Asia Tenggara target sindiket dadah Afrika-Iran

Wednesday, November 30, 2011

Sindiket dadah antarabangsa dari Afrika dan Iran dilapor meluaskan aktiviti mereka ke Asia Tenggara berikutan peningkatan perdagangan methamphetamine yang semakin tinggi di rantau ini, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu laporan hari ini.

Menurut Pejabat Dadah dan Jenayah PBB, dadah perangsang jenis amphetamine (ATS) termasuk amphetamine dan methamphetamine menjadi dadah pilihan di kawasan Asia Timur dan Asia Tenggara sejak tahun 1990-an, menggantikan dadah berasaskan tumbuhan seperti heroin, opium dan kanabis.

Dadah itu senang dihasilkan di mana saja daripada pelbagai bahan kimia dan membawa pulangan besar untuk pelaburan yang sedikit.

Peningkatan penggunaan dadah tersebut dilaporkan berlaku di kebanyakan negara di rantau ini pada tahun 2010 dimana pembuatan haram semakin berkembang maju walaupun sebanyak 442 kemudahan pembuatan dan hampir 136 juta pil telah dirampas.

Kumpulan penjenayah Afrika yang sebelum ini biasa melakukan urusan pengedaran dadah jenis kokain dan heroin mempelbagaikan kegiatan dengan terlibat dengan pengedaran ATS pula manakala sindiket dadah di Iran dikenal pasti sebagai pesaing kepada sindiket dadah di rantau ini.

"Kumpulan Afrika terlibat dengan pengedaran dadah jenis crystalline methamphetamine, ekstasi dan heroin di Indonesia dan menggunakan Kemboja sebagai pusat urus niaga mereka serta pengedaran dadah ke Indonesia.

Di Malaysia, jumlah penyeludup dadah rakyat Afrika yang ditangkap meningkat hampir dua kali ganda pada tahun 2010 iaitu seramai 65 orang, termasuk 50 orang rakyat Nigeria.

Pihak berkuasa Malaysia menahan 228 rakyat Iran yang menyeludup masuk dadah pada tahun 2009 dan 2010 manakala Jepun pula dilaporkan menangkap 135 penyeludup dadah pada tahun yang sama. - Reuters

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI