Pertandingan Memancing Pantai Monsoon Cup 2011

Friday, November 11, 2011

Pertandingan Memancing Pantai Monsoon Cup 2011 kembali lagi dan bakal berlangsung dekat persisiran Pantai Pulau Warisan, Kuala Terengganu, pada 26 November ini.

Pertandingan anjuran Berita Harian dengan kerjasama T-Best Events Sdn Bhd (T-Best) akan menobatkan juaranya membawa pulang wang tunai RM30,000, kedua RM10,000 dan ketiga RM5,000.

Edisi kali ini juga menawarkan hadiah wang tunai sehingga pemenang ke-50 dengan jumlah keseluruhan RM58,200 serta dua cabutan bertuah motosikal.

Semua peserta dikehendaki menggunakan borang asal bagi melayakkan mereka memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah sepanjang acara berkenaan berlangsung.

Pemenang tempat keempat akan membawa pulang wang tunai RM3,000, tempat kelima RM1,000, tempat ke-6 hingga ke-12 (RM400), tempat ke-13 hingga ke-20 (RM300), tempat ke-21 hingga 30 (RM200) dan tempat ke-31 hingga 50 (RM100). Semua hadiah disertai hadiah iringan.

Pengurus Projek Khas Berita Harian, Mohamad Mizal Hasbullah, berkata pertandingan memancing pantai di pesisiran Pantai Pulau Warisan yang diadakan setiap tahun adalah acara paling ditunggu kaki pancing sekitar seluruh negara khususnya di Pantai Timur.

"Acara tahunan anjuran Berita Harian dan T-Best ini sentiasa ditunggu dan mendapat sambutan ramai kaki pancing untuk merebut hadiah yang ditawarkan ini.

"Dengan yuran RM80 satu joran, mereka layak merebut wang tunai keseluruhan RM58,200 atau berpeluang memiliki dua motosikal dalam cabutan bertuah yang diadakan," katanya.

Beliau berkata, penganjur turut mengekalkan pelbagai acara menarik berkonsepkan kekeluargaan bagi mengisi slot acara yang berlangsung pada hari berkenaan.

Setiap peserta digalakkan menggunakan borang asal yang akan diterbitkan di akhbar Berita Harian dan Harian Metro mulai minggu ini hingga hari pertandingan.

Acara ini turut dijayakan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan dan Kerajaan negeri Terengganu.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Unit Joran Berita Harian di talian 03-22822323 sambungan 4240,4241, Pejabat Berita Harian Terengganu 09-62263366 atau Umbai 013-3310166.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI