Sime Darby rugi lebih RM1.63b

Friday, May 14, 2010

Syarikat konglomerat, Sime Darby Bhd. (Sime Darby) hari ini mengumumkan kerugian lebih RM1.63 bilion berikutan berlakunya lebihan kos dalam beberapa projek di bawah Bahagian Tenaga dan Utilitinya.

Berikutan itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid yang kontraknya bakal berakhir pada 26 November ini, diminta bercuti.

Tempat beliau sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan akan dipangku oleh Datuk Azhar Abdul Hamid selepas mendapat persetujuan mesyuarat Lembaga Pengarah Sime Darby yang bermesyuarat selama 12 jam semalam.

Ketika ditanya secara bertubi-tubi sama ada Ahmad Zubir sebenarnya dipecat atau diminta letak jawatan, Pengerusi Sime Darby, Tun Musa Hitam berkata, pihak Lembaga Pengarah meminta orang kuat Sime Darby itu bercuti sebagai memenuhi dasar amalan urus tadbir korporat.

Katanya, pihak pengurusan perlu bertanggungjawab terhadap projek- projek yang dilaksanakan.

''Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana ia adalah keputusan Lembaga Pengarah dan setakat ini kita masih berpegang kepada keputusan tersebut,'' katanya pada sidang akhbar tergempar di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini hari ini.

Ditanya sama ada tindakan yang diambil itu sebagai satu hukuman kepada Ahmad Zubir, Musa berkata, terpulanglah kepada orang ramai untuk membuat penilaian.

Ketika ditanya adakah pengganti pemimpin Sime Darby akan dipilih di kalangan syarikat-syarikat milik kerajaan atau 'orang dalam', secara berseloroh beliau berkata: ''Kita akan mencarinya di bulan''.

Musa berkata, syarikat itu bakal menamakan pengganti Ahmad Zubir dalam satu jawatankuasa dan personaliti terbaik akan dipilih.

Katanya, berikutan lebihan kos itu, Sime Darby bakal kerugian RM964 juta bagi separuh kedua tahun kewangan 2010 bagi projek hidroelektrik Bakun (RM450 juta), Maersk Oil Qatar (MOQ) (RM159 juta) dan pembinaan kapal bagi projek MOQ (RM155 juta).

Kerugian itu telah dikenalpasti selepas Sime Darby mewujudkan Jawatankuasa Petugas Khas pada Oktober 2009 untuk mengkaji operasi Bahagian Tenaga dan Utilitinya. Jawatankuasa itu dianggotai oleh Datuk Seri Panglima Andrew Sheng Len Tao, Tan Sri Wan Mohd Zaid Mohd Noordin dan Datin Paduka Zaitoon Othman.

Mengulas lanjut Musa berkata, jawatankuasa itu mendapati kerugian membabitkan projek Bulhanine dan Maydan Mahzam dengan Qatar Petroleum (QP), Projek MOQ, pembinaan kapal bagi kegunaan projek MOQ dan projek empangan hidroelektrik di Bakun.

Projek QP yang dianugerahkan pada April 2006 yang sepatutnya siap pada Ogos 2008 telah tertangguh dan lebihan kos sehingga mengakibatkan kerugian RM500 juta yang telah diambil kira dalam akaun.

Katanya, bagi projek MOQ yang diterima pada Januari 2007 dan sepatutnya siap pada Oktober lalu, ia juga mengalami lebihan kos dan mencatatkan kerugian RM525 juta bagi tahun kewangan 2010 yang mana RM367 juta telah dikenal pasti pada separuh pertama.

''Projek marin pembinaan dua bot tunda dan kapal untuk kegunaan projek MOQ juga gagal disiapkan dan projek itu dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM155 juta,'' kata Musa lagi.

Ketua Pegawai Kewangan Sime Darby, Tong Poh Keow berkata, pihaknya sedang berunding dengan pelanggannya berhubung potensi tuntutan.

Projek Bakun pula yang dijadualkan siap pada September 2007 tetapi terpaksa dilanjutkan juga dianggar memerlukan kos tambahan sebanyak RM450 juta.

Sekali lagi, Poh Keow berkata, Sime Darby juga sedang dalam perbincangan dengan pelanggan dan subkontraktor bagi projek ini.

Ditanya sama ada berlaku penyelewengan hingga mengakibatkan kerugian itu, Azhar berkata: ''Kita sedang memperinci serta melihat segala kemungkinan dengan bantuan penasihat profesional''.

Beliau menegaskan, jika terdapat penyelewengan atau penipuan, meskipun membabitkan jumlah yang kecil, pihaknya akan membuat laporan polis.

Musa yang turut ditanya soalan berkenaan berkata, Lembaga Pengarah Sime Darby belum sampai ke tahap tersebut (belum menyiasat secara terperinci).

''Bagaimanapun, saya tidak berani untuk berkata tidak (berlaku penyelewengan), kita tunggu laporan profesional,'' ujar beliau.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI