Ratu Universe Malaysia 2010

Tuesday, May 11, 2010

18 wanita cantik bakal bersaing untuk merebut gelaran Ratu Universe Malaysia 2010 yang menjanjikan hadiah wang tunai sebanyak RM50,000 selain peluang menghiasi kempen iklan bersama Parkson selama setahun.

Semua peserta diperkenalkan kepada media pada majlis ringkas yang berlangsung di lokasi rasmi pertandingan, The Royale Chulan Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengarah Organisasi Ratu Universe Malaysia (MUMO) 2010, Andrea Fonseka, berkata ketika pencarian dilakukan, kesemua peserta dipilih berdasarkan kriteria tertentu seperti mempunyai ciri-ciri yang memenuhi keperluan untuk bertanding mewakili Malaysia kelak.

“Bagi mendapatkan senarai peserta yang benar-benar mematuhi kehendak pertandingan, juri juga melakukan siri uji bakat termasuk di Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

“Tidak sangka bahawa tugas itu rumit walaupun kami sedia maklum memang ada ramai wanita cantik di luar sana dan hasilnya, barisan 18 peserta akhir ini adalah yang terbaik kami pilih bagi mencari wakil mewakili Malaysia nanti,” katanya.

Kini, minggu penuh cabaran bakal dilalui kesemua peserta apabila mereka disajikan dengan deretan aktiviti penuh cabaran sesuai dengan tugas mereka sebagai ratu cantik.

Antara cabaran yang bakal dilalui adalah ujian di pentas peragaan, penggambaran, bertemu media selain peluang menjalani latihan di pusat beli-belah rasmi pertandingan, Pavillion.

“Ratu cantik tidak semestinya berlagak seperti ratu cantik sepanjang hari kerana mereka juga harus mempelajari beberapa aspek lain untuk membolehkan mereka menjadi seorang yang bertanggungjawab, positif dan kekal dengan jati diri asal kerana itu yang membuatkan seseorang itu kelihatan istimewa di mata orang lain,” jelasnya.

Malam penuh gemilang untuk wanita bertuah dinobat sebagai Ratu Universe Malaysia 2010 akan berlangsung pada 15 Mei ini di The Royale Chulan Kuala Lumpur.

Barisan juri yang terbabit pada malam itu adalah bekas Ratu Universe Malaysia, Datin Josephine Fonseka; Maggie Loo; Datuk Yasmin Yusuff; Datuk Anna Lin, Nancie Foo dan Elaine Daly; aktor terkenal, Hans Isaac dan Andrew Tan dari AndrewsModels.

Orang ramai yang ingin menyaksikan pertandingan secara langsung boleh mendapatkan tiket di www.missuniversemalaysia.com.my, namun acara itu juga bakal disiarkan di ntv7 pada Jun depan.

Selain ganjaran wang tunai, pemenang bertuah juga bakal menerima set barangan kemas daripada Elegance Club bernilai RM30,000, produk percuma selama setahun dari L’Oreal Paris, perkhidmatan percuma selama setahun di A Cut Above, keahlian percuma lima tahun di True Fitness dan True Yoga serta kontrak setahun bersama AndrewsModels.

Oleh Siti Nur Almizan Aripin

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI