Jenayah bermotif kebencian terhadap umat Islam meningkat di AS

Wednesday, November 16, 2011

Jenayah bermotifkan kebencian terhadap penduduk Islam meningkat hampir 50 peratus di Amerika Syarikat (AS) pada tahun lepas.

Statistik Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang disiarkan semalam menunjukkan, tindakan yang didorong oleh prejudis terhadap orang Islam meningkat kepada 160 insiden pada 2010 daripada 107 pada 2009.

Secara keseluruhannya, jumlah insiden yang diklasifikasikan sebagai jenayah bermotifkan kebencian meningkat sedikit kepada 6,628 kes pada 2010.

Daripada jumlah itu, 47.3 peratus bermotifkan kebencian terhadap kaum tertentu, manakala 20 peratus lagi bermotifkan kebencian terhadap penganut agama tertentu, menurut statistik FBI yang terkandung dalam laporan mengenai jenayah bermotifkan kebencian.

Pertubuhan Human Rights First menyuarakan kebimbangan dengan angka-angka tersebut.

"Selepas kes jenayah bermotifkan kebencian menurun pada 2009, adalah membimbangkan untuk melihat peningkatan semula pada 2010," kata jurucakap pertubuhan tersebut, Paul Legendre.

Beliau menyifatkan pertambahan kes keganasan terhadap orang Islam sebagai sangat signifikan.

"Human Rights First sudah lama berpendirian bahawa jenayah terhadap orang Islam, seperti juga bentuk jenayah lain yang bermotifkan kebencian, mesti dilihat dan ditangani sebagai pencabulan serius terhadap hak-hak asasi manusia.

"Kerajaan AS mampu dan perlu mengambil langkah lebih tegas bagi mengatasi pencabulan tersebut," ujar Legendre.

Laporan itu juga menyebut, jenayah terhadap orang Yahudi menurun daripada 931 insiden pada 2009 kepada 887 pada 2010, manakala bilangan jenayah bermotifkan sentimen anti-Roman Katolik meningkat daripada 51 pada 2009 kepada 58 insiden pada tahun lepas. - AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI