Samy Vellu umum lepas jawatan Presiden MIC tahun depan

Tuesday, May 18, 2010

Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini mengumumkan beliau akan melepaskan jawatan Presiden MIC yang dipegangnya sejak 1979 dalam tempoh “lapan atau sembilan” bulan sebelum penggalnya sekarang tamat pada Mei 2012.

Semasa membuat pengumuman itu pada sidang akhbar sebelum berlangsungnya konvensyen MIC Wilayah Persekutuan di sini, Presiden MIC itu tidak menyatakan kepada siapa beliau akan menyerahkan jawatan tertinggi parti itu.

"Saya akan berundur dalam masa lapan atau sembilan bulan sebelum penggal saya tamat pada Mei 2012. Saya akan serahkan jawatan presiden pada waktu itu.

“Inilah yang telah saya maklumkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) semasa saya berjumpa beliau sebelum Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

"Saya akan serahkan kepimpinan parti kepada pemimpin generasi akan datang.

“Sebelum itu, saya akan melakukan rombakan parti secara menyeluruh bermula dengan pemimpin cawangan dan negeri. Orang selalu bertanya bila saya akan melepaskan jawatan saya dan inilah tempoh masa yang saya telah tetapkan.

"Saya mahu semua anggota parti tahu bahawa transformasi MIC akan diteruskan. Peralihan kuasa dalam MIC akan berjalan dengan lancar,” katanya.

Samy, 74, dipilih semula untuk menerajui parti buat kali kesembilan pada tahun lepas.

“Apabila saya bersara nanti, saya sudah melatih timbalan presiden untuk memimpin parti,” katanya tanpa menamakan timbalannya, Datuk G. Palanivel. - Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI