(SMS) Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM)

Thursday, November 10, 2011

Sejak dilancarkan Jun lalu, sambutan terhadap perkhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS) Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) masih rendah, kata Pengerusinya Reihana Abd Razak.

Beliau berkata setakat ini hanya 160 SMS diterima menerusi perkhidmatan itu yang membolehkan pengguna mengetahui hak mereka serta membuat aduan mengenai sebarang tuntutan.

"Melalui perkhidmatan ini, pengguna boleh menghantar SMS dengan memaklumkan mengenai butiran tuntutan mereka, dan kemudian mereka akan dihubungi semula oleh pegawai kami dalam tempoh sehari untuk mengetahui lebih lanjut mengenai butiran tuntutan tersebut.

"Ia lebih mudah, murah dan cepat di mana mereka tidak perlu datang ke kaunter untuk bertanyakan hal tersebut. Jika menghubungi talian kami pun, mereka mungkin perlu menunggu jika talian tersebut sibuk," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata jika pengguna yang dihubungi itu boleh, dan mahu memfailkan terus tuntutan, pegawai yang bertugas akan berbuat demikian dan mereka boleh membuat bayaran tuntutan tersebut menerusi talian.

Katanya menerusi perkhidmatan itu, TTPM juga mensasarkan penyelesaian kes lebih pantas.

"Tanpa khidmat nasihat ini, ramai yang akan membuat tuntutan sesuka hati. Bila mereka dah mengetahui hak-hak mereka, mereka akan failkan tuntutan yang lebih fokus yang boleh diselesaikan dengan lebih pantas," katanya.

Selain itu katanya, pegawai bertugas juga tetap melayani aduan pengguna sekalipun aduan bukan mengenai TTPM, dan akan memanjangkan aduan kepada pihak berkaitan.

Pengguna boleh menghantar SMS dengan menaip "TTPM Tuntut" dan hantar ke 15888. Setiap mesej yang dihantar akan dicaj 15 sen dan setiap mesej yang diterima akan dicaj 20 sen.

TTPM ialah sebuah badan bebas yang ditubuhkan di bawah Seksyen 85, Bahagian XII Akta Perlindungan Pengguna 1999 dengan tujuan utama menyediakan forum alternatif bagi pengguna memfailkan tuntutan dengan cara mudah, murah dan cepat.

Dengan lebih 40 cawangan di seluruh negara, TTPM mempunyai bidang kuasa mendengar kes tuntutan yang mana jumlah amaun yang dituntut tidak melebihi RM25,000.

-- BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI