Misteri pembunuhan Adrian Jay Pereira terungkai

Thursday, November 10, 2011

Misteri pembunuhan Adrian Jay Pereira pada Isnin lalu mula terungkai apabila polis Indonesia semalam mendedahkan bahawa dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal kapcai dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

Perkara itu diperoleh hasil penemuan bukti dan siasatan polis forensik di Tempat Kejadian Perkara (TKP) yang dilakukan bersama Pasukan Identifikasi Polis Jawa Timur yang mengambil keterangan daripada beberapa saksi yang mempunyai maklumat.

"Kita ketahui pelaku melibatkan dua lelaki yang menunggang motosikal kapcai," kata Ketua Polis Daerah Kota Malang, Adjutan Pesuruhjaya Besar Polis (KBP) Teddy Minahasa yang ditemui Detiksurabaya.com di sini semalam.

Menurut Teddy, dua suspek yang menaiki motosikal kapcai itu juga memakai baju hujan dan mereka memakai topi keledar menutup muka.

Mengulas lanjut, kata beliau, pihaknya yakin kedua-dua suspek yang membunuh mahasiswa semester lima Fakulti Kedoktoran di Universiti Brawijaya itu merupakan penjenayah yang berpengalaman dalam kegiatan mencuri motosikal.

Ia berdasarkan modus operandi yang digunakan oleh suspek sehingga Adrian terbunuh di depan rumah sewanya.

"Dua suspek itu diyakini penjenayah tegar," ujar Teddy.

Hasil siasatan TKP itu, kata Teddy, pihaknya sedang mengumpulkan seluruh data suspek yang terlibat dalam kes-kes kecurian motosikal yang pernah dilakukan sebelum ini.

Katanya, siasatan kes Adrian yang melibatkan pasukan khas diharapkan dapat diselesaikan dalam waktu terdekat.

"Kerjasama daripada orang ramai amatlah diperlukan untuk menyegerakan siasatan kes ini," kata beliau.

Teddy berkata, motif pembunuhan Adrian jelas disebabkan jenayah.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI