Dunia bahan bacaan rakyat Jepun

Thursday, November 10, 2011

Tabiat membaca rakyat Jepun memang di luar jangkaan. Buktinya, jika di Malaysia novel cinta menguasai carta jualan laris di pasaran, tetapi di Negara Matahari Terbit itu, buku dalam kelompok itu adalah berkaitan gabungan ekonomi dan sukan, selain novel misteri.

Awal tahun ini, apabila senarai 10 buku laris di pasaran diumumkan, dua buku yang berada di tangga teratas ialah buku ekonomi yang diolah dengan gaya separuh novel dan antologi puisi. Tiada sebuah pun naskhah novel cinta termasuk dalam carta 10 laris di pasaran Jepun.

Buku di puncak carta ialah If a high school manager has read Drucker's Management. Ia mengisahkan pengurus pasukan bola keranjang, Minami Chan bimbang dengan prestasi pasukannya, lalu merujuk kepada Peter Drucker.

Meskipun secara asasnya ia buku ekonomi, namun apabila dipersembahkan dengan gaya novel dan ditampilkan pula dengan sentuhan animasi pada sampulnya, ia kelihatan santai. Sebanyak 1.7 juta naskhah buku itu terjual di Jepun dan sedang diterjemahkan ke bahasa Cina serta Inggeris.

Dalam kalangan pembaca Jepun, watak sebenar penulis lebih menyumbang sebagai faktor melariskan buku berbanding karya itu, misalnya pemuisi berusia 99 tahun, Toyo Shibata yang menjadi penulis laris di pasaran dengan antologi puisinya, Kujikenaide (Jangan Kecewa).

Penyair yang lahir pada 1911 itu menerbitkan karyanya sendiri sebelum ia diambil alih oleh syarikat penerbitan lebih besar, Asuka Shinsha. Pada peringkat awal penerbitannya, antologi itu sudah berjaya dijual sebanyak 1.5 juta naskhah.

Sementara itu, sehingga pertengahan 2011, naskhah popular mula memberi saingan. Meskipun Shibata sekali lagi menggegarkan dunia kesu- sasteraan Jepun menerusi antologi puisi keduanya, Seratus Tahun, namun Kakuta Mitsuyo memberi saingan menerusi novelnya, Lapan Hari. Ia mengisahkan seorang wanita yang menculik anak kekasihnya berusia enam bulan dan membesarkan bayi itu di tempat ibadat. Menariknya novel itu bergerak daripada sudut pandang si penculik. Sudah diterjemahkan ke bahasa Inggeris, novel ini turut dijual di Amazon.

Selain naskhah popular, buku misteri juga tidak kurang hebatnya. Novel misteri karya Higashino Keigo, Masquerade Hotel dan Ryusei no Kizuna (secara umum bermaksud Bond) juga berada dalam senarai.

Keigo dianggap sebagai James Patterson Jepun kerana apa saja buku karyanya laris dijual. Meskipun tidak prolifik, Keigo bagaimanapun pernah memenangi Anugerah Penulis Misteri Jepun pada 1999 menerusi novelnya, Himitsu (Rahsia) dan Hadiah Naoki ke134 pada 2004 menerusi novel Yogisha X no Kenshin (Ketaatan Suspek X).

Sebuah lagi novel misteri yang mengungguli carta ialah Teka-Teki Akan Diselesaikan Selepas Makan Malam. Novel remaja itu berlatar belakang sebuah kelab penyiasatan di sekolah yang cuba menyelesaikan misteri. Novel ini juga sudah difilemkan.

Selain buku sastera dan misteri, novel ringan campuran fiksyen dan animasi, gabungan gaya manga dan kesusasteraan mendapat tempat. Dikenali sebagai Siri Bakemonogateri, ia juga dianggap sebagai siri animasi popular Jepun.

Buku gabungan animasi dan kesusasteraan ternyata mendapat tempat di hati pembaca Jepun kerana beberapa buku dengan sentuhan serupa berada dalam carta. Selain Siri Bakemonogateri, sebuah lagi buku, Apa Yang Perlu Anda Tahu Tentang Sastera Jepun Jika Anda Orang Jepun ialah karya Hebi Zo dan Umino Nagiko. Mereka orang yang sama bertanggungjawab menghasilkan komik popular, Apa Yang Orang Jepun Tidak Tahu Tentang Orang Jepun. Menariknya, komik itu bukan hanya untuk hiburan kanak-kanak, tetapi turut mendidik kelompok itu menghargai sastera klasik Jepun.

Arikawa Hiro, novelis wanita yang dikenali dengan naskhah popular ini juga berada dalam carta. Kali ini, dia berada dalam carta dengan novelnya, Toshokan Sensou (Perang Perpustakaan). Novel ini mengisahkan pekerja kerajaan yang bergelut dan karenah birokrasi di tempat kerja dengan kehidupan peribadinya seorang rakyat biasa. Sebelum ini Hiro dikenali dengan novel, Shio no Machi (Doa Untuk Kesayanganku) pada 2003 apabila naskhah itu memenangi Hadiah Novel Dengeki.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI