Mentor 4 - Mas Idayu sebak

Tuesday, May 11, 2010

Ketika Shaq membuat persembahan secara solo dengan menyanyikan lagu "Teratai", kelihatan Mas Idayu sebak dan mengalirkan air mata sebaik sahaja protegenya menamatkan persembahan.


Bagi segelintir peminat, mereka melihat apa yang dilakukan oleh Mas Idayu sebagai satu taktik untuk menarik perhatian serta simpati penonton.

Berkesempatan menemui Mas Idayu yang lebih selesa membiasakan dirinya sebagai 'mummy', dia menjelaskan airmata yang mengalir itu bukanlah gimik seperti yang difikirkan oleh segelintir penonton.

"Macam mana saya tidak menangis kerana sebelum ini dia memang langsung tidak boleh menyanyi. Malah semasa sesi latihan petang tadi pun dia tidak mampu menyanyikan lagu "Teratai" dengan baik.

"Tetapi pada malam ini, dia berjaya membuktikan vokalnya dan menyanyikan lagu-lagu yang bernada tinggi itu dengan baik. Di dalam persembahan duet bersama saya, saya tidak terasa terlalu risau kerana saya bersama-sama dengannya ketika di pentas.

"Namun semasa persembahan solo dia bersendirian dan apa yang saya dapat lakukan ialah berdoa supaya dia mampu menghabiskan lagu tersebut dengan baik," katanya yang menganggap Shaq seperti anaknya sendiri.

Selain itu, Mas Idayu juga memberitahu kesakitan yang dialami oleh Shaq sedikit sebanyak telah menganggu sesi latihan yang mereka rancangkan sebelum ini.

Malah menurut Mas Idayu, doktor yang merawat Shaq, meminta Shaq berehat selama enam hingga 12 minggu supaya kesakitan yang dialaminya benar-benar reda. Oleh sebab itu untuk mengatasi masalah tersebut, Mas Idayu sangat menjaga waktu tidur serta pemakanan Shaq.

"Sekarang tekak Shaq tak boleh kering. Oleh sebab itu, saya hanya memberikan dia makan bubur dan sup. Selain itu, saya juga setiap hari akan membuatkan Shaq air kembang semangkuk supaya tekaknya sentiasa sejuk.

"Setiap pagi pula saya akan minta Shaq batuk kerana menurut doktor, jika dia boleh batuk maknanya suaranya masih baik. Tetapi kalau dia tak boleh batuk, itu bermakna dia memang tidak boleh menyanyi lagi," ulas Mas Idayu panjang lebar.

Tambah penyanyi yang popular dengan lagu "Cintaku 100%" itu lagi, dia kini telah bersedia dengan apa sahaja risiko dan berharap kesihatan Shaq akan pulih seperti sediakala dalam masa terdekat.

"Kata doktor penyakit Shaq boleh pulih dalam masa seminggu kalau buat pembedahan. Namun pembedahan tersebut juga punya risiko iaitu suaranya akan pulih seperti sediakala atau suaranya akan rosak buat selamanya.

"Saya benar-benar risau kerana semasa saya ambil Shaq, dia sihat sahaja. Kini dia berada di bawah tanggungjawab saya dan saya akan pastikan segala-galanya berada dalam keadaan yang baik.

"Semasa bersama Black, saya alami masalah yang sama ketika di peringkat akhir manakala dengan Shaq di peringkat permulaan. Inilah yang dinamakan cabaran dan yakin ada hikmah di sebalik ini semua," katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI