Harga emas cecah paras tertinggi dalam sejarah

Friday, May 14, 2010

2010/05/13
HARGA emas melonjak ke paras tertinggi baru dalam sejarah pada AS$1,235.50 satu aun di pasaran Hong Kong semalam apabila pelabur meningkatkan pembelian ke atas logam itu sebagai pilihan pelaburan yang selamat, susulan kebimbangan krisis hutang di Eropah.

Pada pembukaan urus niaga semalam, harga emas berada pada AS$1,229 satu aun, meningkat daripada AS$1,226.56, iaitu paras tertinggi sebelum ini yang dicatatkan pada 3 Disember lalu, sebelum mengakhiri dagangan pada AS$1,2330 satu aun.
Penganalisis berkata, logam berharga itu itu dijangka mengekalkan peranan sebagai pelaburan selamat ketika pasaran lain kekal tidak menentu.
“Reaksi daripada bank pusat dan Tabung Matawang Antarabangsa (IMF) terhadap krisis di Eropah selatan hampir pasti menjadikan pasaran dunia terus tidak stabil,” kata penganalisis dari Capital Spreads, Simon Denham.

Isnin lalu, pelabur menyambut baik pakej penyelamat yang diumumkan Kesatuan Eropah dan IMF bernilai 750 bilion euro (AS$1 trilion) bagi menyelesaikan krisis hutang dan bajet defisit di Eropah.

Bagaimanapun keyakinan itu pudar kelmarin berikutan kembalinya kebimbangan mengenai keupayaan negara yang terbabit mengurangkan defisit masing-masing.

Pelabur terus mengambil langkah menjual mata wang euro untuk mengurangkan risiko.
Berbanding dolar, mata wang itu mengakhiri dagangan pada paras AS$1.2624.

Ketua IMF, Dominique Strauss-Kahn menyifatkan pakej penyelamat bernilai AS$1 trilion itu sebagai langkah penting.

Penganalisis berkata, harga emas yang tinggi menunjukkan pedagang kekal skeptikal berhubung pelaksanaan pakej menyelamat itu.

“Pelabur kini memindahkan dana masing-masing daripada aset yang berisiko kepada pasaran yang lebih selamat dan tindakan ini adalah positif bagi mata wang dolar dan emas,” kata penganalisis dari City Index, Joshua Raymond.

“Ramai yang mentafsirkan pakej menyelamat Kesatuan Eropah sebagai bukan jalan penyelesaian terbaik untuk tempoh jangka panjang bagi menyelesaikan krisis defisit di Eropah.

“Dengan tinjauan jangka sederhana kekal tidak stabil, pelabur memilih untuk memindahkan tunai mereka ke dalam aset yang boleh bertahan,” katanya sambil menambah urus niaga logam bernilai itu, terutama digerakkan oleh pembelian bagi barang kemas dan belian untuk pelabur, mencatatkan paras tertinggi tahun lalu susulan kebimbangan mengenai inflasi dan langkah berterusan bank pusat mempelbagaikan aset selain daripada mata wang dolar.

Meningkatnya kebimbangan terhadap krisis di Greece itu telah menarik kemasukan pelaburan baru ke dalam emas.

“Harga emas dijangkakan terus meningkatkan selagi pasaran kekal tidak begitu yakin dengan keupayaan pelan menyelamat itu,” kata penganalisis berkenaan. – AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI