahya atau Jinggo, berkata walaupun tidak mencecah sehingga jutaan ringgit, tetapi sejumlah besar disediakan untuk menghasilkan Roh Kembali bagi memastikan ia karya bermutu.
“Kami mahukan kualiti selepas diberi kepercayaan daripada pihak stesen TV. Untuk itu, tak salah kita melabur sikit. Disebabkan kos yang tinggi, drama ini tidak menggunakan pelakon yang terlalu ramai,” katanya.

Jinggo berkata, penghasilan drama Roh Kembali disifatkan amat mencabar dari aspek pembikinan, pemahaman dan perjalanan ceritanya.

“Cerita ini daripada idea asal penulis skrip. Ia berpandukan al-Quran dan sunnah. Dalam drama ini hantu tidak ditonjolkan secara keseluruhan. Cukuplah sekadar diberi bayangan sedikit daripada renungan mata atau muka.

“Drama ini memaparkan sikap sesetengah manusia yang Islam pada nama. Ia membongkar apa beza syaitan, hantu, roh dan qarin,” katanya.

Sementara itu, Sheila Rusly yang menjadi penerbit bersama menjelaskan, penerbitan Roh Kembali ini juga sebagai menepis tanggapan masyarakat yang takutkan slot Seram ini sejak ia mula disiarkan.

“Kita menggunakan empat penulis skrip yang membuat penyelidikan supaya apa yang dipersembahkan tidak bercanggah dengan apa saja aspek yang berkaitan dengan Islam,” katanya.

Sheila juga sudah lali dengan tanggapan sesetengah pihak bahawa dia kerap membintangi karya produksi terbitan syarikatnya sendiri.

“Saya jadikan semuanya sebagai kekuatan untuk terus bersaing secara positif. Bagi saya berlakon ini juga seperti ibadat jika kena pada gaya dan niatnya,” ungkap Sheila selepas pelancaran drama Roh Kembali yang mengisi slot Seram di Sri Pentas, baru-baru ini.

Menurut Sheila yang mula yang mula berlakon sejak usia 15 tahun menerusi filem Hantu Siang, keputusan untuk berlakon dalam syarikat produksinya sendiri dibuat pada tahun 2007 iaitu selepas mengerjakan haji.

“Selepas mengerjakan haji saya terus bertudung. Ada tawaran berlakon dari syarikat produksi lain tetapi memerlukan saya buka tudung. Saya tolak permintaan itu. Kalau saya mengenakan syarat jangan buka tudung, nanti timbul cerita saya meminta itu dan ini,” jelasnya.

Sheila berkata, selaku tunjang kepada syarikatnya, dia juga yang melakukan cadangan dan pemilihan pelakon untuk diketengahkan. Namun, keputusan terakhir masih tertakluk kepada kehendak pihak stesen TV.

“Saya juga boleh memutuskan apa saja yang terbaik untuk produk keluaran sendiri,” katanya sambil memberitahu penggambaran drama Roh Kembali diadakan selama 45 hari sejak Mac lalu.


Oleh Zaidi Mohamad

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI