Kenapa Thalia Mentor 4 disingkirkan?

Tuesday, May 18, 2010

Tak sempat menunjukkan kebolehan, protege Ziana Zain, Ketty Natalia Rasul atau Thalia terpaksa mengucapkan selamat tinggal terhadap program realiti Mentor musim keempat.


Penyingkiran itu bukan disebabkan menerima jumlah undian yang rendah, tetapi atas kehendak Ziana dan pihak produksi sendiri.

Memang mengejutkan tetapi itulah realiti yang sebenar. Keputusan menggugurkan Thalia diumumkan penyanyi bersuara lantang itu secara langsung sewaktu program Mentor 4 itu disiarkan pada Ahad lalu.

Tempat Thalia kemudian digantikan dengan peserta lelaki yang tak kurang hebatnya iaitu Mohd Izwan Mohd Nor atau Mohd, yang ditemui Ziana dalam tempoh 48 jam.

Barangkali ramai yang tertanya-tanya, apakah yang menyebabkan Ziana tergamak menyingkirkan protegenya sendiri. Menjawab persoalan itu, Ziana menegaskan tindakannya itu diambil kerana berasakan Thalia belum mampu menghadapi persaingan dalam program realiti ini.

"Thalia menghadapi masalah dari segi kekurangan persediaan mental untuk bersaing dalam program seperti ini. Dari awal lagi saya sudah menegaskan untuk menjadi penyanyi berjaya, protege saya harus mempunyai keinginan untuk belajar yang sangat tinggi dan kuat dari segi persediaan fizikal dan mental.

"Bidang nyanyian bukan setakat glamor, wajah terpampang di media sana sini. Tetapi ia menuntut pengorbanan cukup banyak. kalau daya tahan mental kurang, itulah yang membuat Thalia sering berada dalam tekanan sekali gus menjejaskan kesihatannya.
"Jadi tidak mahu situasi itu membebankannya dan saya juga tidak mahu nama saya terjejas kerana dikatakan gagal membimbing protege, membuatkan saya mengambil keputusan untuk menggugurkan Thalia dan mencari peserta lain sebagai pengganti," luah Ziana jujur sekali gus menafikan keputusan itu diambil disebabkan peserta itu mempunyai masalah disiplin.

Diajukan dengan pertanyaan tidakkah Ziana merasakan tindakannya itu seperti menyerah kalah sebelum perjuangan sebenar bermula, dia menegaskan apa yang dilakukan mempunyai alasannya yang kukuh.

"Kalau menyerah kalah rasanya sudah lama saya menarik diri dari pertandingan ini. Tapi saya teruskan kerana tahu di bahu saya terpikul amanah cukup besar.

“Apabila mengambil keputusan untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang mentor, saya akan buat bersungguh-sungguh. Iyalah, sebelum ini sudah dua kali saya menolak tawaran TV3. Jadi apabila sudah bersedia, maknanya saya kena buat bersungguh-sungguh. Saya tak mahu orang menempelak saya di kemudian hari kalau gagal membimbing protege saya," jelasnya.

Walaupun bulat hatinya untuk membuat keputusan itu namun jauh di sudut hati Ziana, dia tidak menafikan keputusan itu amat berat untuk dilakukan.

"Sewaktu saya maklumkan padanya mengenai hal itu (penyingkiran), Thalia memang terkejut. Tapi selepas diterangkan dengan lebih lanjut kenapa keputusan itu diambil, dia ternyata dapat menerima hakikat itu.

"Mungkin rezekinya bukan di sini tapi saya percaya bakatnya akan lebih menyinar di tempat lain. Saya sentiasa mendoakan kejayaannya," katanya.

Mengulas potensi anak didik barunya itu, Ziana berkata walaupun mereka hanya berpeluang berlatih dalam masa 48 jam, namun Mohd menunjukkan komitmen yang cukup baik dan tidak menghampakan.

"Saya rasa dia boleh pergi jauh asalkan dia mempunyai keinginan untuk belajar, berdisplin dan sentiasa bersungguh-sungguh,"katanya.

Oleh kerana keputusan mencari pengganti Thalia dibuat dalam masa agak singkat, tentu ada beranggapan, Mohd Izwan sebenarnya dipilih secara tangkap muat. Namun, dakwaan itu segera ditangkis Ziana.

"Mohd adalah antara tiga calon terbaik yang datang untuk sesi uji bakat. Pada awalnya, memang dia datang uji bakat untuk menjadi protege Mas Idayu, tetapi gagal. Selepas melihat bakat yang ada padanya, saya menjadikannya protege saya," jelas Ziana yang turut berduet dengan Mohd Izwan pada malam persembahan Kumpulan B itu menerusi lagu Senja Nan Merah.

Mohd Izwan turut menyampaikan lagu Sampai Syurga, sebagai persembahan solo.

Melihat kepada perjalanan program ini, tidak dinafikan ada saja kejutan yang berlaku. Jika sebelum ini ramai yang melihat bagaimana Mas Idayu membuat kejutan dengan memberhentikan nyanyian anak didiknya di pertengahan jalan, kini drama sebabak itu berjangkit pula kepada Ziana dan Thalia.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif yang juga Pengarah Mentro 4, Muhamad Suffian Isa, menjelaskan pelbagai kejutan sejak akhir-akhir ini bukanlah sengaja dirancang oleh pihak produksi.

Sebaliknya, setiap yang berlaku itu adalah realiti dan memang relevan selain menghormati kehendak mentor kerana apa yang mereka lakukan adalah untuk kebaikan bersama.

"Dalam kes Thalia, saya turut berbincang dengan Ziana. Selepas mencapai kata sepakat, maka saya izinkan keputusan itu dibuat," katanya.

Selain Mohd, peserta Kumpulan B yang turut membuat persembahan adalah Ayim dan Adi. Mereka adalah protege kepada vokalis kumpulan May, Mus dan Dayang Nurfaizah. Pada malam itu Ayim memperoleh markah yang tinggi iaitu 38%, manakala Adi 32% dan Mohd 30%.

Juri pada malam itu terdiri daripada Aidit Alfian dan Ad Samad.

Oleh Farihad Shalla Mahmud

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI